Idealis Mahasiswa
 
 

Timbalan Presiden: Haron Din tolak pencalonan kerana masalah kesihatan


Hit = [ ]

sumber - Malaysiakini.com May 25, 05 7:19pm

Ketua Penerangan PAS pusat, Datuk Dr Haron Din secara rasmi menolak pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS kerana masalah kesihatan.

Beliau memaklumkan keputusan muktamadnya itu kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menziarahinya di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Sehubungan itu, Dr Haron yang juga timbalan mursyidul am PAS mengucapkan terima kepada semua kawasan yang telah mencalonkannya untuk jawatan tersebut.

“Masalah kesihatan yang beliau hadapi sekarang tidak mengizinkan beliau menjalankan tugas dengan sempurna. Maka dengan rasa penuh keberatan, beliau terpaksa menolak pencalonan kali ini,” kata Hadi dalam satu kenyataan petang ini.

Dr Haron kini berada di IJN bagi mendapat rawatan terhadap masalah sakit jantung yang berulang.

Hadi juga mengesahkan yang Dr Haron akan berangkat ke Amerika Syarikat pada 28 Mei ini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sejak tiga bulan yang lalu, beliau menyebut kerap menghadapi masalah bersabit jantung beliau. Oleh yang demikian, pihak pakar telah menasihatkan beliau berehat dan tidak mengambil tanggungjawab yang berat,” tambah Hadi.

Katanya, Dr Haron juga mengesahkan ada bertemu dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dua hari lalu, dan telah diberitahu bahawa banyak kawasan yang mencalonkannya untuk jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar kali ini.

“Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan kesanggupan untuk menerima pencalonan setelah dimaklumkan majoriti kawasan mencalonkan beliau. Penerimaan tersebut bergantung kepada kesihatan beliau,” katanya.

      

Tawar diri

Bagaimanapun, kata Hadi, kerana masalah kesihatan yang dihadapinya sekarang, maka Dr Haron mengambil keputusan untuk menolak pencalonan bagi jawatan timbalan presiden kali ini.

Penyandang jawatan tersebut, Senator Hasan Shukri telah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu dalam pemilihan parti kali ini.

Berikutan keputusan Dr Haron, yang merupakan calon popular bagi jawatan tersebut, maka seorang lagi calon, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Halim Abdul Rahman dijangka menerima pencalonan bagi jawatan tersebut.

Sebelum ini, Halim menyatakan kesediaannya untuk menarik diri berikutan nasihat Nik Aziz bagi membolehkan Dr Haron dipilih menjadi timbalan presiden.

Dengan perkembangan terbaru ini, ramai yang percaya, selepas Dr Haron, beliau merupakan calon paling layak untuk menyandang jawatan tersebut.

Ini berikutan kedudukan Hasan dikatakan agak tergugat berikutan isu kegagalan pelaburan yang dialami Koperasi Kohilal, sewaktu beliau menjadi pengerusinya, yang menyebabkan ramai ahli PAS mengalami kerugian.

Turut dicalon bagi jawatan timbalan presiden ialah Datuk Mustafa Ali, tetapi setakat ini, beliau telah menarik diri.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved