|
MUNGKIN ramai tidak sedar barangkali bahawa terdapat bukan sedikit penggiat hiburan di Malaysia kini merupakan pelajar pondok atau pelajar agama, ustaz, qari, tukang azan, lebai dan sebagainya. Mereka inilah yang dianggap golongan yang paling ketara melahirkan sisi-sisi agama dalam hiburan di Malaysia pada waktu sekarang kerana penglibatan mereka dalam persembahan nasyid.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat penyanyi bukan golongan bersekolah agama itu turut terlibat dalam melahirkan sisi-sisi agama dalam lagu mereka seperti yang dilakukan oleh Ramli Sarip, M. Nasir dan Waheeda.
Perubahan yang dilakukan ke atas Sure Heboh dengan diberi beberapa sentuhan agama setelah menghadapi tentangan dan kritikan yang hebat di kalangan ramai orang Muslim termasuk para ulama dan mufti.
Akibat tentangan dan kritikan yang hebat itu barangkali menyebabkan Sure Heboh yang diadakan di Terengganu tidak lama dulu berubah menjadi perkampungan hadhari. Walaupun penulis tidak bersetuju Sure Heboh ditukar menjadi perkampungan hadhari kerana hadhari diambil dari Islam Hadhari adalah merupakan pendekatan untuk menuju ke pembinaan tamadun Islam tidak patut dihijack dan dijadikan nama atau label pesta, tetapi perubahan berkenaan menunjukkan TV3 prihatin dengan kebimbangan orang Muslim di negara ini.
Kini Sure Heboh dilihat lebih mesra agama apabila beberapa langkah perubahan telah dibuat seperti mengadakan pameran Jejak Rasul, membuat siaran langsung program Kuliah, membuat rakaman program Hidayah, memberi penerangan motivasi, menyediakan kemudahan menunaikan ibadat sembahyang bagi para pengunjung dan petugas dan sebagainya. Malah semua acara hiburan Sure Heboh dihentikan seketika bila masuk waktu sembahyang zuhur, asar, maghrib dan isyak.
Manakala AF pula, perubahan yang jelas datang daripada Mawi yang dilihat sebagai seorang agamis dan warak. Beliau dilihat begitu kerana merupakan bekas bilal, guru agama, qari, johan berzanji dan penyanyi nasyid.
Sebelum membincangkan tentang imej agama yang dibawa oleh Mawi dalam AF ada baik agaknya penulis memberi pandangan sedikit tentang Amylea Azizan yang membawa imej sebaliknya. Kata sesetengah pengkritik imej Amylea ini menjadi antara faktor menyebabkan dia yang sepatutnya menjadi juara AF3 itu hanya mampu menduduki tempat ketiga sahaja.
Mereka berkata, selama ini ramai sangat artis yang terlibat dalam bermacam-macam kes seperti bersekedudukan, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
Dengan itu bila muncul Mawi dengan penampilan yang sedikit warak mendapat sambutan.
Ada juga pengkritik menganggap antara yang menjadi faktor Mawi menang kerana dia tampan dan lawa, maka pengundi AF yang kebanyakannya wanita mengundi beliau. Pandangan ini dikuatkan keputusan AF1 dan AF2 yang juga juaranya adalah lelaki, iaitu Vince dan Zahid.
Pada penulis, Amylea adalah pelajar terbaik AF dan dialah yang patut dinobat sebagai juara, tetapi penilaian ini hanya berdasarkan konsert terakhir AF yang diadakan pada 6 Ogos lalu sahaja. Sebelum itu penulis tidak pernah menonton AF dan kebetulan pula penulis 'anti' Astro kerana terlalu banyak sangat iklan disiarkan menyebabkan penulis meluat.
Jika tidak kerana isteri suka menonton televisyen Arab dan televisyen luar negara sudah tentu penulis menamatkan langganan dengan Astro dan mencari alternatif lain. Sebenarnya penulis sudah ada alternatif Astro dan ia berupa televisyen Internet yang mempunyai pilihan yang lebih banyak. Mutu televisyen Internet juga sangat baik kini di mana banyak sekali siaran yang boleh ditonton dengan paparan penuh skrin dan kualiti gambar yang jelas.
Walaupun penulis menganggap Amylea merupakan pelajar AF terbaik dalam persembahan konsertnya yang terakhir itu, tetapi ini bukan bererti penulis menafikan suara 58 peratus mereka yang mengundi Mawi dan menobatkannya menjadi juara itu. Penulis amat terbuka dan demokratik dalam menilai pendirian pihak lain dan tidak sama sekali menentang orang yang mengambil pendirian yang berbeza.
Penulis sendiri suka suara Mawi kerana kuat dan mampu menyanyi lagu Jamal Abdillah, Ismail Haron, Broery Marantika dan Tom Jones.
Dalam pada itu dalam kes Mawi-Amylea ini penulis melihat di luar kotak pemikiran biasa dan jauh dari penilaian menang dan kalah antara mereka berdua. Ini kerana sisi-sisi agama dalam AF yang penulis sebut di atas tidak mungkin wujud jika memikirkan hiburan dari sudut hitam dan putih atau halal dan haram. Kata kebanyakan ulama halal dan haram tidak boleh bercampur. Yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Itu pandangan fikah hukum yang konvensional.
Tetapi yang menjadi persoalannya bagaimana Nik Aziz boleh memuji Mawi, sedangkan Mawi dalam AF itu melakukan perkara-perkara yang tidak berbeza dengan Amylea dan pelajar AF yang lain. Mereka menyanyi, Mawi pun menyanyi. Mereka menari, Mawi juga menari. Mereka berpegangan tangan (lelaki dan wanita), Mawi pun begitu juga.
| |
Apakah ini bermaksud Nik Aziz kini melihat hiburan itu di luar hukum hitam dan putih atau halal dan haram dan dengan itu beliau menganggap perbuatan Mawi itu tidak salah dari segi hukum agama?
Atau kerana sebab politik menyebabkan Nik Aziz boleh bertolak ansur dengan Mawi seperti beliau pernah bertolak ansur dengan Shahnon Ahmad berhubung carutannya dalam novel Shit.
Sebenarnya Pas sendiri berbeza pandangan tentang Mawi ini. Satu pihak mengkritik dan mengutuk Mawi sehehat-hebatnya dalam Harakah, Internet dan ceramah.
Satu pihak lain diketuai Nik Aziz sendiri memuji Mawi dan menyatakan jatuh hati kepadanya.
Pengikut Pas sudah tentu berhadapan dengan pendirian sukar berhubung perbezaan pandangan ini. Malah mereka menjadi kelam-kabut kerana selama ini Pas tidak pernah bertolak ansur dengan tarian dan artis lelaki berpegang tangan dengan artis wanita. Mawi pula dilaporkan pernah mengangkat Marsha ketika mengadakan latihan.
Kerana sebab itu seorang penceramah Pas yang merupakan bekas penyanyi rock mengutuk Mawi sehebat-hebatnya dalam beberapa ceramahnya. Tetapi kini dilaporkan dia sendiri akan bersama Mawi menjayakan konsert di Kota Bharu.
Turut menjadi kelam-kabut ialah akhbar Pas edisi Internet. Dalam laporan pertama 9 Ogos, ia melaporkan bahawa biarpun baru dinobat sebagai juara Akademi Fantasia 3, Mawi kini sudah 'dipinang' kerajaan Kelantan bagi mengadakan persembahan hiburan alternatif di negeri ini, tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan sendiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada wawancara khas di pejabatnya di sini, semalam.
"Boleh jadi kita buat konsert. Kita akan jemput sama ahli kesenian lain yang banyak khidmat kepada Islam. Kita gabung dalam satu konsert, dan tajuknya terpulang kepada pihak penganjur.
"Apa yang penting dia (Mawi) sudah bersetuju untuk datang ke Kelantan. Benda ini saya hendak sebut lama dah, tapi ketika itu khuatir boleh mempengaruhi pertandingannya dalam Akademi Fantasia. Pada konsert itu saya minta rakyat Kelantan datang beramai-ramai," jelas Nik Aziz seolah-olah beliau sendiri tidak pernah ketinggalan menonton AF.
Nik Aziz menyatakan beliau jatuh hati dengan Mawi.
Beliau berkata: "Dalam masa saya mencari-cari ini terjumpa Mawi. Berdasarkan kepada berita yang disiarkan media massa, Mawi bukan dari kelompok yang suka hanyut, dia tahu harga diri dan tahu agamanya.
"Dan dia tahu harga nilai murni. Mungkin diajar oleh keluarga dan agama dia. Maka saya jatuh hati hendak jemput beliau datang ke Kelantan. Dan saya difahamkan Mawi akan hadir pada satu persembahan yang akan diadakan di sini tidak lama lagi."
Dengan itu tidak hairan jika kehadiran sisi-sisi agama boleh dikatakan semakin jelas dalam hiburan di Malaysia. Selain itu terdapat juga golongan tertentu yang selama ini dilihat kurang bertolak ansur dengan hiburan mula mengubah pendirian seperti yang dilakukan oleh Pas ekoran Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat memuji juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi dan mengundangnya untuk mengadakan konsert di Kota Bharu.
Sebenarnya kehadiran sisi-sisi agama dalam hiburan ini berlaku dalam semua genre hiburan, tetapi yang akan dibincangkan di sini ialah perubahan yang berlaku dalam karnival TV3, Sure Heboh dan realiti televisyen Astro, Akademi Fantasia (AF).
Pada keesokan hari penulis dapati laporan di atas sudah dihapus daripada akhbar Pas edisi Internet itu.
Kenapa? Jawapannya mungkin pihak yang menentang Mawi tidak bersetuju dengan Nik Aziz dan mereka yang berada di belakangnya.
Bagaimanapun, nampaknya pihak yang menentang Mawi kalah kepada pihak menyokongnya yang dipimpin oleh Nik Aziz dan akhbar Pas edisi Internet pun kembali menyiarkan berita konsert Mawi yang akan diadakan pada 30 September ini. Pada waktu yang sama kritik terhadap Mawi pun berkurangan dan jika ada yang disiar pun hanya dalam bentuk surat pembaca.
Pada 30 September ini juga majalah Al Islam akan menganjur debat Al Islam bertajuk Fenomena Mawi Dan Dakwah Melalui Seni di Kota Bharu. Dicadangkan tiga orang pendebat terkenal yang akan memperdebatkan tajuk berkenaan. Mereka ialah seorang ulama Pas (dicadangkan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Khalid Jaafar, pengarah Institut Kajian Dasar (IKD). Penulis menjadi moderator debat Al Islam itu. Debat Al Islam ini merupakan debat ilmu dan tidak bermotif politik.
Bagaimanapun, Al Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan ulama Pas supaya ikut serta dalam debat itu. Beberapa ulama Pas yang dihubungi dalam beberapa hari lalu menyatakan mereka sibuk belaka pada tarikh berkenaan.
|