|
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu bahawa pemimpin UMNO terdahulu bukan pejuang sebenar kemerdekaan negara ini.
Sehubungan itu, persatuan tersebut mendesak polis menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan itu.
Ini merupakan laporan polis pertama dibuat sejak dakwaan itu tersebar melalui laman web DAP dan laporan media sejak Sabtu lalu.
Timbalan Pengerusi MAYC Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadi Shukur berkata, tindakan Ronnie itu dipercayai boleh menyebabkan konflik antara kaum dan mengelirukan golongan belia serta generasi muda.
Katanya, Ronnie mesti diambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada kerana dakwaannya boleh mewujudkan perpecahan kaum di negara ini.
"Apa yang penting, kami tidak mahu perasaan golongan belia bercampur-aduk dan terpengaruh dengan dakwaan Ronnie bahawa pemimpin UMNO terdahulu bukan pejuang sebenar kemerdekaan negara.
"Kami tidak mencampuri soal-soal politik cuma rasa terpanggil untuk memastikan dakwaan Ronnie tidak merosakkan pemikiran golongan belia," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.
Beliau bersama 10 ahli jawatankuasa MAYC Wilayah Persekutuan tiba di IPD Brickfields kira-kira pukul 11 pagi.
| |
Laporan polis itu juga menyentuh kenyataan Ronnie yang cuba menjulang Chin Peng, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan itu sebagai tokoh memperjuangkan kemerdekaan negara.
Dalam kenyataannya, Ronnie berkata, pemimpin-pemimpin UMNO pasca merdeka adalah para pegawai kanan penjajah British.
Kenyataan bertajuk 'Pejuang-pejuang sebenar kemerdekaan' yang dikeluarkan Sabtu lepas dalam laman web DAP menyebut, mereka yang dimaksudkan itu termasuk keempat-empat Perdana Menteri sebelum ini iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Paling mengejutkan, Ronnie mengiktiraf peranan puak komunis pimpinan Chin Peng dengan mendakwa tanpa desakan dan tekanan PKM, British tidak akan memberi kemerdekaan tanpa peperangan yang dikecapi hingga kini.<
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd. Dzuraidi Ibrahim mengesahkan polis ada menerima laporan tersebut yang dibuat oleh MAYC Wilayah Persekutuan.
Katanya, polis akan memanggil Ronnie dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan keterangan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948.
|