|
KUALA LUMPUR: ‘Kami restu pernikahan ini dan berharap kehidupan Datuk Seri akan lebih teratur,” kata seorang ahli keluarga Azmi mengulas hasrat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid untuk berkahwin dengan Normala Shamsudin yang dijadualkan berlangsung 10 September depan.
Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, perkahwinan itu sekali gus dapat melenyapkan pelbagai gosip mengenai hubungan Azmi dan Normala.
“Saya dan keluarga lain bimbang gosip yang disiarkan sekarang ini boleh menjejaskan kehidupan peribadi Azmi serta menyinggung perasaan pihak tertentu.
“Kami rasa elok disegerakan pernikahan ini bagi mengelak timbul gosip lagi. Ada ahli keluarga kami sudah mengetahui perhubungan Azmi dan Mala.
“Setakat mana kita hendak menyembunyikan perkara ini dan dalam Islam pun, perkara baik seperti hendak membina masjid (berkahwin) ini tidak perlu ditakutkan dan disembunyikan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hubungan, Azmi, 64, dan Normala, 41, dikatakan sudah lama terjalin tetapi kedua-duanya saling merahsiakannya dan enggan memberi sebarang komen apabila persoalan itu ditimbulkan akhbar dan pihak keluarga.
Bagaimanapun, hubungan mereka semakin hangat diperkatakan selepas Azmi buat pertama kali bersuara dengan menafikan desas-desus pernikahannya dengan selebriti itu seperti disiarkan Metro Ahad, 14 Ogos lalu.
“Ramai yang bertanyakan saya soalan ini, adakah saya berkahwin? Di sini saya kata tidak. Confirm (pasti) tidak (berkahwin),” kata Azmi ringkas sewaktu menghadiri satu majlis di Padang Besar, Perlis, pada 13 Ogos lalu.
| |
Kelmarin, muka depan Harian Metro melaporkan Azmi akan melangsungkan perkahwinan dengan Normala semalam, tetapi terpaksa ditangguhkan dan akhbar ini menyiarkan beberapa tarikh pernikahan mereka berdua.
Azmi seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam mengakui beberapa tarikh bagi melangsungkan pernikahannya sudah ditetapkan namun ia terpaksa ditunda atas sebab-sebab tugasan.
Beliau dilaporkan sudah memohon keizinan dan restu daripada bapa Normala, seorang peneroka Felda, untuk mengahwini anaknya dalam satu pertemuan di Johor Bahru, minggu lalu.
Mengenai tarikh pernikahan 10 September ini, keluarga Azmi itu berkata, ia dimaklumkan sendiri oleh Azmi dan majlis kenduri secara sederhana akan diadakan di kediaman Menteri itu di Jalan Conlay, di sini.
“Kami sekeluarga dijemput menghadiri majlis kenduri perkahwinan ini tetapi saya tidak pasti sama ada dia turut menjemput menteri Kabinet atau kenamaan lain,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya memahami perasaan Azmi yang menjadi duda dan bersendirian di rumahnya di sini selepas kematian isteri, Allahyarham Datin Yasmin Abdullah, 62, pada Mac lalu.
“Tiga anak Azmi sudah berumah tangga dan tinggal berasingan. Saya sekeluarga amat berharap perkahwinannya nanti akan berkekalan,” katanya.
|