|
SEBAGAI pergerakan yang dibina atas misi menjana perubahan sosial, pertubuhan dakwah harus sentiasa peka dan kreatif memanafaatkan segala ruang dan peluang yang wujud dipersekitarannya untuk kebaikan masyarakat. Untuk itu perspektif pergerakan dakwah tentang 'ruang' dan 'peluang' dakwah harus lebih progresif dan kontemporari.
Pada kebiasaannya, apabila disebut ruang dan peluang dakwah, ia dengan mudah difahami sebagai ruang berkuliah dan berceramah di masjid-masjid dan pejabat-pejabat, atau berbicara di corong radio dan televisyen. Manakala peluang pula melibatkan kedudukan dan jawatan dalam organisasi sukarela dan swasta, peluang kewangan daripada peruntukan kerajaan dan swasta atau peluang bekerjasama dalam program-program bercorak keislaman yang dikelolakan mana-mana pihak.
Namun dalam konteks yang lebih luas dan semasa, ruang dan peluang dalam berdakwah juga meliputi fenomena-fenomena sosial yang berkembang dalam bentuk pemikiran dan kebudayaan semasa.
Conoth semasa dalam konteks ini ialah fenomena pemikiran Islam menerusi tingkap ketamadunan yang diistilahkan sebagai 'Islam hadhari'. Ia harus ditanggap secara positif oleh perubahan dakwah Islam.
Sebagai satu ruang dan peluang, pertubuhan dakwah seharusnya lebih agresif dalam mengemukakan kegiatan yang sejajar dengan maksud dan semangat fenomena tersebut. Ruang berfikir baru tersebut yang dicanai diperingkat nasional seharusnya menjana minda dan usaha pertubuhan untuk menyumbang dan berperanan dalam meningkatkan tahap baru pemikiran umat Islam di negara ini. Ini memandangkan, sebahagian besar umat Islam masih menanggapi Islam menerusi perspektif ritualisme.
Contoh lain yang telah banyak mengundang kontroversi ialah fenomena hiburan yang bersifat 'massa' yang dikenal dengan 'Sure Heboh'. Walaupun jelas dari segi prinsip, beberapa kaedah penganjurannya melanggar batas-batas sosial agama, namun dari sudut peluang, ia merupakan ruang terbaik pertubuhan dakwah bertemu dengan masyarakat terbanyak. Dengan menmpah gerai-gerai tertentu ngan menempah gerai-gerai tertentu, pertubuhan dakwah berpeluang mempromosi produk dan maklumat tentang nilai-nilai kemanusiaan kepada pengunjung secara langsung yang datang berkunjung dari segenap lapisan masyarakat.
Dalam hubungan ini juga, salah satu daripada fenomena kebudayaan yang sedang rancak dibicarakan oleh media dan masyarakat terbanyak ialah tentang pencapaian Siti Nurhaliza dalam bidang industri hiburan dan persembahan.
Dengan prestasi yang cemerlang dalam bidang yang diceburinya, beliau kini antara penghibur yang sedang menempah nama tidak sahaja di negara ini malah di negara-negara lain. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa rupa, suara dan perkembangan peribadinya boleh dilihat, didengar dan diikuti oleh masyarakat negara ini khususnya di papan-papan iklan, corong radio dan televisyen serta di dada-dada majalah dan akhbar setiap hari. Fenomena Siti merupakan satu realiti baru dalam konteks dunia hiburan, muzik dan persembahan tanah air.
Bagi sesebuah pergerakan dakwah yang kreatif dan realistik, ia akan menanggapi fenomena Siti secara positif sebagai satu bentuk ruang dan peluang dalam mengembangkan cita-cita dan misi sosial dan kemanusiaannya.
Ada beberapa faktor yang perlu dijadikan asas berfikir terhadap kenyataan tersebut. Pertama, industri muzik dan persembahan kini telah menjadi suatu yang terlalu sebati dengan kehidupan masyarakat terbanyak. Malah, ia seperti tidak mungkin dapat dielakkan lagi memandangkan industri ini didukung oleh badan media dan perniagaan yang mempunyai segala kekuatan dalam bentuk kewangan, pengaruh dan jaringan. Industri hiburan suatu realiti yang tidak boleh dielakkan lagi oleh masyarakat kerana ia merupakan sebahagian daripada pakej keperluan hidup masyarakat moden hari ini.
| |
Dalam konteks fenomena Siti, ia adalah produk terkini industri hiburan dan persembahan yang sedang menguasai perasaan, minat dan dorongan sebahagian besar masyarakat terbanyak masa kini.
Kedua, fenomena Siti bersifat massa, di mana pengaruhnya merentas kaum dan sempadan. Ini dapat dilihat penerimaan persembahannya tidak hanya di negara ini malah beberapa negara jiran dan Eropah. Dalam kata lain, suara dan irama lagunya senang didengari oleh tidak sahaja golongan massa, juga daripada kalangan elit dan bangsawan. Malah yang lebih menonjol ialah pengaruhnya terhadap golongan remaja dan muda-mudi di negara ini.
Ketiga, lagu-lagu yang menggabungkan irama tradisional dan moden telah memberikan suatu keunikan atau niche tersendiri tentang imej persembahan. Dari satu sudut, lagu tradisional yang cuba dipopularkan oleh fenomena ini bercorak ketimuran. Dengan itu, ia amat dekat dengan nilai-nilai kemanusiaan dan resam budaya masyarakat alam Melayu. Dari perspektif lain, budaya yang dikembangkan beliau lebih baik berbanding dengan budaya muzik popular Barat yang dikembangkan oleh sekelompok penggiat muzik yang lain.
Keempat, penampilan diri dari segi pakaian yang agak bersopan dalam konteks dunia muzik kontemporari berbanding dengan kebanyakan penghibur lain yang jelas begitu terpengaruh dengan imej penghibur Barat yang seksi dan menjolok mata, Siti masih berjaya mempertahankan penampilan bersih di kalangan khalayak.
Asas-asas berfikir ini seharusnya boleh dijadikan titik-tolak kepada pertubuhan dakwah di negara ini merancang usaha-usaha dalam apa juga bentuk sama ada bersifat kerjasama atau perkongsian bagi memanfaatkan ruang dan peluang daripada fenomena ini.
Kerjasama boleh dilakukan dalam bentuk menyediakan lirik-lirik lagu yang bermesej kemanusiaan dan keagamaan untuk beliau nyanyikan. Barangkali juga mendapatkan kerjasama beliau bagi menyampaikan mesej-mesej keagamaan semasa beliau membuat persembahan pentas. Kempen-kempen gaya hidup sihat serta penampilan bersopan boleh dijayakan dengan Siti sebagai saluran dan jurucakap.
Ini adalah antara idea-idea spontan yang boleh dijayakan bersama dengan Siti Nurhaliza. Namun, sekiranya beliau didekati dengan lebih serius dan perbincangan khusus dilakukan, kita yakin banyak lagi ruang dan peluang baru boleh difikir dan direncanakan.
Kita harus yakin bahawa Siti Nurhaliza selaku seorang remaja dan wanita Muslim sedar dan prihatin terhadap kedudukan dan permasalahan masyarakat dan ummah terutama generasi muda negara ini. Tambahan pula sebagai seorang yang komited dengan ajaran agama, beliau juga berkeinginan untuk menyumbang secara langsung dalam menyebarkan mesej agama menerusi bakat dan kebolehan yang dimilikinya.
Hal ini bukanlah suatu halangan memandangkan dakwah adalah tugas dan tanggungjawab semua, dan bukan khusus untuk orang-orang agama sahaja. Dengan segala kekuatan, pengaruh dan jaringan yang dimiliki Siti Nurhaliza, kini kita yakin peranan beliau akan lebih berkesan dan bererti.
Kini terserah kepada para pemimpin pertubuhan dakwah negara ini untuk bersikap proaktif mendekati beliau, dan memanfaatkan fenomena Siti yang sedang menguasai pentas hiburan dan persembahan di tanah air kita.
|