Idealis Mahasiswa
 
 

Pemilihan pucuk pimpinan: Pemimpin PAS tidak sekata


Hit = [ ]

oleh: Muda Mohd Noor
sumber - Malaysiakini.com May 25, 05 2:51pm

Muktamar PAS di Kota Bharu yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu tinggal beberapa hari lagi dan para pemimpin utamanya jelas tidak sehaluan berhubung mengenai pertandingan bagi jawatan timbalan presiden.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pemilihan tetapi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu jawatan itu diberi kepada Ketua Penerangan, Datuk Dr Haron Din tanpa sebarang pertandingan.

Senator Hassan Shukri pula telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan timbalan presiden kerana “bukan budaya PAS bagi seseorang calon menarik diri kerana ia merupakan mandat daripada kawasan”.

Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali lebih suka tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden itu dan diputuskan melalui jalan perundingan.

Manakala ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mahfuz Omar yang akan bertanding jawatan naib presiden berkata, perlembagaan PAS membenarkan ahli bertanding sebarang jawatan termasuk presiden dan tiada pihak yang boleh menghalang mereka berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan Nik Aziz supaya beberapa calon menarik diri untuk mengurangkan pergeseran khususnya pertandingan bagi jawatan timbalan presiden “adalah pandangan peribadi beliau sahaja”.

Dr Haron yang menerima pencalonan terbanyak bagi jawatan timbalan presiden berulangkali menegaskan beliau hanya akan menerima jawatan tersebut tanpa sebarang pertandingan.

      

Tiada campurtangan

Kenyataan tegas Nik Aziz itu mendorong Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyuarakan kesediaannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden untuk laluan kepada Dr Haron yang juga timbalah mursyidul am PAS.

Hadi yang tidak dicabar dilaporkan berkata, beliau tidak mahu campurtangan sama ada calon bagi jawatan dalam parti itu harus menarik diri atau tidak.

Sebaliknya, kata beliau, terserah kepada para calon untuk menilai diri masing-masing dan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasrat untuk bertanding.

Nik Aziz pula berkata, beliau membuat cadangan tersebut atas kapasitinya selaku Mursyidul Am dan tidak berniat untuk campurtangan berhubung pemilihan pucuk pimpinan parti itu.

“Saya (cuma) menasihatkan bukannya campurtangan. Ia adalah istilah yang berbeza,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama semalam.

Hassan juga menolak andaian bahawa pertandingan sengit dalam jawatan timbalan presiden akan memberi kesan buruk termasuk perpecahan kepada parti.

Hassan mengesahkan ia akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang dimenangi pada tahun 2003. Dalam pemilihan itu, beliau mengalahkan Mustafa..

Mahfuz mahukan pertandingan kali ini dijalankan dengan penuh etika selaras dengan slogan PAS parti Islam selain menghentikan budaya fitnah yang mula meresap di dalam parti.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved