|
SELEPAS Halim Othman memberikan komen mengenai gosip hubungan cintanya dengan Waheeda, kita baca pula apa kata penyanyi cantik ini, Shikin menelefon Waheeda dan bertanyakan kisah panas itu.
Waheeda mengakui dia memang sudah lama mengenali Halim terutama apabila setiap hari suara Halim ke udara di radio Era. Dia juga tidak menafikan pernah keluar berdua-duaan dengan Halim iaitu pada tahun lepas.
Kata Waheeda, "Tapi saya keluar dengannya bukan untuk berdating kerana cinta, tapi kerana saya diajak oleh Halim Othman menyertai satu program anjuran Halim dan rakannya, Zali. Program ni dipanggil Mind Symphony iaitu satu program motivasi diri.
"Kami bertemu di Hotel Sunway Ramadhan tahun lalu. Sepatutnya saya bertemu dengan Halim dan Zali sekali, tetapi waktu itu hanya Halim saja yang datang. Jadi kami berbincang soal itulah, sebab saya berminat nak sertai program motivasi itu. Bayaran untuk satu sesi ialah RM350.
"Tapi lama lepas tu, saya terlupa dengan cerita program itu dan bila berjumpa semula dengan Halim, saya baru teringat nak ikuti semula program tu. Jadi lebih dua minggu lepas, saya ikuti program tu di bawah kelolaan Zali. Saya dan Zali saja yang bertemu dalam sesi itu di satu kafe yang bising dan terbuka. Sebabnya program tu mahu melihat sejauh manakah kita prihatin dengan keadaan sekeliling kita. Teknik yang diajar memang menarik dan berguna untuk saya gunakan ketika mengadakan motivasi untuk para pelajar."
Hanya Kawan Biasa
Kata Waheeda, hubungan dirinya dengan Halim layak dilabelkan sebagai hubungan kawan biasa. Tidak ada perasaan istimewa di antara kedua-dua mereka walaupun Halim pernah bertemu dengan keluarganya.
Kata Waheeda, "Saya dan Halim sebenarnya tidak ada chemistry (tak ada keserasian). Tak mungkin saya dan dia boleh jadi kekasih sebab entahlah... cuma saya rasa tidak sesuai saja. Halim baik, dia bijak dan penuh ilmu tapi tak bolehlah... saya tak boleh 'masuk' dengan cara dia.
"Dalam berkawan, saya tak nafikan dia okey tapi ada kalanya dia bercakap tak berhenti-henti. Sampai saya nak menyelit pun tak boleh... hahaha... ada kalanya Halim ni menjadikan perkara yang mudah menjadi makin rumit. Bagi kita, kalau A... A lah, tak payahlah nak dijadikan A+B+C pulak...
"Kadang-kadang saya cakap dengan Halim, 'boleh tak bercakap sebagai seorang manusia... bukan makhluk asing'. Hahaha... sebab itulah saya tahu saya dan Halim tidak ada chemistry. Setakat kawan-kawan macam tu sajalah."
| |
Ehem ehem... itulah jawapan Waheeda. Terpulang kepada pembaca kalau nak mengatakan Waheeda cuba berselindung di sebalik kisahnya dengan Halim melalui jawapan ini. Apa yang pasti Waheeda telah menjawab gosip kononnya mereka berdua bercinta !
Kecewa Dengan Album
Bagaimana dengan album baru ? Kata Waheeda, "Album kedua saya berjudul Binafsha diedarkan sejak September lalu. Ramai tak menyedari mengenai album ini kerana sehingga kini promosi album itu tidak dibuat, malah pelancaran album pun tidak ada. Waheeda sudah penat menjawab pertanyaan para peminat termasuk wakil media mengenai kemunculan album terbaru.
"Bila saya tanyakan pada syarikat rakaman, mereka ada alasan.
Jadi saya pun dah malas nak tanya lagi.
"Sekarang ni, saya buat promosi sendiri, sebab saya tak suka kerja separuh jalan. Susah nak terus dengan album baru kalau promosi untuk album ini pun tak berjalan. Bagi saya, pemasaran album kali ini memang gagal.
"Saya juga tengah rancang nak buat klip video saya sendiri sebab sehingga ke hari ini, langsung tak ada klip video untuk album saya. Saya ada kumpulan saya sendiri yang akan bantu untuk promosi.
"Bagaimanapun saya akan berusaha mendapatkan sumber kewangan dari syarikat rakaman untuk klip video ini. Kalau mereka tak beri, saya mungkin akan keluar duit sendiri. Usaha saya ni pun untuk jangka masa panjang juga."
Uruskan Pertandingan Nasyid
Waheeda sebenarnya baru saja selesai menjalani penggambaran klip video bersama kumpulan Brothers. Dia diundang bergabung suara bersama Brothers, Yassin dan Too Phat dalam album terbaru Brothers. Dua lagu nyanyian ramai itu ialah Kembali Bersatu dan Satu Misteri.
"Sekarang ini, saya dan alumni Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) dalam proses menguruskan pertandingan nasyid di semua universiti tempatan. Tujuan kami untuk membabitkan golongan remaja supaya sama-sama berdakwah," kata Waheeda.
|