Idealis Mahasiswa
 
 

200 permit teksi: Saya difitnah menjelang muktamar PAS, kata Mahfuz


Hit = [ ]

oleh: Muda Mohd Noor
sumber: Malaysiakini.com May 20, 05 5:47pm

Bekas Ketua Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, ada pihak yang sedang menyebar fitnah terhadap dirinya supaya beliau kalah dalam pemilihan pucuk pimpinan parti bulan depan.

Beliau yang bertanding bagi jawatankuasa pusat parti itu, berkata, ia termasuklah dakwaan kononnya beliau memperolehi 200 permit teksi dari bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Nazri Aziz semasa beliau (Mahfuz) menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena.

“Ini satu agenda tersembunyi. Mungkin mereka ada perancangan menjelang Muktamar PAS di Kota Bharu pada 1 hingga 6 Jun ini di mana saya akan bertanding dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Mereka telah menyerang saya tetapi saya tidak tahu motifnya...mungkin ada kena mengena dengan muktamar tersebut. Jika benar, ia adalah sesuatu yang tidak sihat dan perlu dihentikan segera.

“Menyebarkan fitnah sedemikian rupa adalah bukan amalan PAS tetapi Umno. Nampaknya budaya buruk itu telah mula meresap ke dalam PAS.

“Mengapa tidak timbul soal beberapa pemimpin utama PAS lain, termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memiliki Rexton baru dan AJK, Mohd Sabu yang ada Nazaria...,” katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Mahfuz menegaskan demikian ketika diminta mengulas surat pembaca dalam sebuah lamanweb yang mendakwa beliau mendapat 200 permit teksi dari Nazri ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena dari tahun 1999 hingga 2004.

‘Saya tetap kritik Nazri’

Surat tersebut mendakwa, Mahfuz – semasa menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena – tidak mengkritik Nazri kerana mendakwa beliau telah mendapat 200 permit teksi dari Kementerian Pembangunan Usahawan.

      

Berikutan itu, penulis surat itu juga mendakwa, Mahfuz kini mampu memiliki kenderaan Rexton yang berharga lebih RM100,000 walaupun kalah dalam pilihanraya umum lalu.

Mahfuz mengakui memang beliau memiliki Rexton tetapi “saya tidak menerima walau satu permit teksi pun dari Datuk Nazri Aziz.

“Saya juga tidak pernah memohon permit teksi. Tidak mungkin seorang ahli Parlimen pembangkang akan mendapat permit yang begitu banyak,” katanya sambil menambah, beliau membeli kereta tersebut secara ansuran melalui pinjaman bank.

Malah, kata Mahfuz lagi, orang ramai boleh membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk melihat sama ada beliau mempunyai syarikat teksi.

Katanya, semasa menjadi ahli Parlimen Pokok Sena dahulu, beliau memang lantang mengkritik dan mendedahkan kepincangan Kementerian Pembangunan Usahawan yang diterajui Nazri, termasuk penyelewengan 6,000 permit teksi yang ditimbulkan oleh Presiden Persatuan Pemilik Teksi Seremban, Yusof Lahir.

“Dua kali saya menghantar memorandum kepada Nazri meminta beliau memberi penjelasan mengapa berlaku penyelewengan tersebut tetapi Nazri berkata, biarlah Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat siasatan,” katanya.

Malah sekarang, kata Mahfuz, beliau tetap mengkritik Nazri jika mempunyai isu-isu yang membabitkannya seperti isu undang-undang moral.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved