Idealis Mahasiswa
 
 

Perebutan dalam PAS tidak dapat dielakkan


Hit = [ ]

Oleh Zulkiflee Bakar (WARTAWAN UTUSAN)
sumber - Utusan Malaysia

Sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Timbalan Presiden Pas, Senator Hassan Shukri dengan tegas menyatakan bahawa beliau tetap akan mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan kepimpinan Pas pada muktamarnya pada 3 Jun ini.

Kenyataan itu sekali gus melenyapkan sebarang usaha bagi mengelakkan pertarungan tercetus dalam perebutan jawatan timbalan presiden yang bakal menyaksikan lapan calon bertanding.

Hassan membuat pendirian tegas tersebut setelah Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia secara terbuka menyokong Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din bagi menduduki jawatan timbalan presiden.

Walaupun pendirian berkenaan dikatakan boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak terutamanya calon yang bertanding namun kenyataan Nik Abdul Aziz itu dilihat sebagai membuka kembali harapan penyokong Pas yang tersadai pada pemilihan yang lalu.

Ini kerana ketika itu walaupun majoriti ahli Pas mahukan Dr. Haron menjawat jawatan berkenaan namun ia tidak kesampaian apabila Dr. Haron membuat keputusan menarik diri setelah usaha memujuk calon lain terutamanya Hassan Shukri membuka laluan kepada Haron gagal.

Hassan dilihat calon yang bertanggungjawab menyebabkan cita-cita penyokong Pas untuk melihat Dr. Haron menjadi timbalan presiden tersadai dan situasi yang sama dijangka berulang tahun ini jika Hassan tetap berkeras untuk mempertahankan jawatannya.

Keadaan itu berlaku kerana Dr. Haron awal-awal lagi sudah menyatakan tidak akan memegang jawatan nombor dua itu jika beliau terpaksa bertarung dalam pemilihan.

"Jika Hassan kekal dengan keputusan itu maknanya Dr. Haron tidak akan jadi timbalan sekali lagi dan perebutan jawatan tersebut sudah pasti tidak akan dapat dielakkan kerana calon-calon lain tidak akan memberi laluan kepada Hassan," kata seorang pemimpin Pas.

Namun begitu, pemimpin dan ahli Pas juga tidak menolak kemungkinan bahawa Dr. Haron akan bertanding jika beliau memahami bahawa ahli-ahli Pas amat memerlukan kepimpinannya.

"Tetapi keadaan ini agak sulit kerana Dr. Haron seorang yang berpegang teguh kepada prinsip, beliau tidak akan berebut jawatan dan lebih bersedia memberi khidmat kepada parti melalui jawatan timbalan mursyidul am," kata seorang pemimpin Pas Selangor ketika dihubungi.

Oleh itu, di kalangan pemimpin dan ahli Pas kini mereka lebih suka melakukan congak politik dengan melihat kepada senario perebutan jawatan timbalan presiden tanpa Dr. Haron.

Ini disebabkan mereka yakin biar apa pun berlaku, Hassan tidak akan menarik diri dan tetap akan mempertahankan jawatannya biar pun beliau mengetahui akan mendapat saingan sengit daripada calon-calon lain.

"Selain alasan mempertahankan jawatan dan mendapat pencalonan kedua tertinggi, Hassan juga mungkin kecewa dengan sikap kepimpinan Pas yang secara jelas mahu melihat beliau tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan utama," kata satu sumber.

Justeru Hassan akan bertarung mempertahankan kedudukannya bersama-sama lima lagi calon (jika mereka menerima pencalonan) pada pemilihan kali ini dan saingan terdekat Hassan ialah Naib Presiden, Azizan Abdul Razak dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Tiga lagi calon ialah Datuk Dr.Hassan Ali, Nasharuddin Mat Isa dan Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok. Sebelum ini Mustapa Ali yang turut dicalonkan telah menarik diri.

      

Langkah yang sama juga mungkin akan dilakukan oleh Dr.Hassan dan Nasharuddin yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi naib presiden. Manakala Dr. Daeng Sanusi pula dianggap hanya terus layak berada dalam saf Ahli Jawatankuasa Pas pusat sahaja.

Oleh itu persaingan akan wujud antara Hassan, Azizan dan Abdul Halim. Soal Abdul Halim akan menarik diri dianggap tidak timbul lagi kerana Hassan sudah menyatakan akan tetap bertanding dan tidak akan memberi laluan kepada sesiapa termasuk Dr.Haron.

Sebelum ini ada di kalangan ahli Pas yang memandang sinis kenyataan Abdul Halim untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada Dr. Haron kerana berpendapat Abdul Halim amat memahami bahawa Hassan tidak akan menarik diri.

Bagi mereka, kenyataan Abdul Halim tersebut hanyalah `satu kenyataan politik' bagi mencari simpati supaya penyokong Dr. Haron akan mentafsirkan beliau ikhlas dan sekali gus melontarkan undi mereka kepada beliau jika Dr. Haron tidak bertanding.

"Tetapi bagi saya apa pun keadaannya jika Abdul Halim bertanding menentang Hassan, beliau akan tewas apatah lagi dengan kenyataan Nik Abdul Aziz menyokong Dr. Haron.

"Oleh itu dari segi moralnya, Abdul Halim sepatutnya jangan bertanding kerana tindakan Nik Abdul Aziz itu ibarat `kita ada anak di depan mata tetapi memanggil anak orang lain untuk diberi sesuatu.', maknanya ada sesuatu tidak kena" kata seorang lagi pemimpin Pas Kelantan.

Bagi Azizan pula, sebagai seorang yang dilihat kawan rapat kepada Hassan Shukri, beliau dijangka tidak akan merebut jawatan sahabatnya itu apatah lagi dalam sejarah Pas tidak pernah berlaku pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan timbalan presiden.

"Percayalah perebutan akan berakhir sama ada secara dua penjuru atau penyandang menang tanpa bertanding," kata seorang Yang Dipertua Pas kawasan di Kelantan.

Justeru Azizan dilihat akan lebih memberi tumpuan untuk mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya namun begitu dengan arus perubahan yang semakin melanda Pas sekarang, peluang Azizan tidaklah begitu baik memandangkan ada calon-calon lain yang berwibawa termasuklah Dr. Hassan, Mustapa dan Nasharuddin serta Husam Musa.

Jika Azizan membuat keputusan menarik diri maknanya, percaturan akan terjadi antara Abdul Halim dan Hassan bagi merebut jawatan nombor dua.

Setakat hari ini, peluang Hassan dan Abdul Halim boleh dikatakan sama rata kerana kedua-dua mempunyai kelebihan dan kelemahan. Hassan dilihat dari kelompok ulama dari garis keras manakala Abdul Halim pula dilihat lebih liberal.

Jika golongan profesional di dalam Pas tidak mahu parti itu terus dilabel terlalu Islam, mereka mungkin akan memilih Abdul Halim tetapi dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang secara jelas dibaca `tidak begitu menggemari' Abdul Halim apabila menyokong Dr.Haron, peluang Abdul Halim agak terjejas.

Namun bukanlah sesuatu yang mustahil jika mereka membuat keputusan memilih Abdul Halim untuk sementara waktu sehingga mereka mencari calon sesuai bagi jawatan timbalan presiden untuk pemilihan akan datang. Apa pun persaingan sengit bagi merebut jawatan timbalan presiden Pas sudah tidak dapat dielakkan dan mungkin buat pertama kalinya Majlis Syura Pas tidak akan lagi memujuk sesiapa untuk menarik diri sebaliknya mengamalkan sikap `mari kita lihat siapa yang kena'.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved