|
KUALA TERENGGANU: Nama ketua ajaran sesat, Arffin Mohamad atau Ayah Pin, 65, dikatakan menjadi bahan senda gurau terkini rakyat negara ini apabila ada yang menyebar khidmat pesanan ringkas (SMS) lucu menggunakan namanya.
Sebaran beberapa SMS itu bermula sejak bulan lalu dan ia dipercayai turut menggambarkan sindiran terhadap pihak berkuasa yang dikatakan masih buntu mengesan lokasi ketua ajaran sesat itu.
Malah, SMS sindiran itu turut mendakwa kononnya Ariffin sudah ditahan di kawasan tertentu dengan memakai pakaian khusus selain menggunakan nama samaran lain seperti `Ayapan Al-Porrah.
SMS itu termasuk `Polis telah menahan Ayah Pin tiga hari lalu di tempat persembunyiannya di Batu Caves dan dia dikesan menukar nama kepada AYAPAN AL-PORRAH.
Malah, ada SMS lain yang turut meletakkan sebahagian namanya dengan huruf besar dan kemudian diakhiri dengan ejaan ketawa.
SMS itu tertera `Ayah PIN sudah ditemui di TamPIN dengan hanya memakai kain lamPIN yang disematkan dengan safety PIN. Masa tu dia sedang ligat joget zaPIN. Polis jenuh hon. PIN!PIN!PIN! He..he...
Penghantaran SMS itu dipercayai berlaku kerana ada pihak yang sudah bosan dengan misteri kehilangannya dan menanti tertangkapnya lelaki warga emas yang mendakwa dirinya memiliki kesaktian itu.
Difahamkan, keghairahan penghantar mesej terbabit menyelitkan sindiran terhadap pihak berkaitan supaya segera menahan ketua ajaran sesat itu.
Ia juga dipercayai berpunca daripada kegelisahan sesetengah pihak yang begitu ingin Ariffin ditahan dan seronok mempermainkan nama seorang yang pernah mendakwa dirinya tuhan, pemegang kunci syurga dan mampu menukarkan seseorang menjadi batu.
| |
Wartawan Harian Metro yang turut menerima SMS pada mulanya berasa terkejut apabila Ariffin akhirnya ditahan, tetapi kemudian berasa kecewa dan geli hati apabila nama Arifin diperlekehkan sedemikian rupa.
Kewujudan SMS itu bermula selepas lebih sebulan Ariffin seolah-olah `lesap dari muka bumi ini dan tidak ada pula pihak yang tampil memberi sebarang petunjuk.
SMS itu pula turut menjadi bahan ketawa yang tersebar meluas selain difahamkan, turut diterima beberapa agensi penguatkuasaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pembangunan Islam Hadhari negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata beliau sendiri ada menerima SMS itu, antaranya tertera `Tak boleh keluar duit dari bank, sebab bapak PIN tak de.
Menurutnya, beliau menerima SMS itu daripada penghantar misteri serta turut tertanya-tanya identiti penghantar dan tujuan ia dihantar.
Beliau berkata, ia turut memperlihatkan bagaimana nama Ariffin semakin diperlekehkan dan menjadi bahan gurauan.
Muhammad Ramli berkata, SMS lain yang diterimanya ialah perbualan dua orang yang bercakap mengenai lokasi Ariffin iaitu `A: Mana orang tu? B: Dah naik ke langit.... (ini antara kesaktian ciptaan Ariffin)
Bagaimanapun, beliau lebih menganggap SMS itu sebagai gurauan semata-mata untuk menghiburkan orang lain dan bukan sindiran kepada pihak tertentu.
Ketika ditanya mengenai perkembangan Ariffin, beliau memberitahu bahawa pihaknya masih cuba mengesan ketua ajaran sesat itu.
Malah, beliau turut melihat kewajaran tawaran wang tunai kepada orang ramai yang membantu penahanan Ariffin, dan ia masih dalam perbincangan pihaknya.
|