|
Kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 48 beberapa hari lagi. Dalam menuju detik 31 Ogos ini, penulis tertanya-tanya apakah masih ada erti merdeka? Apakah masih ada erti kemerdekaan kepada orang Melayu? Kita akan menyambut kemerdekaan dengan dua situasi yang sungguh mengelirukan.
Pertamanya, seorang Ketua Eksekutif rakyat Malaysia ditamatkan perkhidmatan kerana enggan menandatangani kontrak sambungan yang lebih rendah dari kontrak sedia ada.
Yang mengelirukan, ialah CEO Melayu ini telah berjaya membangunkan Proton dari sebuah syarikat klon Mitsubishi kepada sebuah syarikat berjati diri sendiri, sudah mampu membangunkan enjin dan rekabentuk sendiri dengan keuntungan berbilion ringgit. Khabarnya syarikat ini akan dijual kepada Volkswagen atau seorang CEO dari luar negara akan dibawa masuk.
Keduanya, Seorang Pengarah Urusan rakyat Malaysia berbangsa Melayu turut diminta berhenti secara terhormat daripada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerana syarikat tersebut mencatatkan kerugian pada suku pertama tahun ini. Sungguhpun tahun sebelumnya MAS mencatatkan keuntungan, namun kegairahan untuk menukarkan kepimpinan syarikat penerbangan nasional tersebut, maka pengerusi tersebut tidak langsung diberi kesempatan untuk membuktikan kemampuannya sehingga akhir tahun.
Betapa kenaikan harga minyak yang meningkatkan kos operasi tidak langsung diterima sebagai satu alasan. Betapa MAS mencatatkan pendapatan lebih tinggi tahun ini sungguhpun rugi juga tidak langsung diambil sebagai perkiraan. Apakah MAS memberi jaminan bahawa setiap kali ia rugi pada suku pertama sesuatu tahun maka Pengarah Urusannya akan ditukar?
Adalah tidak salah untuk menukar Pengarah Urusan atau CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Itu adalah hak Khazanah Nasional (baca: Kerajaan). Yang salahnya mengapa perlu kita mengundurkan para usahawan Melayu ini aib sedangkan mereka telah membawa kejayaan? Mengapa perlu diwar-warkan (highlight) kerugian MAS atau serba sedikit kecacatan Proton untuk menukar kepimpinan GLC yang ada?
| |
Sekarang kedengaran pula bahawa MAS mungkin membawa masuk pengurus asing untuk menjadi CEO atau Pengarah Urusannya. Sudah habiskah rakyat Malaysia: baik Melayu, Cina, India, Bidayuh, Kadazan, Dusun, Murut atau apa bangsa sekalipun yang boleh memnjayakan MAS?
Jika selama 48 tahun bangsa Melayu mampu mentadbir negara ini, membawa keluar negara ini dari tanah jajahan kepada negara berdaulat, dari negara mundur kepada negara yang pesat membangun, dari negara berasaskan ekonomi "cukup makan" kepada negara yang tersohor pembangunannya, apakah dengan tiba-tiba rakyat Malaysia sudah bodoh, dungu dan bebal untuk menjadi ahli korporat yang berjaya?
Sekian lama MAS mampu bertahan dari saingan syarikat yang lebih besar modal dan kemampuannya, apakah dengan tiba-tiba sudah tiada yang mampu menerajuinya? Apakah orang Melayu yang telah berjaya membuka ladang di negara lain, berjaya mengambil alih bank negara lain, berjaya meneroka petroleum negara lain dan sudah membeli syarikat pembuat kereta terkemuka Britain (Lotus) tiba-tiba tidak layak untuk menerajui GLC?
Kalau tidak pun, sudah tidak adakah Cina Malaysia atau India Malaysia yang juga sudah berjaya dalam pelbagai bidang untuk diberi peluang menerajui syarikat penerbangan negara?
Hakikatnya, apa erti merdeka jika kekayaan negara kita dikaut oleh orang asing? Apa erti merdeka jika industri automotif kita dijual kepada syarikat asing? Apa erti merdeka jika syarikat negara diterajui oleh orang asing?
Merdekakah Malaysia? Merdekakah orang Melayu? Apakah orang Melayu hanya golongan yang layak mendapat bantuan itu dan bantuan ini sahaja?
|