|
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Penaja Veteran Umno Malaysia berkata PAS, parti serpihan Umno yang kecewa tidak mendapat tempat dalam kepimpinan Umno, digunakan penjajah untuk memecah-belahkan orang Melayu dan parti berkenaan terus memainkan peranan itu hingga kini.
Sebaliknya, fakta sejarah menunjukkan Umno, yang diwujudkan atas perpaduan pelbagai persatuan Melayu pada Mei 1946, memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan Kemerderkaan, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari Rabu.
"Penaja Veteran Umno kecewa dengan pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Setiausaha Antarabangsa DAP Ronnie Liu, yang langsung tidak memahami fakta sejarah negara," kata mereka.
| |
Hadi dan Liu dilaporkan berkata Umno bukan pejuang Kemerdekaan sebenar dan kebanyakan pemimpin parti itu adalah pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan Inggeris ketika negara menuntut Kemerdekaan.
Veteran Umno berkata Umno atas sokongan padu orang Melayu dan Raja-raja Melayu berjaya menumbangkan Malayan Union dan dengan itu tertubuh Persekutuan Tanah Melayu pada Feb 1948.
Selepas Datuk Onn Jaafar mengundur diri sebagai pemimpin Umno, Tunku Abdul Rahman yang mengambil alih terus memperjuangkan Kemerdekaan Tanah Melayu.
Katanya kemenangan besar parti itu pada pilihan raya Julai 1955 juga memaksa Inggeris memberi Kemerdekaan.
--BERNAMA
|