|
Kemenangan tipis Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan untuk mengekalkan jawatannya bagi penggal kelima Ahad lalu – hanya dengan kelebihan dua undi – dipercayai berpunca daripada gaya kepimpinannya yang didakwa “tidak demokratik dan kurang ketelusan”.
Walaupun pertama kali bertanding, pencabarnya Dr Halimah Ali, yang juga bekas ahli jawatankuasa sebelum ini, memperolehi 94 undi – dua undi kurang daripada yang diperolehi oleh Wan Hasrina (96).
Mereka yang hadir menyifatkan perhimpunan kali ini panas apabila ahli jawatankuasa lalu dicabar supaya menjelaskan mengenai beberapa keputusan kontroversi serta tindakannya mensasarkan bahagian yang dilihat tidak sehaluan dengan Wan Hasrina.
Pemimpin akar umbi dewan muslimat negeri ketika dihubungi malaysiakini, berkata berdasarkan suasana sekarang, Wan Hasrina mungkin berdepan dengan banyak lagi masalah sekiranya beliau mengekalkan gaya kepimpinanya yang dikatakan tidak demokratik dan tidak telus.
Kemenangan tipisnya itu serta pemilihan muka baru – termasuk Dr Siti Mariah Mahmud yang terpilih sebagai Naib Ketua Muslimat PAS Selangor – adalah petanda bahawa kualiti kepimpinan Wan Hasrina sedang dipersoalkan.
Berdepan dengan halangan
Sudah menjadi rahsia umum bahawa dewan muslimat Selangor terpaksa berdepan dengan banyak halangan kebelakangan ini berikutan wujudnya perbezaan antara pemimpin lama dan baru yang sering menyuarakan pandangan mereka yang kritikal.
“Kami mahukan perubahan. Kami memerlukan satu barisan yang padu untuk membantu membaiki parti secara keseluruhannya. Kami sudah jemu dengan cara beliau merendah-rendahkan pandangan mereka yang tidak sehaluan dengannya,” kata seorang perwakilan dari sebuah bahagian di Lembah Klang, yang menyertai PAS sewaktu era reformasi tahun 1998.
“Kami mahu keputusan dibuat secara lebih telus. Kami harap beliau faham mesej kami ini,” katanya.
Perwakilan itu juga yakin, barisan kepimpinan baru akan membuat perubahan dalam pentadbiran dewan muslimat Selangor, terutama dalam mengurangkan pergeseran pendapat antara Wan Hasrina dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, yang didakwa telah menjejaskan pelaksanaan program parti di peringkat negeri.
“Saya tidak fikir kali ini Wan Hasrina boleh mengenepikan Dr Hassan begitu sahaja sepertimana yang dilakukannya sebelum ini. Kami tidak akan membenarkan beliau meneruskan gaya kepimpinannya sekarang...akibatnya adalah sangat serius,” kata perwakilan tersebut yang tidak mahu namanya disebut.
Tingkatkan ketelusan
Seorang lagi perwakilan berkata, adalah sukar bagi Wan Hasrina untuk meneruskan gaya kepimpinan lamanya kerana penyandang baru yang lain, akan memastikan wujud ketelusan dalam proses membuat keputusan.
| |
“Beliau kini terpaksa bekerjasama dengan Dr Mariah dan Mastura Muhammad - dua pemimpin yang sering menjadi sasaran kritikannya. Juga terdapat beberapa muka baru dalam jawatankuasa muslimat. Saya pasti mereka akan sentiasa mengingatkan beliau mengenai tugas dan tanggungjawabnya jika timbul keperluan untuk mereka berbuat demikian,” katanya.
Mastura – yang mengetuai bahagian Muslimat Kelana Jaya – berkata barisan kepimpinan baru itu terdiri daripada gabunan golongan profesional dan ustazah yang menandakan satu bab baru dalam dewan muslimat Selangor.
“Saya percaya para perwakilan mahukan perubahan. Saya dapat melihat ini daripada cara mereka bercakap dan membuat kritikan. Mereka mahu lebih ketelusan, menangani dengan baik sebarang perbezaan pendapat dan merangka pelan dan strategi politik yang lebih mantap,” katanya ketika dihubungi.
Mengenai kritikan terhadap Wan Hasrina, Mastura berkata, beliau lebih mementingkan kekuatan seorang itu daripada menumpukan kepada kelemahan-kelemahannya.
“Kita akan fokus kepada kekuatannya dan akan menyokongnya sebagai ketua. Apa juga masalah yang wujud, kini sudah berlalu. Saya percaya, jika kami bersatu, tiada apa yang tidak boleh kami lakukan,” katanya.
Terperanjat menang
Ketika diminta mengulas mengenai kemenangan tipisnya itu, Wan Hasrina berkata beliau terperanjat kerana masih mampu mempertahankan jawatannya.
“Saya fikir saya akan kalah. Malah saya terperanjat yang saya menang...sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak ‘gelombang tsunami’ yang melanda dewan ini, tetapi saya tidak mahu menuduh sesiapa,” katanya.
“Saya menerima apa yang telah berlaku. Saya bersedia untuk menilai semula diri saya, pelakuan dan keputusan saya sebelum ini yang tidak disukai oleh sesetengah pihak,” tambahnya.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan persepsi bahawa keputusan pengundian itu menunjukkan para perwakilan mahukan perubahan.
“Sebenarnya, orang baru itu, pada hakikatnya, bukanlah baru. Mereka telah lama bersama kita tetapi tidak memegang sebarang jawatan. Tidak ada apa yang salah dengan ahli jawatankuasa sebelum ini. Mereka bersikap progresif sama seperti mereka yang baru dipilih,” tambahnya.
Sambil menafikan wujudnya politik berpuak-puak dalam dewan muslimat negeri itu, Wan Hasrina berkata, apa yang penting ialah menyatupadukan semua ahli dan memastikan program parti dilaksanakan.
Katanya, ini termasuk lawatan ke peringkat akar umbi untuk mengembalikan “semangat” ahli dan pekerja parti.
|