Idealis Mahasiswa
 
 

Kebimbangan ulama dalam Pas


Hit = [ ]

sumber - Utusan Malaysia

"Golongan ulama mesti bangun dan bergerak cergas dalam kepimpinan parti. Kalau perkara ini tidak berlaku tunggulah saat-saat kehancurannya. Selain itu ulama jangan hanya menjadi seperti pak turut tanpa ada pendirian dalam menegakkan perjuangan.

"Kalau di zaman awal perjuangan Pas, guru-guru agama dan imam yang menjadi calon, namun sekarang golongan tersebut sudah dipinggirkan." Kenyataan tegas ini dibuat oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas pusat, Mohamed Daud ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan kali ke-34 di Ketereh, Kelantan, kelmarin.

Peringatan tegas ini jelas memaparkan keresahan ulama Pas seperti Mohamed yang mulai bimbang bahawa golongan profesional dalam parti itu akan menguasai pemilihan Pas yang akan berlangsung pada 1 Jun ini.

Kebimbangan Mohamed ini mungkin berdasarkan kepada pencalonan yang dibuat oleh kawasan-kawasan Pas di seluruh negara yang menyaksikan dua jawatan penting dalam parti tersebut terutamanya jawatan naib presiden kini dikuasai oleh golongan profesional.

Pencalonan itu sudah tentulah membimbangkan ulama-ulama dalam Pas kerana jawatan naib presiden dilihat penentu kepada kepimpinan Pas di masa depan.

Setakat ini tidak kurang daripada 14 nama sudah dicalonkan untuk jawatan berkenaan dan majoriti calon bukanlah berlatar belakang ulama. Ia lebih meresahkan golongan ulama dalam Pas apabila calon-calon daripada golongan profesional ini dianggap calon favourite untuk menang, selain Nasharuddin Mat Isa.

Antara mereka ialah Husam Musa, Mustapa Ali, Datuk Dr.Hassan Ali, Mohamad Sabu dan Dr. Siti Mariah Mahmud.

Bagi jawatan timbalan presiden, ulama seperti Mohamed sudah tentu tidak bimbang memandangkan setakat ini calon favourite adalah antara Dr. Haron Din dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Mereka dikatakan akan bersaing dengan penyandang jawatan Hassan Shukri.

Apa pun, kenyataan Mohamed sudah jelas menampakkan bahawa golongan ulama yang selama ini dilihat peneraju utama kepimpinan Pas semakin resah akan kehilangan pengaruh mereka dalam parti itu.

Tambahan pula, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dikatakan mengalu-alukan golongan profesional untuk membarisi saf utama kepimpinan.

Ini kerana jika berdasarkan laporan, Nik Abdul Aziz dalam perjumpaannya di setiap kawasan Pas di seluruh Kelantan mahukan corak kepimpinan Pas di masa akan datang mempunyai versi baru dan pemikiran global dalam usaha membawa Pas ke persada politik antarabangsa dan mampu menarik perhatian semua kaum.

      

Pendirian seumpama ini dikatakan telah mencorakkan pencalonan untuk pemilihan kali ini sehinggakan ada segelintir ulama dalam Pas yang mula merasakan kedudukan mereka terancam.

Justeru hujah bahawa perjuangan Islam akan hancur jika bukan ulama menjadi pemimpin mula diketengahkan.

Kebimbangan

Sebenarnya, soal kebimbangan ulama Pas ini bukanlah isu baru malah ia sudah wujud sejak lama dahulu dan keadaan itu menjadi bertambah parah untuk parti berkenaan apabila mereka tewas teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Berikutan kekalahan berkenaan, golongan ulama yang menjadi peneraju Pas termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut dipersalahkan kerana membawa imej yang dilihat menyebabkan kaum lain tidak mahu menyokong Pas.

Justeru tidak hairanlah selepas pilihan raya umum lalu sudah ada desakan dalam Pas supaya reformasi kepimpinan dilakukan, di mana kalau boleh biarlah golongan ulama menjadi penasihat sahaja manakala soal kepimpinan dalam parti dan berjuang dalam pilihan raya diuruskan oleh golongan profesional.

Walaupun idea ini dilihat baik namun ia tidak dapat diterima oleh golongan ulama sehingga muncul `pelbagai syarat' untuk golongan profesional jika mereka mahu menjadi peneraju utama Pas.

Keadaan ini sudah tentulah berbeza dengan Indonesia yang mana parti-parti Islam diterajui oleh golongan profesional manakala ulama hanya menjadi penasihat.

Hasilnya, banyak parti Islam di negara itu mencapai kejayaan kerana mendapat sokongan daripada rakyat pelbagai kaum dan keturunan, apatah lagi mereka tidak terlalu ghairah untuk mempamerkan imej Islam seperti mana dilakukan oleh Pas.

Oleh itu, pemilihan kali ini dilihat pentas terbaik oleh ahli-ahli Pas untuk membawa arus perubahan kepada kepimpinan parti berkenaan dalam usaha mereka untuk memastikan Pas kembali bernafas dalam pilihan raya umum nanti.

Justeru cara terbaik ialah membuat persiapan agar golongan profesional bertapak di saf kepimpinan utama seperti jawatan naib presiden.

Walaupun jawatan itu hanya nombor tiga dalam parti tetapi ia amat penting dan bakal menentukan corak kepimpinan Pas di masa depan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved