|
KUALA LUMPUR: Pengikut baru ajaran sesat Ariffin Mohamad atau Ayah Pin dikehendaki mengamalkan 79 zikir memuja pemimpin mereka sebagai kaedah mengukuhkan keyakinan terhadap ketua kumpulan yang diharamkan itu.
Zikir itu dipercayai hanya rekaan beberapa pengikut tegar Ayah Pin yang mendakwa mendapat ilham dalam beberapa situasi termasuk ketika menoreh getah, menunggang motosikal, bertafakur, bekerja atau berjaga malam.
Antara zikir itu ialah ‘Laillahailallah Imam Mahadi Ya Rasulullah, Ya Arifbillah, Ya Arifbillah, Ya Arifbillah’.
Selain itu, beberapa rangkap ayat seperti sajak memuji pemimpin ajaran sesat itu turut diperkenalkan antaranya, ‘Ayah Pin pemimpin dunia, menunjuk ke jalan mulia, Ayah Pin membawa agama Islam sebenar-benarnya, Ayah Pin pemimpin manusia ke jalan dunia akhirat, Ayah Pin ke merata-rata membawa lambang agama’.
Turut disertakan bersama bacaan zikir itu dalam kitab Kerajaan Langit itu ialah nama penciptanya, tarikh dia mendapat ilham, keadaannya ketika ilham itu tercetus serta tempat diperolehi.
Kewujudan 79 zikir itu terdedah apabila kumpulan ajaran sesat itu dikesan cuba memperluaskan pengaruh mereka dengan menyelinap masuk ke perkampungan Orang Asli di Kampung Kelaik, Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan, lima tahun lalu.
Gerakan penyebaran ajaran sesat itu diketuai sendiri Ariffin bersama beberapa orang kanannya pada 5 hingga 8 Disember 2000 dengan cara mengadakan upacara mengubat pesakit, bersewang (tarian Orang Asli) serta memberi minum air jampi kepada Orang Asli.
Ariffin turut mendakwa dirinya sebagai ‘Tuhan Alig’ yang dipuja masyarakat di situ, sehingga menyebabkan beberapa Orang Asli mempercayainya.
Lebih menyedihkan, dianggarkan 300 masyarakat di situ termasuk 80 hingga 100 Orang Asli yang sudah memeluk Islam, terpengaruh dengan dakyah pemimpin ajaran sesat terbabit.
Penasihat kepada anak syarikat Koperasi Kijang Emas Negeri Kelantan Berhad, Mohd Hanif Abdul Kudus, yang mendedahkan kewujudan kitab ajaran sesat itu berkata, pihaknya mengesan gerakan penyebaran pengaruh Ayah Pin itu sekitar Disember 2000 selepas dimaklumkan beberapa rakan.
| |
“Dengan bantuan Pengurus Besar Koperasi, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Gua Musang serta beberapa rakan, kami dapat menyusup masuk dan mendapat maklumat berhubung ajaran sesat itu.
“Kami mendapati satu daripada syarat untuk menjadi ahli kumpulan itu ialah meminum atau mandi air jampian Ayah Pin. Selepas seseorang berbuat demikian, dia akan menuruti setiap kata dan arahan Ayah Pin.
“Ayah Pin turut berjanji akan memberikan beberapa ‘puteri’ (gadis) kepada mereka yang setia sebagai ganjaran,” katanya yang juga Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Mohd Hanif berkata, kumpulan ajaran sesat itu juga memberi ganjaran wang sebanyak RM100 seorang yang didakwa duit keramat serta tidak akan habis digunakan sampai bila-bila.
“Kami juga mendapat maklumat, setiap Orang Asli diberi sebuah buku yang mengandungi 79 zikir memuji Ayah Pin yang perlu diamalkan.
“Dengan bantuan seorang rakan, kami berjaya mendapatkan buku itu dan membuat salinan sebelum memulangkannya kembali kepada seorang Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata, kedatangan Ayah Pin yang membawa ajaran sesat itu, akhirnya menyebabkan perpecahan di kalangan Orang Asli terutama di Pos Hendrop.
“Pada pertengahan Disember 2000, saya melaporkan perkara itu kepada JHEOA Kelantan dan Terengganu yang kemudian membawanya kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami juga mengadakan beberapa program kesedaran dan bimbingan untuk Orang Asli terbabit. Alhamdulillah, pengaruh ajaran itu dapat dikurangkan,” katanya.
|