Idealis Mahasiswa
 
 

Mahfuz Omar yang mengecewakan !


Hit = [ ]

oleh Ahmad Sufi Bin Shamsudin, Pokok Sena
sumber-Ummah online 07:00pm 17 Mei 2005

Sebagai seorang penyokong Pas, saya amat meminati Haji Mahfuz Omar kerana kepetahannya berceramah dan berdebat untuk mendedahkan kebobrokan sistem yang diperjuangkan Umno. Saya juga turut berbangga kerana beliau pernah berjaya menjadi ahli parlimen Pokok Sena.

Saya amat kagum dengan kehebatannya di dalam dan luar parlimen yang menyebabkan pemimpin Umno gerun terhadap keberanian beliau membongkar segala penyalahgunaan kuasa mereka samada pemimpin Umno negeri mahupun di peringkat pusat.

Boleh dikatakan beliau sekurang-kurangnya akan mengeluarkan kenyataan akhbar untuk membantah sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh mereka walaupun beliau sendiripun mengetahui bahawa salakan-salakan dari pembangkang (walaupun disertakan dengan bukti yang kukuh seperti yang dilakukan oleh saudara Ahmad Lutfi Othman terhadap menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo) tidak berupaya untuk menghasilkan dakwaan daripada pihak pendakwa terhadap si pesalah (pemimpin Umno) berkenaan.

Tetapi beliau telah mengecewakan saya apabila saya mendapat maklumat dari sumber yang kukuh (pegawai kementerian) bahawa Haji Mahfuz telah dianugerahkan sebanyak 200 permit teksi oleh Datuk Nazri ketika Datuk Nazri menjadi Menteri Pembangunan Usahawan.

Tambah menyedihkan saya apabila saya dapati Haji Mahfuz tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi seperti yang beliau lazim lakukan dalam isu penyelewengan permit teksi yang dikatakan dilakukan oleh bekas Menteri Pembangunan Usahawan itu (kes yang menjelaskan kepada kita betapa kurang ajarnya menteri Umno yang mengkritik pegawai BPR yang menemuramahnya di atas alasan pegawai kerajaan harus hormat kepada menteri).

      

Setelah diteliti barulah saya tahu mengapa Haji Mahfuz tidak bersuara dalam isu ini kerana beliau sendiripun turut terlibat sama. Sumber yang memberitahu saya tentang perkara ini mendedahkan bahawa Haji Mahfuz baik dengan Datuk Nazri semenjak beliau menjadi ahli parlimen Pokok Sena.

Sumber itu juga memberitahu saya tentang sikap Datuk Nazri yang suka membina hubungan baik dengan semua orang termasuk pembangkang bagi mengurangkan musuh politik beliau terutamanya Haji Mahfuz yang digeruni oleh semua kawannya (dalam Umno) itu.

Patutlah Haji Mahfuz tidak pernah mengganggu Datuk Nazri sampai ke hari ini. Sungguh tidak diduga betapa pintarnya politik Datuk Nazri sehingga berjaya mendiamkan mulut tokoh pujaan saya itu.

Saya turut mendapat maklumat tambahan apabila saya menyiasat perkara ini daripada beberapa orang ahli dan pemimpin Pas yang mengakui kebenarannya. Antara orang yang mendapat habuan dari 200 permit teksi itu yang diberikan oleh Haji Mahfuz ialah rakan-rakannya di Kuala Lumpur termasuk Raja Iskandar yang pernah menjadi setiausaha politiknya ketika Haji Mahfuz menjadi Ketua Pemuda Pas.

Dengan terdedahnya perkara ini, maka saya tidak hairan bagaimana Haji Mahfuz mampu memiliki Rexton yang bernilai lebih daripada RM100,000.00 selepas mengalami kekalahan pada pilihanraya tahun lepas.

Saya amat kecewa dengan sikap Haji Mahfuz ini, walaubagaimanapun saya berharap agar beliau insaf dan bermuhasabah kembali tentang asas perjuangannya selama ini untuk menegakkan Islam dan membela rakyat yang dizalimi.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved