Idealis Mahasiswa
 
 

Projek 'pembaratan' PAS


Hit = [ ]

oleh: Marwaan Hadid Jr
sumber - Marhaen

Kebelakangan ini saya perhatikan semacam ada dorongan pembaharuan dalam pemikiran kepimpinan PAS. Pembaharuan yang dimaksudkan ini ialah anjakan pendekatan PAS terhadap barat. Jika sebelum ini, umum melihat PAS begitu kritikal terhadap ancaman barat serta sebarang unsur-unsur westerniasation, kini nampaknya pendirian ini secara perlahan-lahan mula beransur pudar. PAS kini di katakan telah beralih kepada konteks jalinan diplomatik dan seterusnya membuka satu lembaran baru dalam sejarah dasar luar negara PAS. Barat, PAS dan Islam adalah hubungan serangkai yang perlu diperjelaskan disini. PAS semenjak berkurun lamanya telah mengkritik hagemoni barat dalam banyak perkara terutamanya berkaitan dengan penindasan rakyat Palestin. Saya kira ini mengerti ramai. Tetapi akhir-akhir ini, kepimpinan PAS mula menjambatani hubungannya (yang intim mungkin?) dengan kuasa-kuasa barat - sebagai langkah untuk meliberalkan persepsi barat terhadap PAS.

Saya secara peribadi menyambut baik usaha kreatif ini. Namun, ia tidak dapat mengelakkan untuk saya juga menyimpan kebimbangan sekiranya PAS terpesona sangat dengan corak strategi ini - hinggakan terperangkap dalam ‘dua wajah barat’ ini. Memang benar, sudah kerap kali PAS mengadakan pertemuan demi pertemuan bersama agensi, duta dan organisasi dari barat. Mutakhir ialah pertemuan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dkk dengan National War College, US. Sebelum itu, pertemuan Ustaz Nasharudin juga dengan Perwakilan Australia, duta Amerika Syarikat dan lain-lain. Lazimnya projek ‘pembaratan’ (maaf, kerana guna istilah ini, tetapi ‘pembaratan’ yang saya maksudkan ialah ‘merapati barat’) turut disertai oleh Syed Azman Syed Nawawi, Kamarudin Jaafar dan Dr. Hatta Ramli.

Ya, dari satu sudut saya kagum dengan keterbukaan PAS ini, tetapi persoalan yang timbul, mengapa PAS tidak turut mendekati pemikiran barat juga? Paling-paling kurang pun, PAS mesti mengajak ahli-ahlinya supaya lebih terbuka - bukan semestinya menerima bulat-bulat - terhadap pemikiran, falsafah dan idealogi barat. PAS tidak seharusnya sekadar menjalinkan hubungan kepercayaan politik sahaja, tetapi terlupa untuk mengambil kesempatan dari hubungan ini dalam mempelajari idea-idea barat yang praktikal ke arah kebangkitan Islam. Aspek-aspek seperti demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan media dan lain-lain wajar di garap bersama di antara pakatan PAS dan barat ini. Ringkasnya, biar ada matlamat kolektif dalam hubungan (atau kerjasama) ini.

Di samping itu juga, hubungan dengan institusi, organisasi dan duta dari negara-negara Islam lain juga jangan dipinggirkan lantaran sibuk dengan projek ‘pembaratan’ PAS. Ertinya, usah bataskan hubungan PAS kepada lingkungan geografi Australia, Amerika Syarikat dan Britain sahaja. Demikian juga, organisasi-organisasi dari negara-negara lain seperti Russia, Jepun, China, German, Jepun, Iran dan lain-lain perlulah turut sama didekati. Jangan kerana terbuai dengan projek ‘pembaratan’ yang kononnya mahu menjernihkan tanggapan barat terhadap PAS, akhirnya menyebabkan PAS terikat pula dengan telunjuk barat.

      

Nah, contoh terdekat ialah Anwar Ibrahim! Anwar nyata sekali terikat dengan barat sampaikan gagal untuk mengamati peranan Paul Wolfwitz dalam agenda pencerobohan Amerika ke atas Iraq. Malahan lebih mendukacitakan pula, Anwar menyokong pula pelantikan Wolfwitz sebagai presiden Bank Dunia. Seperti mengutip kembali kata-kata Chandra Muzaffar dalam hal ini, “begitu naïf sekali Anwar terhadap politik dunia ini”. Kerana apa Anwar jadi senaif begini, kalau bukan kerana mahu menambat hati kuasa-kuasa barat. Juga, kerana apa Anwar jadi begini; kerana hubungannya dengan barat yang akhirnya memaksa dia mengekor sahaja barat dalam semua perkara. Implikasinya, reputasi Anwar sebagai seorang pembela nasib muslim global tercemar!

Selain daripada itu, PAS kenalah juga mengambil iktibar daripada campurtangan Amerika Syarikat di Mesir dimana Ikhwanul Muslimun di haramkan oleh Gamal Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Lebih lanjut lagi, pengalaman Hizb ut Tahrir di Uzbekistan, pengalaman FIS yang di akhiri dengan penahanan terhadap Sheikh Abbas Madani dan Ali Benhaj. Atau juga pengalaman yang lebih akrab dengan PAS bilamana pengharaman Hizbul Muslimin di bawah kepimpinan cemerlang Al-Marhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Bukankah pengalaman-pegalaman ini membuktikan wujudnya konspirasi Amerika/barat terhadap gerakan Islam global? Maka tentunya, PAS tidak boleh lari dari turut terjebak dalam game kuasa kapitalis ini kalau tidak berhati-hati!

Ustaz Nasharudin, inilah perkara yang saya sangat bimbangkan sekali! Saya khuatir jika projek ‘pembaratan’ ini di inspirasikan atas dasar lakonan semata-mata; sehingga memungkinkan Ustaz dan para pimpinan PAS lain untuk ‘terpaksa’ tidak menghadiri demostrasi-demostrasi di hadapan kedutaan Amerika demi menjaga hati Uncle Sam. Ya, memang sudah lama tidak kelihatan wajah Ustaz yang meneriakkan bantahan di sana. Mungkin kali terakhir Ustaz kelihatan ialah semasa Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor masih bersama kita lagi.

Arghh.. sudah lama masa itu berlalu ya. Apapun, Ustaz (atas kapasiti sebagai setiausaha Agung PAS) sewajarnya menyemak semula projek ‘pembaratan’ ini. Adakah pragmatik PAS ini langsung tidak akan mengugat prinsip-prinsipnya, serta pastikah PAS tidak turut tertipu lagi? Atau, barangkali kita (PAS) kini sebenarnya sedang ditertawakan oleh AM RI KA?

- Marwaan Hadid
Mahasiswa UiTM Shah Alam, Selangor





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved