|
Port Dickson 30 Ogos - Jenazah penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM dan juga bekas wartawan Utusan Melayu, Kahlid Jafri @ Bakar Shah, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Teluk Kemang dekat sini kira-kira jam 1.50 petang ini.
Jenazahnya diurus dan disembahyangkan di rumahnya di Taman PD Villa dekat sini kira-kira jam 12.40 tengah hari. Kira-kira 40 orang yang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan rapat beliau khasnya dalam bidang kewartawanan dan perfileman turut menyembahangi jenazah.
Khalid yang dikaitkan dengan para konspirator menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi bukunya itu, dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh tertinggi dalam Umno serta mendapat perlindungan (survival) dari mereka.
Bagaimana pun, mengejutkan apabila tidak ada seorang pun tokoh Umno yang bertaraf lima bintang datang menziarahi jenazah beliau.
Menurut salah seorang kenalannya berita kematian Khalid Jafri turut diberitahu menerusi pesanan ringkas SMS kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin namun tidak ada apa-apa respons daripada Naib Ketua Pemuda itu.
| |
“Usahkan datang, jawab SMS itu pun tidak,” kata kenalan Khalid itu kecewa.
Ketiadaan seorang pun kelibat tokoh Umno khasnya yang dikatakan mendapat manfaat daripada penulis buku kontroversi itu, ia sungguh mengilankan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham.
Di antara orang kenamaan yang ada terdiri dari golongan wartawan/penulis dan juga penerbitan filem. Di antara mereka Jins Shamsuddin, (yang turut menjadi jurucakap bagi pihak keluarga arwah), Mustapa Maarof, Nosham Tamby, (bekas Editor URTV) Syed Hussein Alattas (Pak Habib), MSO dan lain-lain.
Khalid meninggal dunia jam 3.00 petang semalam di Hospital Selayang akibat serangan penyakit kencing manis yang serius. Sebelah daripada kakinya dipotong, dan selama berada di Hospital Selayang beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri - es putra
|