|
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO menganggap DAP berniat jahat dan cuba menafikan sejarah negara apabila mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu termasuk Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra bukannya pejuang sebenar kemerdekaan.
Laman web rasmi DAP sebaliknya menyebut pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, Chin Peng, turut menyumbangkan kepada kemerdekaan negara.
Tindakan parti pembangkang itu, tegas Pemuda UMNO, hanya mahu mengelirukan rakyat dan menafikan catatan sejarah sambil mengiktiraf perjuangan PKM kononnya berperanan sehingga Tanah Melayu diberi kemerdekaan oleh British.
Pemuda UMNO mengingatkan DAP, matlamat PKM sebaliknya ialah untuk mewujudkan sebuah negara komunis.
Pergerakan itu turut terkejut apabila isu tidak berasas tersebut dibangkitkan secara membuta tuli, sejurus selepas rakyat meraikan Hari Kemerdekaan ke-48 dengan penuh semangat cintakan negara.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sehubungan itu mencabar Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang juga bekas Pengerusi DAP membangkitkan perkara itu di Parlimen bagi memperjelaskan kenyataan tersebut adalah pendirian parti, bukannya kenyataan individu.
"Kita cabar Kit Siang sebut perkara ini di Parlimen pada sidang akan datang sebab kita nak tahu adakah ini pendirian DAP atau pandangan peribadi semata-mata.
"Jika dia berdiam sekali pun, kita anggap dia bersetuju (Kit Siang) dengan kenyataan itu dan tindakan selanjutnya akan kita buat.
"Dengan itu juga, rakyat boleh menilai dan sedar sendiri siapa DAP ini sebenarnya yang cuba menulis semula sejarah," tegasnya pada sidang akhbar khas di ibu pejabat pergerakan itu di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan oleh Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu yang mendakwa bahawa buku teks sejarah yang dipelajari di sekolah-sekolah ketika ini tidak memberi gambaran sebenar tentang kemerdekaan negara.
Sebaliknya, Ronnie berkata, pemimpin-pemimpin UMNO pasca merdeka adalah para pegawai kanan penjajah British.
Kenyataan bertajuk 'Pejuang-pejuang sebenar kemerdekaan' yang dikeluarkan Sabtu lepas itu menyebut, mereka yang dimaksudkan itu termasuk keempat-empat Perdana Menteri sebelum ini iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
| |
Paling mengejutkan, Ronnie mengiktiraf peranan puak komunis pimpinan Chin Peng dengan mendakwa tanpa desakan dan tekanan PKM, British tidak akan memberi kemerdekaan tanpa peperangan yang dikecapi sehingga kini.
Khairy berkata, Pemuda UMNO kesal dengan sikap Ronnie yang mengiktiraf PKM sedangkan puak itu adalah punca banyak penduduk Tanah Melayu terkorban kerana benci dan menentang komunis.
"Kita bimbang dengan cara pengiktirafan ini diberikan oleh pembangkang dan ini kita boleh katakan sebagai ekstrem," tegasnya.
Sementara itu pakar sejarah dari Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim berkata, tindakan DAP itu adalah untuk menafikan bahawa Parti Perikatan atau sekarang Barisan Nasional sebagai juara kemerdekaan tanah air.
"Lagipun, perlu dijelaskan bahawa matlamat PKM bukan mahu mewujudkan negara merdeka tetapi mengusir penjajah dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis selaras dengan orde komunis dunia.
"Jika negara komunis wujud maka nasionalisme tidak wujud," katanya.
Jelasnya, masyarakat tidak seharusnya lupa bahawa rundingan kemerdekaan diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.
Penganalisis sejarah, Datuk Ramlah Adam berkata, dakwaan DAP itu tidak benar dan tidak berasas kerana UMNO merupakan parti yang bertanggungjawab sehingga Tanah Melayu merdeka.
Katanya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berhaluan kiri sebenarnya tidak memperjuangkan Tanah Melayu merdeka sebaliknya bekerjasama dengan PKM.
Sementara itu, Ronnie ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan pandangan peribadi beliau dan bukan mewakili parti.
Jelasnya, sudah menjadi kebiasaan dalam parti di mana pemimpin-pemimpin DAP membuat kenyataan sedemikian.
Beliau memberitahu, tujuan kenyataan itu dikeluarkan untuk menerangkan kepada generasi muda di negara ini bahawa terdapat banyak lagi organisasi selain UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan negara.
|