Idealis Mahasiswa
 
 

Balada wanita sebagai naib presiden PAS


Hit = [ ]

oleh: Mohd Sayuti Omar
sumber - Malaysia-today

Ada kalanya sesuatu yang serius atau besar itu ianya dilahirkan dari idea atau cetusan ilham yang kecil berupa gurauan atau gimik yang simplistik sahaja.

Begitulah lumrah dan fitrah terhadap banyak hal yang berlaku di atas dunia ini. Walaupun ia dari cetusan kecil dan hanya gurauan, tetapi ia bisa menjadi besar dan memberi manfaat kepada dunia apabila ia ditangani dengan serius dan secara rasional.

Seperti mana penemuan kewujudan teori graviti. Teori itu ditemui dari satu cetusan kejadian biasa sahaja. Isaac Nuwton melihat dan berfikir kenapa buah epal jatuh ke bawah dan bukan naik ke atas. Dari rasa keajaiban itu beliau teus mengkaji sehinggakan menemui jawapannya.

Logiknya kalau bukan kerana epal dan Isaac Nuwton mungkin kita tidak tahu kenapa benda yang berada di bawah ‘hampagas’ akan jatuh ke bumi. Tetapi kerana kerajinan dan keajaiban pemikiran teoritis itulah menyebabkan kita tahu, bahawa ada daya yang membawanya ke bawah – graviti.

Demikian juga dengan pencalonan atau isu pencalonan Dr. Mariah Mahmud sebagai Naib Presiden Pas. Jika ditinjau dari asal-usul serta latar belakang Pas sebagai sebuah parti Islam yang ekstrim dan otodoks, pencalonan wanita itu sesuatu yang dirasakan mustahil.

Kalau pun tidak semustahil Amina Wadud menjadi imam, sekurang-kurang perasaan ke arah itu ada.

Jika memalingkan kepada Pas beberapa dekad lalu, tentu tidak ada siapa terfikir wanita akan dicalonkan menduduki jawatan ketiga tertinggi di dalam hierarki Pas itu. Ini kerana Pas begitu ceramat dan mengambil kira banyak pandangan ‘agamis’ (ulama) untuk berbuat demikian. Apa yang dielakkan Pas ialah fitnah.

Justeru banyak ‘halal dan haramnya’ serta peraturan yang dikenakan ke atas wanita. Al maklumlah wanita! Sebelum tahun 2000 Pas tidak membenarkan wanita mengambil bahagian di dalam pilihan raya selaku calon. Wanita hanya diberikan kerusi senator sahaja sebagai imbalan komitmen tertinggi mereka dalam perjuangan.

Dalam keadaan Pas yang menguasai satu atau dua buah negeri, maka peluang untuk wanita itu amatlah kecil sekali. Jadi peranan dan juga peluang kepada wanita amat terhad. Situasi ini menyebabkan orang luar dan kaum wanita sendiri merasakan Pas berlaku kurang adil kepada mereka, sedangkan komitmen mereka di dalam perjuangan Pas ada kalanya mengatasi kaum Adam.

Alhamdulillah kini Pas sudah berubah dan berganjak bersama arus dan sanggup menyahut tuntutan semasa. Pas peka kepada keperluan dan kepentingan itu bahawa wanita tidak boleh di kesampingkan di dapur sahaja sebaliknya perlu diberikan tugas dan tanggungjawab seiringan dengan lelaki.

Kini Pas bukan sahaja meletakkan wanita bertanding di dalam pilihan raya, tetapi mengorak jauh dari itu. Dr. Mariah sudah dicalonkan sebagai Naib Presiden. Pencalonan itu merupakan satu sejarah baru yang bakal membuka wadah Pas menjadi lebih luas dan fleksible lagi mengikut perubahan zaman.

Di atas sikap keterbukaan dan ‘celek dunia’ Pas itu, muslimat harus mengucapkan ‘mubarakah’ kepada perkembangan itu.

Terlanjur bercakap pasal pencalonan wanita ini, di sini ingin disebutkan bahawa pencalonan muslimat itu bukan dari perjuangan wanita. Pencalonan Dr. Mariah itu bukan lahirnya dari rahim wanita meskipun wanita adalah spesis yang ditakdir untuk melahirkan....! Ia bukan idea atau tuntutan dan kepekaan wanita.

Mungkin kerana muslimat Pas masih beranggapan mereka perlu ditabir dengan telekong sepanjang masa (dan tidak diketahui bila masa boleh dibukanya), maka mereka tidak berani untuk menyuarakan itu meski pun ia adalah tuntutan naluri mereka.

Di sinilah hebatnya wanita dalam membendung nafsunya serta mematuhi peraturan agama yang disusun oleh para ‘agamis’.

Sebenarnya idea itu datangnya dari lelaki. Ia menjadi mudah menyemarak apabila disambut baik oleh personaliti tertinggi di dalam Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

Kalau bukan Nik Aziz yang memberi reaksi kepada cadangan itu, mungkin pencalonan wanita sebagai Naib Presiden ini akan menjadi isu hangat di dalam Pas. Tetapi disebabkan orang berautoriti bercakap maka semuanya patuh dan akur meskipun ada ruang untuk membahasnya.

Kini Dr. Mariah sudah mendapat lebih dari dua pencalonan dan melayakkan beliau untuk meneruskan perjuangan memartabatkan wanita di dalam jemaah Pas. Terpulang di atas pendiriannya dan juga perkembangan Pas seterusnya. Perahu sudah di air pendayung sudah ditangan. Pintu bilik sudah ditutup... anak-anak sudah tidur..!

Sebenarnya ilham hendak mencalonkan Naib Presidan dari kalangan wanita datang daripada saya. Suatu hari selepas menunaikan solat Zohor bersama bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkefli Sulung dan bekas ahli Parlimen kami bersembang mengenai pemilihan di dalam Pas khasnya untuk jawatan Naib Presiden.

Zul meninjau pendapat saya selaku penulis mengenai calon-calon yang layak dan sesuai. Beliau mahu memintas pandangan saya sebagai seorang penganalisis politik yang hampir dengan Pas. Mulanya saya tidak berminat memberi komen sebab ada banyak calon yang sedang mempamerkan diri ketika itu untuk dicalonkan.

      

Tetapi Zul memberi reaksi kurang senang dengan calon yang ada sekarang. Menurutnya setengahnya berprestasi buruk termasuk uzur terutamanya yang sedang menyandangnya. Manakala beberapa calon yang diketengahkan pula tidak menuruti kapasiti sebagai bakal pemimpin harakah Islam di era moden dan lebih kurang sahaja dengan yang sedia ada.

Menurutnya dari sekian banyak itu ada dua calon sahaja yang dikira sesuai dan ideal untuk duduk di situ sebagai barisan kedua selaku pelapis kepada pimpinan yang ada dan juga diharap membawa perubahan (mood dan islah) baru kepada Pas di masa akan datang.

Kerana respons dan merasa ada kebenaran kepada kata-kata Zulkefli itulah maka saya melontarkan idea spotan; kenapa tidak calonkan sahaja wanita sebagai Naib Peresiden. Pas perlu mencalonkan wanita untuk menjadikan muktamar tahun ini mariah! Lagipun di kalangan muslimat Pas ramai yang berkelulusan profesional dan mempunyai tahap perjuangan yang tinggi”, ujar saya.

“Siapa?” Tanya Zul cepat dan seakan melupai nama-nama hebat dan ‘bergelingah’ di dalam muslimah.

“Banyak! Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Dr. Mariah adalah di antara wanita yang layak kalau Pas hendak letakkan di kerusi Naib Presiden, mereka juga tidak kalah kalau dibandingkan dengan Rafidah atau Azalina” katanya saya.

“Kalau Pas dapat memilih wanita menjadi Naib Presiden ia juga akan mendahului Umno di dalam soal ini kerana Umno menghantar Ketua Wanitanya sahaja sebagai Naib Presiden dan belum pernah diletakkan bertanding dengan jantannya,” sambung saya lagi.

“Molek”! Jawab Zul begitu gembira sekali. Tanpa berfikir panjang dan melupai saya bukan stafnya, beliau mengarah saya akan mula mencetuskan idea itu di dalam tulisan saya.

Selepas percakapan itu, saya meninggalkan begitu sahaja idea itu. Saya tidak serius untuk menanganinya apa lagi menulis di dalam tulisan saya bagi mencambahkan isu itu. Secara peribadi dan tulus bagi saya wanita masih belum sesuai (bukan tidak layak) untuk menjawat salah satu kerusi itu. Jadi idea itu tertangguh begitu sahaja.

Hinggalah tiba-tiba ada sepucuk surat pembaca dalam Harakahdiay.net. mengutarakan perkara itu. Surat itu memberi cadangan yang merupakan lanjutan kepada gimik itu. Namun nadanya serius. Surat itu kemudian disambut pula oleh Malaysiakini (saya percaya surat itu ditulis oleh Zulkefli sendiri) lantas ia menjadi semakin menyemarak.

Dari situlah idea atau gimik itu berkembang dan mulai menjadi serius apabila Prediden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diasak oleh wartawan menyatakan pihaknya (Pas) tidak menjadi halangan kalau wanita dicalonkan. Jawaban dan penyataan sikap sporting Hadi itu disambut pula oleh Nik Aziz yang langsung menamakan Dr. Mariah sebagai calonnya.

Begitulah idea dan gimik itu berkembang dan menjadi serius dan mendapat perhatian pula hari ini.

Persoalannya kini sejauh manakah seriusnya pakara itu? Ada beberapa hal yang perlu dijelaskan oleh Pas di sebalik usaha untuk menaikan martabat wanita ke kerusi Naib Presiden.

Apabila keadaan sudah serius maka saya kena perbetulkan kerana saya terlibat di dalam mencambahkan idea itu. Ini bukan saya anti kepada wanita tetapi ada beberapa hal yang perlu dijawab oleh Pas secara rasional terlebih dahulu sebelum menjadikan isu pencalonan wanita itu sebagai agenda bersama pada muktamar nanti.

Pertama, apakah Pas sudah merasa perlu seorang wanita berada di kerusi berkenaan? Apakah dengan tiga tokoh wanita yang ada kini, Ketua Muslimat (Kalsum Othman), Dr. Mariah Mahmud dan Dr. Lo’ Lo’ Ghazali sebagai ahli jawatankuasa agung masih belum memadai bagi mereka memperjuangkan hak wanita serta menjadi daya penarik wanita agar meminati perjuangan Pas?

Kedua, kalau alasan untuk memilih muslimat menjadi Naib Presiden sebagai hendak mendahului Umno ia tidak memberi apa-apa impak besar kepada perjuangan Pas dalam menyaingi Umno. Jawatan itu buka pelaris untuk wanita menyertai Pas sebaliknya yang penting bagaimana wanita berperanan dan membela wanita di dalam Pas.

Usaha ini sudah boleh dilakukan oleh tiga tokoh wanita yang ada di dalam kepimpinan tertinggi hari ini.

Ketiga, kehadiran calon wanita itu mencuri peluang kaum lelaki yang dilihat lebih diperlukan dan ‘tanggung’ untuk memperjuangkan Pas. Sebagai harakah Islamiah Pas walaupun disinis sebagai organisasi ekstrim dan sebagainya Pas wajar menjaga imej dan tatasusila bagaimana harus meletakkan wanita di medan perang.

Keempat, apakah kaum wanita sudah bersedia untuk menerima seorang wanita berada di tempat itu? Kalau wanita masih belum bersiap sedia, kita tidak nampak kehadiran wanita di situ dapat memberi sumbangan bermakna kepada perjuangan dan khasnya menjaga kepentingan wanita di dalam Pas.

Sekiranya empat persoalan ringkas ini dapat dihurai dan dijelaskan maka tidak ada sebab idea yang bermula dari suatu lontaran idea (gimik) itu tidak boleh diangkat menjadi serius.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved