Idealis Mahasiswa
 
 

Jangan jadikan PAS korban kopi UMNO


Hit = [ ]

oleh: Mohd Sayuti Omar
sumber - Malaysia-today

Preview Muktar Pas ke 51

Menjelang muktamar Pas 1 hingga 5 Jun di Pusat Tarbiah Pas Kelantan (Putik) nanti ramai orang memberi tumpuan kepada beberapa perebutan jawatan penting di dalam parti berkenaan. Kerana perhatian yang lebih ini menyebabkan pemerhati terlupa untuk mencari signifiken lain di sebalik muktamar tahunan yang melibatkan pemilihan itu.

Sesungguhnya muktamar itu selain daripada menjalankan kewajiban parti itu seperti mana yang dimaktubkan oleh perlembagaannya, ia merupakan forum tahunan bagi mengukuh serta memperkuatkan parti. Natijahnya tentulah memperkasakan organ tersebut sebagai benteng umat di negara ini dan juga menjana masa depan negara.

Pemilihan pemimpin dua kali setahun itu hanya fomarliti sahaja. Justeru makna dan maknawi lebih dari itulah yang harus direnungi apakah pengisian muktamar tahun ini. Atau dalam konteks ini apakah ada agenda dan maksud lain di sebalik kerancakan perebutan jawatan itu?

Jika dilihat kepada kerancakan itu (banyak calon yang menawarkan diri) khasnya untuk jawatan barisan ketiga iaitu Naib Presiden. Kerancakan ini memperlihatkan persis ada misi tertentu bagi melakukan perubahan di dalam parti berusia lebih 50 tahun itu. Dan ia juga seperti serius kali ini berbanding dengan dua tahun lepas.

Realiti ini berdasarkan kehangatan bahan kempen yang dijalankan oleh pihak tertentu menerusi beberapa medium (saluran).

Yang jelas ialah golongan muda yang boleh disifatkan sebagai generasi ketiga (mereka yang muncul selepas pasca merdeka) semacam sedang menyiapkan diri (pasukan) untuk melakukan perubahan menyeluruh di dalam Pas. Walaupun gerakan ini tidak dapat dikesani (dominan) namun jika melihat kepada trend pencalonan ia mencerminkan hakikat berkenaan.

Perubahan yang ketara bakal dilakukan ialah di barisan ketiga. Walaupun ada suara mengatakan perubahan juga perlu di barisan kedua (Timbalan Presiden) tetapi tidak ada pencalonan di kalangan orang muda (third generasi) untuk mencuba nasib di kerusi itu.

Mungkin generasi ini sedar akan sejauh mana dalam dan cetek politik mereka di dalam Pas. Ataupun mereka sengaja membiarkan jawatan itu tidak dipertandingkan oleh wakil mereka untuk mengelakkan nampak kesungguhan mereka.

Jadi nampaknya mereka menumpukan untuk jawatan di barisan ketiga sahaja dengan melupai buat sementara pengisian di saf kedua.

Siapakah golongan muda atau generasi ketiga ini? Mereka adalah apa yang dinamakan sebagai golongan profesional yang bersemangat Islam. Mereka terdiri dari berbagai profesional tetapi yakin (penuh menyintai) brand Islam. Kebanyakan mereka sudah terlatih sebagai aktivis gerakan Islam sejak di kampos lagi.

Kehadiran mereka ke dalam Pas hampir serentak inilah menampakkan seperti ada satu peyusunan ke arah itu. Mungkin itu kebetulan, tetapi kebetulah itulah yang dapat diperhatikan dewasa ini.

Bagaimana pun hasrat golongan ini untuk muncul dan mengambil tempat menyalinkan barisan kepimpinan dikira kena pada masanya. Perubahan masa dan anjakan paradigma memungkinkan mereka berbuat demikian. Perubahan di dalam politik negara dengan meletusnya isu bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempercepatkan proses perubahan itu.

Tidak boleh tidak era reformasi menuntut banyak perubahan perlu dibuat di dalam Pas khususnya dalam memperkasakan parti itu sebagai parti alternatif kepada Umno bagi orang Melayu.

Selain itu, keperluan itu juga memandangkan ada sudut tertentu di dalam Pas yang tidak mengalami perubahan dan sekaligus elemen itu menjadikan parti berkenaan statik di tangga yang ada kini. Paling penting Pas kena mencari apakah sebab dan puncanya parti itu tidak mendapat sambutan memberangsangkan untuk diterima sebagai parti kedua yang akan memerintah Malaysia.

Fenomena atau pun paradigma inilah yang bermain di dalam kepala generasi ketiga di dalam Pas dan mendesak mereka untuk melakukan islah (reform) di dalam Pas. Dan tanpa memikirkan risiko dan implikasinya golongan ini sudah mula menggerakkan haluan parti ke arah perubahan itu.

      

Barang kali kurang tepat dan manis kalau saya membarisi nama-nama mereka ini. Tetapi yang jelas mereka tidak boleh disembunyikan lagi. Mereka juga tidak perlu mengelak dengan apa-apa dalih pamanis mulut kerana sebenarnya penampilan mereka telah membawa banyak perubahan positif di dalam Pas dalam tempoh setahun dua ini khasnya di era reformasi (1997 – 2004).

Di antara mereka yang boleh dibarisi dalam kelompok ini ialah Dr. Mohd. Hatta Ramli, Dr. Zulkefli Ahmad, Husam Musa, Syed Azman Syed Mohamad, Nasharuddin Mat Isa. Dr. Wahab Ismail. Mereka ini semacam seangkatan dengan Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, tetapi mempunyai “aliran fahaman” yang sedikit berlainan.

Kehadiran mereka ini ditambah pula dengan kemuculan serikandi seperti Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Dr. Mariah Mahmud, Wan Hasina Wan Hassan dan lain-lain yang diklasfikasikan sebagai muslimat perubahan zaman di dalam Pas.

Mereka itu adalah pemuka Pas yang kental dengan prinsip Islam dan menolak politik hendonisme anjuran parti lawan mereka. Walaupun perwatakan dan budaya luaran mereka tidak seislamik tokoh-tokoh ulama (sebenarnya berperwatakan ulama) seperti Ahmad Awang, Ghani Shamsuddin, Taib Azamuddin, Tuan Ibrahim Tuan Man dan lain-lain namun mereka mempunyai komitmen tinggi dalam perjuangan Islam.

Perbezaan pakaian dan juga budaya mereka sahaja menyebabkan mereka dilihat bukan Islamik (konservatif) sedangkan keyakinan mereka kepada Islam sangat menebal. Alasannya kalau mereka menerima ciri ‘Islam Hadhari’ yang diperjuangkan Umno mungkin mereka tidak memilih Pas, sebab ruang dan peluang manterialistik banyak di dalam parti berkenaan.

Persoalannya kini apakah pemilhan kali ini terarah kepada senario ini, di mana berlaku semacam pertembungan secara senyap (silen war) di antara golongan muda ini dengan golongan ala ulama tu?

Hakikat ini tidak jelas, tapi seperti dinyatakan diawal tadi trend pencalonan menunjukkan akan situasi itu. Golongan muda ini nampaknya berhati-hati di dalam membuat perubahan ini sampai tidak menyinggung golongan tua. Mereka juga masih sopan dan tidak gelojoh apabila hanya mencuba di peringkat Naib Presiden sahaja.

Walaupun golongan tua (second generation) tidak bertanding merebut barisan ketiga ini, namun mereka seperti ada wakilnya. Beberapa calon lain seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, Taib Azamuddin, yang turut dicalonkan seakan menjadi wakil untuk berhadapan dengan golongan muda yang menonjol seperti Husam Musa, Nasharuddin Mat. Isa dan Hassan Ali.

Seandainya analisis ini betul, ia sesuatu yang perlu dialu-alukan dan disambut dengan baik. Tidak salah tindakan itu kalau untuk menambahkan nilai perjuangan dan mematangkan Pas. Kandati pun mereka harus juga berhati-hati. Perubahan yang bakal dilakukan nanti perlulah cermat dan sesekali jangan melupai tradisi, budaya dan penting prinsip dan dasar itu sendiri.

Kehadiran golongan muda yang menjadi penyemarak perjuangan Pas sesuatu yang baik tetapi kalau berlaku penyingkiran golongan tua yang kejap berpegang kepada tradisi parti itu secara drastik dan menyeluruh, ada juga tidak baiknya. Justeru kombinasi dua entiti itu adalah muslahat yang paling ‘paten’ bagi Pas.

Apa yang kena ingat bahawa Pas itu berlainan dengan Umno. Identiti Pas yang ada hari ini sebagai parti memperjuangkan agama, bangsa dan negara hendaklah dikekalkan. Perbezaan itulah yang menyebabkan Pas hidup dan berdaya melawan serangan Umno hingga ke hari ini.

Selain itu adalah dibimbangkan jika ciri-ciri, perwatakan dan kepentingan (matlamat asal penubuhan Pas) ini tidak dijaga dan dipertahankan kemungkinan Pas akan menjadi korban kopi kepada Umno suatu hari nanti lebih besar.

Apologis: Saya memohon kemaafan kepada sdr Zulkefli Sulung bekas Ketua Pengarang Harakah kerana secara tidak langsung telah mengaitkan nama beliau di dalam tulisan saya sebelum ini. Saya tidak mempunyai apa-apa niat serong dan prejudis kepada beliau menerusi tulisan berkenaan melainkan ianya adalah sebagai satu gambaran kepada senario sebenar topik penulisan tersebut.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved