|
KOTA BHARU: Isteri diminta memberi kebenaran dan tidak bertindak ganas menyekat keinginan suami untuk ‘menambah cawangan’ atau berpoligami bagi membela nasib anak dara tua yang semakin ramai sekarang.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata isteri perlu memikirkan masa depan anak dara tua jika tidak dilamar lelaki yang berkemampuan.
“Mereka (isteri) tidak harus menyekat dan bertindak ganas terhadap suami yang berhasrat berpoligami, asalkan suami mereka berkemampuan berbuat demikian.
“Cuba fikir pula bagaimana keadaan anak dara tua yang tak dapat suami sampai mati, sedangkan ada orang nak pada dia. Isteri perlu beri ruang selepas dia tahu suaminya mempunyai kebolehan.
“Benda (masalah) ni benda lama yang tak selesai jika manusia hanya jaga nafsu dia tetapi tak jaga nafsu orang lain.
“Islam tidak menghalang umatnya berkahwin lebih daripada seorang (berpoligami) asalkan mereka cukup syarat yang ditetapkan agama.
“Isteri pula tidak harus menyekat suami mereka berbuat demikian (berkahwin lagi), apatah lagi bertindak ganas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Muafakat Bersama Rakyat anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), di Padang Perumahan Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
| |
Hadir sama, Yang Dipertua MPKB, Abdul Aziz Abdul Rahman.
Beliau mengulas kejadian seorang suami melecur 50 peratus di badan selepas disimbah cuka getah, dipercayai dilakukan oleh isterinya, kerana berhasrat ingin berkahwin lagi, 1 Ogos lalu.
Lans Koperal Tuan Azman Tuan Ludin, 30, disimbah cuka getah oleh isterinya yang marah dengan niatnya di ruang tamu rumah mereka di Kampung Legeh, dekat Ayer Lanas, kira-kira 11.30 malam.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, cadangan kerajaan Kelantan memberi elaun tambahan untuk kakitangannya yang ramai anak bukan skim insentif untuk menggalakkan mereka beranak ramai.
Beliau berkata, cadangan itu sebagai langkah kerajaan menolong kakitangan kerajaan berpendapatan rendah tetapi ada ramai tanggungan.
“Ia lebih kepada tanggungjawab kerajaan sebagai bapa terhadap anaknya untuk meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah tetapi ramai tanggungan,” katanya.
|