Idealis Mahasiswa
 
 

Tiada ulama dalam Islam?


Hit = [ ]

oleh: Astora Jabat
sumber: www.astorajabat.com 28/8/2005

PENGARUH-mempengaruhi antara budaya berlaku kepada semua umat termasuk umat Muslim. Ia dianggap perkara biasa, sama ada budaya yang dipengaruhi itu bersifat positif atau negatif kerana survival kehidupan di dunia ini bergantung kepada dwiunsur itu. Allah menjelaskan bahawa Dia menciptakan segala-galanya berpasangan seperti baik dan jahat, positif dan negatif, hak dan batil dan sebagainya. Allah berfirman: Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami). (az-Zariat: 49).

Dwiunsur bergerak melalui sunnah at-tadafu' yang bersifat semula jadi. Sunnah at-tadafu' ini bermaksud peraturan alam yang mencetuskan pertarungan (antara baik dan jahat), pertembungan (antara sejuk dan panas yang melahirkan angin dan ribut), saling mengehendaki antara satu sama lain (antara lelaki dan wanita yang menyebabkan ada zuriat), kitar semula dan sebagainya.

Mengenai sunnah at-tadafu' ini Allah menjelaskan: Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: ``Tuhan kami ialah Allah.'' Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-Haj: 40).

Pengaruh-mempengaruhi antara budaya secara positif dan negatif ini dapat dilihat dalam beberapa pertembungan antara orang Muslim dan bukan Muslim ini.

Ketika Islam mula muncul dulu sebagai contoh umat Muslim dipengaruhi budaya Roman dan Parsi secara positif dan negatif.

Bagaimanapun, disebabkan pada zaman itu Rasulullah yang mendapat arahan dan bimbingan terus daripada Allah, baginda dapat menyaring dan memilih pengaruh positif daripada pengaruh negatif untuk diamal oleh umat Muslim.

Selepas itu berlaku pertembungan lain apabila umat Muslim menjadi maju dan meneraju tamadun dunia dalam era Damsyik, Baghdad dan Andalusia di mana budaya mereka pula mempengaruhi budaya umat-umat lain terutama orang Barat.

Kini berlaku pertembungan lain selepas roda tamadun dunia dipecut oleh orang Barat dan sebagai hasilnya mereka pula yang mempengaruhi umat-umat lain termasuk umat Muslim secara positif dan negatif.

Begitulah sunnah tadawul atau sunnah giliran yang ditetap oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia. (Ali: Imran: 140).

Sunnah tadawul atau sunnah giliran ini tidak berubah. Mana-mana umat yang mempunyai keupayaan akal yang lebih tinggi berbanding umat-umat lain, rajin berusaha dan tekun melakukan perubahan dan pembaharuan, ia akan menjadi maju dan boleh menerajui tamadun dunia seperti dilakukan oleh orang Barat kini.

Difokuskan perbincangan di sini tentang satu pengaruh budaya negatif, iaitu pengaruh kepaderian dalam penggunaan istilah ulama di kalangan orang Muslim.

Semua kita mengetahui bahawa dalam Islam tidak ada paderi, sami dan apa jua bentuk orang agama (rajul din). Pandangan ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayat oleh at-Tabarani yang bermaksud: Tiada kepaderian dalam Islam. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayat Imam Ahmad, Nabi Muhammad dilaporkan bersabda: Kamu mesti berjihad kerana ia adalah kepaderian umatku.

Bagaimanapun, dalam teori kitab-kitab sahaja kepaderian itu tidak wujud dalam Islam, tetapi sebaliknya di alam nyata. Penulis tidak perlu barangkali menyingkap asal usul kisah pemujaan ulama-ulama zaman silam yang sebenarnya tidak berbeza dengan pemujaan paderi dan sami dalam agama-agama langit lain dan agama-agama budaya. Sebaliknya memadai membincangkan tentang kedudukan ulama zaman ini yang juga sebenarnya tidak berbeza dengan paderi dan sami.

Persamaan antara ulama dengan paderi dan sami berlaku dalam beberapa perkara di bawah.

1. Dari segi istilah ulama itu sendiri dianggap tidak tepat dengan maksud al-Quran. Istilah ulama yang diguna pakai di Malaysia dan seluruh dunia Melayu bermaksud orang yang berilmu dan berpakaran dalam bidang agama.

Pengertian istilah ulama ini tidak berbeza dengan istilah paderi di kalangan orang Kristian, sami di kalangan orang Hindu, biksu di kalangan orang Buddha dan hakham di kalangan orang Yahudi. Sedangkan dalam al-Quran Allah menjelaskan bahawa ulama itu adalah orang berilmu dan berkepakaran dalam apa jua bidang ilmu. Allah berfirman: Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam. Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya?

      

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Fatir: 27-28).

Dalam dua ayat di atas Allah dan ayat-ayat lain dalam surah yang sama Allah menjelaskan ulama itu adalah orang yang berilmu dan berkepakaran dalam bermacam-macam bidang dan piawaian untuk mengukur keulamaan ulama-ulama ialah takut kepada Allah.

Ayat-ayat ini turut dikuatkan lagi dengan penafian Rasulullah bahawa paderi itu tidak wujud dalam Islam.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah saintis pun merupakan ulama jika dia merupakan orang berkarya dengan iman di dada. Ahli ekonomi juga ulama jika dia berkarya dengan taat dan ikhlas kepada Allah. Ahli politik juga ulama jika dia berpolitik dengan bertakwa kepada Allah.

Begitu juga seterusnya para cerdik pandai dalam bidang-bidang yang lain adalah ulama belaka menurut Islam jika mereka bertakwa dan takut kepada Allah.

Bagaimanapun, fahaman ini tidak popular di Malaysia. Sebaliknya fahaman yang popular ialah fahaman yang menjadikan ulama setaraf dengan paderi, sami, biksu dan hakham.

Penyelewengan ini diterima pakai orang Muslim di negara ini tanpa masalah dan kebetulannya ramai mereka juga mempunyai kecenderungan animisme dalam pemikiran.

Justeru ulama dijadikan mereka sebagai tempat minta berkat, tukang jampi yang boleh menyembuh bermacam-macam penyakit dan sebagainya.

2. Dari segi gelaran pula ulama ada macam-macam gelaran berciri agama sama dengan paderi, sami, biksu dan hakham. Penulis pernah membaca tulisan pemikiran Islam Mesir, Fahmi Huweibi membincangkan tentang asal usul gelaran agama termasuk yang digunakan oleh para ulama.

Fahmi Huweibi berkata, gelaran agama itu bermula selepas kejatuhan Islam.

Di antara gelaran agama lama dan baru yang diberi kepada ulama ialah syeikhul Islam, hujjatul Islam, ayatullah, mursyid dan lain-lain. Semua itu tidak ada dalam Islam.

Pada dasarnya tidak salah para ulama diberi gelaran-gelaran tertentu mengikut kerja dan kedudukan.

Tetapi yang dianggap salah bila semua gelaran yang diberi kepada mereka bertukar menjadi qudsiah atau suci yang dipuja oleh orang ramai. Ambil contoh gelaran mursyid yang bermaksud pemandu atau guide. Ia tidak mempunyai sebarang pengertian agama, tetapi orang Muslim menggunakannya dengan diberi ciri agama.

Perkara hampir sama berlaku berlaku kepada gelaran ustaz di negara ini. Sebenarnya ustaz tidak ada sebarang pengertian agama, tetapi orang Muslim di negara ini dan Indonesia menggunakan gelaran ustaz kepada mereka yang berpendidikan agama.

3. Dari segi pakaian pun ulama sama dengan paderi, sami, biksu dan hakham. Dalam Islam tidak wujud pakaian agama yang khusus bagi orang yang mempunyai pengetahuan agama. Jika ada yang memakai serban dan jubah, maka itu sebenarnya budaya dan tidak kena-mengena dengan agama. Orang Muslim termasuk yang bergelar ulama boleh pakai apa saja asalkan menutup aurat.

Dalam pada itu masjid dalam Islam juga bukan rumah ibadat seperti agama-agama lain. Di masjid tidak ada orang agama seperti paderi, sami, biksu dan hakham, tetapi yang ada ialah imam, bilal dan khatib yang semua mereka merupakan orang awam seperti semua orang awam lain.

Pada zaman Rasulullah dan Khulafa Rasyidun masjid merupakan kementerian dan pejabat kerajaan yang bersifat serba guna. Pada zaman selepas itu masjid di banyak negeri menjadi universiti seperti Al-Azhar di Mesir, al-Qurawiyine di Maghribi dan az-Zaituna di Tunisia.

Kini banyak masjid di negara Arab dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam termasuk hospital.

Rencana ini saya tulis secara tergesa-gesa semalam ketika sedang berpartipasi dalam sukan tarik tali antara jabatan Utusan. Dengan itu terdapat beberapa kesilapan seperti ayat terputus atau tergangtung atau lebih ayat, kelehaman menjelaskan idea atau menjelasnya secara tidak tersusun, salah eja dan lain-lain. Keadaan ini sering berlaku kerana saya sendiri suka menulis Bicara Ahad di saat-saat terkhir pada hari Sabtu atau sekurang-kurangnya pada hari Jumaat. Biasanya pada dua hari itu saya didatangi macam-macam program ad hoc yang menyebabkan saya terpaksa berada di luar KL. Kadang-kadang tempat yang saya berada itu pula tidak ada kemudahan komunikasi seperti yang berlaku ketika saya berada dalam hutan di Bentong, Pahang tiga minggu lepas. Akiabtnya Bicara Ahad tidak ada tiga minggu lalu. Insya-Allah pada masa akan datang saya akan ubah jadual menulis rencana Bicara Ahad.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved