Idealis Mahasiswa
 
 

Trend pencalonan timbalan presiden dedahkan PAS hadapi kemelut kepimpinan ?


Hit = [ ]

Oleh PAK TAM
sumber - Harakahdaily

Saya percaya, selain saya, ramai lagi orang di luar sana begitu berminat untuk mengetahui perkembangan, atau lebih tepat, pergolakan yang berlaku dalam PAS menjelang pemilihan pemimpin tertingginya, bulan depan.

Dari satu segi nampak amalan demokrasi tidak disekat dalam PAS melihatkan begitu ramai nama-nama yang dicalonkan untuk jawatan penting, seperti naib presiden. Rasanya, kalau dilihat bentuk pencalonan, agak sukar untuk meneka siapa akan dipilih untuk jawatan itu.

Tapi, yang peliknya, jawatan kedua tertinggi, timbalan presiden pun terbuka kepada begitu ramai calon. Agak saya, mungkin lebih lapan orang.

Benar, ia juga melambangkan PAS langsung tidak menyekat kawasan-kawasan untuk membuat pencalonan kepada siapa saja tokoh yang dikira layak dan berkemampuan.

Tapi, dari segi lain, ia juga mendedahkan PAS sebenarnya menghadapi masalah atau kemelut atau konflik mencari pemimpin pelapis. Bukan itu saja, untuk mencari pemimpin no. 2 pun PAS seperti kebingungan mendapatkannya.

Hal ini tidak boleh dipandang mudah, bak menyapu sampah ke bawah permaidani, atau bagai menunggu bisul pecah sendiri. Jika Ustaz Hassan Shukri terpilih semula, beliau sudah pasti bukan pengganti Ustaz Hadi. Begitu juga kalau Dr Haron Din sekalipun, apatah lagi Ustaz Azizan Abd Razak atau Ustaz Halim Abd Rahman.

Ahli-ahli PAS tentu masih mengingati kenangan manis parti itu mempunyai presiden sehebat Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, yang mendapat gandingan mantap daripada Ustaz Hadi, serta dibimbing bersama oleh Ustaz Nik Aziz.

      

Kini PAS kehilangan Ustaz Fadzil, dan bakal menyusul, disebabkan keuzuran, Ustaz Nik Aziz. Dalam masa sama, tidak pula kelihatan tokoh-tokoh pengganti yang setaraf dengan mereka, bagi terus memartabatkan PAS di persada politik tanahair.

Ramai mengharapkan Ustaz Haron Din akan menduduki kerusi timbalan presiden, tapi sayang sekali kita dimaklumkan bahawa beliau uzur dan lebih penting, beliau tidak bersedia untuk mencabar penyandang jawatan.

Ustaz Haron adalah calon paling sesuai untuk digandingkan bersama Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz. Ketokohannya diakui umum, termasuk orang-orang di luar PAS. Seperti tokoh lain juga, beliau tentu ada kelemahan, tetapi setakat ini, seperti kata Nik Aziz, PAS tiada pilihan selain mengharapkan "tuah" yang ada padanya.

Dalam politik, persepsi umum amat penting untuk diambil kira, walaupun bukan faktor penentu paling utama. Rasanya, semua dapat menjawab, siapa tokoh paling karismatik untuk jawatan no. 2 PAS jika dilihat dari kacamata umum.

Berbanding parti pemerintah, faktor ketokohan dan karismatik tokoh-tokoh pembangkang, sehingga membuatkan masyarakat umum segan dan menghormati pemimpinnya, tidak harus dipandang enteng.

Dari sudut lebih menyeluruh, PAS harus memandang serius kemelut atau lompang kosong dalam hirarki kepimpinannya. Mungkin sukar untuk mengakuinya, tetapi saat getir nanti akan datang juga kalau PAS memandang mudah soal pergantian kepemimpinan ini. - UM





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved