Idealis Mahasiswa
 
 

Halim Akui Risik Waheeda - Doakan Jodoh Kami


Hit = [ ]

oleh: Meen Tahrin
sumber - Bacaria Sabtu 21 mei 2005

KUALA LUMPUR: Deejay Radio Era, Halim Othman, 41, mengakui sudah pun menghadap ibu bapa Waheeda di Johor.

Dalam pertemuan itu, katanya mereka ada berbincang hal cadangannya hendak melamar penyanyi bertudung itu.

"Saya amat berharap kami ada jodoh. Apa yang saya boleh akui, hubungan kami semakin hari semakin rapat. Potensi ke arah perkahwinan adalah 100 peratus. Kini segalanya terpulang kepada takdir," kata Halim berterus terang kepada wartawan MEEN TAHRIN.

Apa pun, sebagai insan, Halim akur bahawa "kita hanya mampu merancang."

"Saya tidaklah mahu bersikap terlalu yakin tapi saya telah berusaha setakat yang terdaya," katanya.

Ditanya apa yang dimaksudkan dengan "usaha setakat yang terdaya" itu, Halim membangkitkan kehangatan suasana temubual itu dengan kenyataan, "Itulah. Saya telah berjumpa dengan ibu bapa Waheeda."

"Apabila seorang jejaka bertandang ke rumah anak dara orang, tentulah sedikit sebanyak ada berbicara mengenai jodoh. Ini menunjukkan kita ikhlas. Nampaknya mereka (ibu bapa Waheeda) menyambut baik hasrat murni saya," ujarnya.

Penyampai Radio Era yang masih bujang, Halim Othman, 41, tidak lagi berselindung tentang jodohnya.

Halim ketika ditemui secara eksklusif baru-baru ini mengakui hubungannya dengan penyanyi bertudung litup, Waheeda semakin intim.

Malah Halim sendiri turut mengakui telah berjumpa dengan kedua ibu bapa Waheeda bagi mendapatkan restu mereka.

Namun seperti mana kata Halim, mereka kini masih lagi dalam proses mengenali hati budi. Daripada tutur kata Halim, seolah-olah terpancar seri kebahagiaan di wajahnya.

Akhbar BACARIA terbitan 23 April lalu menyiarkan kenyataan Waheeda yang diminta memberi penjelasan tentang hubungan sebenarnya dengan Halim berikutan tersebarnya gosip kononnya mereka sedang dilamun cinta.

Seorang peminat Waheeda yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Peminat Setia sebelum itu hampir setiap hari menghubungi wartawan Meja Hiburan BACARIA meminta Waheeda sendiri menjawab gosip tersebut.

Tambah Halim, di antara mereka telah wujud satu persefahaman. Namun untuk lebih memahami, mereka perlu lebih masa dan ruang untuk bersatu.

Baginya jika telah ditakdirkan jodohnya dengan Waheeda sebagai pasangan suami isteri maka akan berkahwinlah mereka. Begitu juga dengan sebaliknya. Jika jodoh mereka hanyalah sebagai rakan, maka mereka akan terus kekal sebagai rakan.

"Sebagai manusia kita hanya merancang. Tetapi tuhan jugalah yang menentukan segalanya. Namun saya tetap berharap akan ada jodoh di antara kami. Potensi ke arah perkahwinan itu adalah 100 peratus. Kini segalanya terpulang pada-Nya," ujar Halim berterus-terang.

Bagaimanapun, Halim enggan terlalu yakin dengan jodohnya bersama Waheeda. Ditakuti jika sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan terjadi pasti akan memberi kesan besar pada kedua belah pihak.

      

Oleh itu, Halim kini sekadar mengambil sikap berusaha sebaik mungkin agar jodohnya ditemukan bersama gadis idamannya, siapa lagi kalau bukan Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abd. Wahab, 27, yang telah bertahta di hatinya.

Menjelaskan pertemuan Halim bersama keluarga Waheeda, Halim yang tidak lekang dengan senyuman di bibirnya berkata, dia amat gembira sekali kerana keluarga Waheeda turut gembira menerima kunjungannya.

Malah, kedua ibu bapa Waheeda sendiri memberi restu pada hubungannya dengan anak gadis mereka. "Apabila seorang lelaki bertandang ke rumah anak dara orang, tentulah sedikit sebanyak ada berbicara mengenai jodoh. Itu menunjukkan kita ikhlas untuk mencari jodoh.

"Nampaknya mereka (keluarga Waheeda) menyambut baik hasrat murni saya. Keluarga Waheeda merupakan keluarga yang terbaik dan saya amat gembira jika menjadi sebahagian daripada keluarga tersebut," ulas Halim penuh yakin.

Halim turut memberitahu, pihak keluarganya di Terengganu juga telah dimaklumkan mengenai perkara baik ini dan jelas keluarganya juga begitu gembira sekali untuk menerima Waheeda sebagai menantu pilihan mereka.

Menceritakan detik-detik permulaan hatinya terbuka untuk lebih mengenali penyanyi manis tersebut adalah ketika mereka sedang menghadiri majlis perkahwinan di antara dua pasangan sensasi Erra dan Yusri kira-kira dua tahun yang lalu.

"Saya telah mengenali Waheeda sebagai artis dah lama. Tetapi majlis persandingan Erra dan Yusry telah membuka ruang untuk saya lebih mengenalinya dengan lebih rapat.

"Sejak dari itu banyak pertemuan-pertemuan yang secara tidak tersengaja. Seolah-olah jodoh kami telah diatur dan dipermudahkan. Dibuka ruang yang lebih mudah untuk saling mengenali sehinggalah ke hari ini," ujar Halim tersenyum mengimbas kembali bibit-bibit pertemuannya dengan Waheeda.

Bagi Halim, Waheeda merupakan seorang gadis yang begitu istimewa dan mempunyai ciri-ciri isteri pilihannya.

Ketika ditanya benarkah bulan November merupakan tarikh keramat itu, Halim tidak menafikannya sebaliknya berkata, "Dalam lingkungan itulah..." ujarnya sambil ketawa besar.

"Namun kuasa tuhan siapa tahu," tambahnya lagi yang percaya cinta hanya wujud selepas perkahwinan.

Oleh itu, benarlah kata Waheeda seperti yang dijelaskan oleh Waheeda sendiri dalam BACARIA 23 April lalu yang mengatakan mereka tidak pernah bercinta sebaliknya mereka kini hanya dalam proses saling mengenali.

Waheeda juga dilaporkan tidak menolak andai jodohnya telah ditentukan bersama jejaka bermisai nipis tersebut.

"Doakan jodoh kami," ujar Halim kepada penulis mengakhiri pertemuan yang tidak dirancang itu.

Sesungguhnya kami di BACARIA sentiasa mendoakan impian Halim dan Waheeda akan menjadi kenyataan November ini. InsyaAllah.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved