Idealis Mahasiswa
 
 

Waheeda Tolak Hajat Halim


Hit = [ ]

oleh: Meen Tahrin
sumber - Bacaria Sabtu 28 Mei 2005

KUALA LUMPUR: Bukan mudah rupa-rupanya Halim Othman hendak memperisterikan Waheeda.

Tatkala deejay Radio Era itu sudah berani buka mulut kepada wartawan mengenai jodohnya dengan penyanyi tersebut. Waheeda bagaimanapun menganggap hubungannya dengan Halim tidak lebih hanya kawan biasa.

"Saya amat berharap agar Halim jangan mengharap apa-apa daripada saya. Bagi saya, dia hanya seorang kawan biasa, tidak lebih dari itu," tegasnya.

Kata Waheeda lagi, dia perlu berterus terang dan bertegas sekalipun itu mungkin boleh menyinggung perasaan Halim "kerana saya sudah ada pilihan hati sendiri... dan lelaki itu, pastinya bukan Halim Othman !"

Ketika ditanya mengenai kenyataan Halim yang mengaku pernah berkunjung ke rumah ibu bapa Waheeda malah ada berbincang mengenai jodoh mereka, Waheeda menjelaskan, memang benar Halim pernah berkunjung ke rumahnya.

"Tapi perlu saya nyatakan, ketika itu bukan dia seorang. Ramai kawan-kawan saya yang datang termasuk Yasin. Ini kerana pada masa itu kebetulan ayah saya hendak berangkat ke Sudan dan keluarga saya ada buat sedikit majlis."

Halim juga, kata Waheeda, memang pernah buka mulut di hadapannya mengenai cinta, jodoh dan kahwin "tetapi gaya tak fikir dia serius. Saya sendiri pun tak lah ambik port sangat sebab bagi saya, perkara itu (kahwin) saya tak anggap akan jadi kenyataan."

Ditanya lagi sama ada mungkin betul Halim ada berbincang tentang hal mereka dengan ibu bapanya, Haji Abdul Wahab dan Hajah Asri, Waheeda berkata:" Dia boleh kata apa saja. Dia juga boleh bincang dengan ibu bapa gaya tapi kata putus adalah di tangan saya sendiri."

Pun begitu, Waheeda sekali lagi mengingatkan Halim agar tidak mengharapkan apa-apa yang lebih (hubungan yang lebih dari kawan biasa) daripadanya kerana "ibu dan ayah saya pun sudah kenal baik dengan teman lelaki saya."

      

Penyanyi itu nyata terkejut ketika diberitahu mengenai pengakuan Halim tentang kunjungannya ke rumah keluarga Waheeda, sudah berbincang dengan ibu bapanya dan lebih dari itu turut mengakui bahawa potensi ke arah perkahwinan mereka kini sudah mencapai 100 peratus sebagaimana yang disiarkan di muka depan akhbar ini edisi lalu.

Menurut Waheeda, dia bukan hendak bersifat takbur tetapi hal perkahwinan adalah urusan serius, melibatkan maruah dan hati beberapa pihak, "sebab itulah saya perlu nyatakan apa yang sebenar."

"Bagi saya. Halim seorang yang terlalu yakin kepada dirinya. Dia akan bercakap apa yang dia rasakan betul pada pandangannya sehinggakan sebagai kawan, saya sendiri pernah menegur Halim supaya berfikir dulu sebelum berkata-kata," ujarnya.

Selain itu, kata Waheeda lagi, Halim adalah seorang yang banyak menggunakan terminologi, perkiraan-perkiraan dan percayakan 'feng shui'." Itu yang tak bolehnya. Saya selalu nasihatkan dia supaya jangan terlalu yakin pada semua kepercayaan-kepercayaan itu."

Waheeda juga tidak bercakap kosong. Katanya, dia telah pun melakukan solat istikharah untuk mendapat petunjuk tentang siapa lelaki yang akan menjadi jodohnya. "Apa yang saya boleh kata, dalam mimpi saya, wajah Halim tak pernah muncul berlainan dengan wajah yang seorang lagi itu (teman lelakinya)."

Bagaimanapun ketika diminta 'bercakap lebih sikit' tentang jeJaka tersebut, Waheeda dalam nada malu-malu mengakui mereka baru berkenalan sejak lebih satu setengah tahun lalu.

"Dia masih lagi belajar dan hubungan kami buat masa ini lebih sebagai kawan rapat. Kami masih belum bersedia untuk memberi komitmen tentang jodoh, tengoklah dua tiga tahun lagi," kata Waheeda, 27.

Bagaimanapun kata penyanyi itu lagi, apa yang paling tepat sudah tentulah takdir. "Kita tunggu sajalah bila akan sampai masanya."





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved