Idealis Mahasiswa
 
 

Polis Akan Siasat Ronnie Liu, Kata Noh Omar


Hit = [ ]

sumber: Bernama 10 September, 2005 18:21 PM

SETIU, 10 Sept (Bernama) -- Polis akan menyiasat Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Ronnie Liu mengikut Akta Hasutan 1948 kerana membuat kenyataan yang bersifat perkauman dan boleh mengelirukan orang ramai apabila beliau mendakwa pemimpin UMNO terdahulu bukan pejuang kemerdekaan sebenar negara.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berkata siasatan akan dijalankan serta-merta serta terperinci dan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika siasatan mendapati Ronnie mempunyai niat jahat dengan mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Kita percaya pihak polis akan mengambil tindakan tegas dalam menangani hal ini supaya perkara sebegini tidak diikut oleh pemimpin parti pembangkang lain yang sengaja mahu memecahbelahkan perpaduan negara," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong-royong Guntong Luar anjuran UMNO Bahagian Setiu di sini hari Sabtu.

      

Noh berkata jika perkara tersebut dibiarkan berlarutan, ia boleh menimbulkan kekeliruan sedangkan semua pihak termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa sudahpun mengiktiraf bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Katanya walaupun negara ini mengamalkan sistem demokrasi tetapi rakyat perlu berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang membabitkan isu-isu yang menyentuh perkauman kerana ia akan menjurus kepada perpecahan di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

"Malah, ketika dalam persidangan Parlimen sekalipun wakil rakyat dilarang daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbau perkauman," kata Noh.

-- BERNAMA





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved