Idealis Mahasiswa
 
 

Pas tidak setuju tindakan DAP iktiraf PKM


Hit = [ ]

sumber: Utusan Online 12/9/2005

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pas tidak bersetuju dengan tindakan DAP mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PKM mengambil pendekatan keganasan dan mempunyai agenda untuk mengundang penjajahan baru komunisme di tanah air ketika itu.

"Walaupun PKM mendakwa ingin menghalau penjajah Inggeris, namun dalam masa yang sama ia mempunyai agenda mahu mengundang penjajah baru komunis yang berpangkalan di negara besar yang kita semua tahu.

"Dalam hal ini jelas bahawa PKM bukan berperanan untuk kemerdekaan negara kerana komunis satu pertubuhan asing yang mempunyai agenda antarabangsa, jadi komunis tak perlu disenaraikan dalam perjuangan kemerdekaan negara," tegasnya.

Abdul Hadi menyatakan demikian pada sidang akhbar mengenai Pameran Pas Dalam Arus Perjuangan Kemerdekaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-48 di Markaz Pas, Taman Melewar, Gombak dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu menerusi artikel bertajuk 'Pejuang-pejuang sebenar kemerdekaan' di laman web parti pembangkang itu yang mendakwa bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng sebagai antara pejuang kemerdekaan tanah air.

"Kenyataan Ronnie Liu memperlihatkan usaha untuk menenggelamkan sejarah yang sebenar daripada perjuangan kemerdekaan oleh pahlawan Melayu bermula sejak Melaka dijajah Portugis pada tahun 1511 lagi.

      

"Dalam perjalanan perjuangan kemerdekaan itu banyak nama tokoh Melayu yang dilupakan termasuk kerabat diraja Perak yang telah memberikan pengorbanan besar sehingga pernah dipenjara dan dibuang negeri," ujar Abdul Hadi.

Beliau berharap fakta sejarah dan nama-nama tokoh pejuang kemerdekaan itu tidak disembunyikan bagi kefahaman rakyat terutama generasi kini dan akan datang.

Menurutnya, nama beberapa tokoh Melayu termasuk Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam (Ruhi Hayat), Ishak Muhammad (Pak Sako), Ibrahim Yaakub dan Datuk Onn Jaafar adalah antara tokoh pejuang kemerdekaan negara.

Beliau berkata, walaupun banyak tokoh pejuang Melayu menjadi perintis membebaskan tanah air, tetapi kemerdekaan dicapai secara rasmi ketika negara dipimpin Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra pada 1957.

Mengenai pameran Bulan Kemerdekaan Ke-48 itu, Abdul Hadi berkata, Pas aktif kepada program bagi memupuk semangat patriotik seperti yang dianjurkan kerajaan.

"Tetapi dalam masa yang sama kita mengkritik bagi membetulkan penyelewengan dan kesilapan sejarah kemerdekaan negara," katanya.

Menurutnya, pameran yang lengkap dengan salinan dokumentasi dan fakta itu yang dibuka kepada umum sehingga 30 September ini, menjadi bukti rentetan sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan tanah air.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved