Idealis Mahasiswa
 
 

Kes selesai, Rahim Nor mohon maaf pada Anwar


Hit = [ ]

oleh: Arfa'eza A Aziz
sumber: Malaysia Kini Aug 3, 05 12:58pm

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Nor hari ini memohon secara terbuka kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyerang dan memukulnya ketika berada dalam tahanan polis pada tahun 1998.

Ia adalah sebahagian daripada penyelesaian di luar mahkamah di antara kedua belah pihak, di mana Anwar bersetuju untuk menarik balik samannya terhadap Abdul Rahim serta dibayar gantirugi – yang kemudiannya disifatkan oleh Anwar sebagai “sejumlah yang kecil...”

Permohonan maaf Abdul Rahim dibaca oleh peguamnya Joseph Ting di mahkamah pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hishamuddin Yunus, yang berbunyi:

"Saya, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, menerima tanggungjawab terhadap serangan itu. Kesakitan dan kesengsaraan yang anda dan keluarga alami sangat-sangat dikesali dan saya secara ikhlas memohon maaf kepada anda, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga keluarga anda. Yang ikhlas: Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor."

Peguam kanan persekutuan, Mary Lim, yang mewakili menteri dalam negeri dan pihak kerajaan, bersetuju dengan penyelesaian saman tersebut.

Hishamuddin kemudiannya secara rasmi membatalkan saman tersebut dan memuji semua pihak yang terlibat kerana mencapai persetujuan bagi menyelesaikan perkara itu.

Bagaimanapun, tidak diketahui siapakan antara tiga defenden dalam kes tersebut – Abdul Rahim, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak kerajaaan – yang akan menjelaskan bayaran gantirugi itu, kerana antara syarat penyelesaian hari ini ialah perkara itu tidak didedahkan.

“Kami tidak dapat memberitahu jumlah gantirugi atau siapakah yang akan membayarnya. Perkara itu telah dipersetujui oleh kedua belah pihak,” kata peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Anwar.

‘Melangkah ke hadapan’

Ketika ditemui di luar mahkamah, Anwar memberitahu pemberita yang beliau menerima permohonan maaf secara terbuka itu dan merasa lega kerana satu episod ‘hitam’ dalam hidupnya sudah berakhir.

“Saya berasa agak lega kerana satu episode (dalam hidup saya) telah berlalu. Bagi saya tidak ada gunanya untuk kita memanjangkan dengan episod ini,” katanya.

“Bagi saya tidak ada gunanya untuk kita memanjangkan dengan episode ini. Walaupun kesusahan yang saya alami adalah amat perit tapi saya rasa ianya (penyelesaian) ini perlu dilakukan kerana kita perlu melangkah kehadapan,” katanya.

Apabila diberitahu yang pihak kerajaan untuk membuat permohonan maaf sepertimana yang diharapkannya, Anwar berkata walaupun ada pihak yang tidak menunjukkan sebarang perasaan bersalah “tetapi bagi saya penyelesaian di luar mahkamah ini adalah langkah yang paling baik”.

“Saya menyuruh peguam untuk meneruskah tindakan itu bukan atas tindakan peribadi tetapi kita tidak mahu jenayah seperti ini berlaku terus. Dan kita mahu perjalanan polis lebih professional dan jangan ada mangsa di kalangan semua lapisan rakyat Malaysia.

“Walaupun ramai di kalangan sahabat tidak begitu senang dengan penyelesaian ini tetapi saya dan peguam telah menasihati mereka dan mereka setuju kita perlu ke hadapan.

      

“Saya telah kata apa yang saya perlu katakan ketika hari pertama perbicaraan kes ini dan saya rasa tak perlu saya mengulanginya,” tambahnya.

Mengenai bayaran gantirugi itu, Anwar berkata: “Memang ada pemberian...satu gantirugi kecil kepada saya tapi saya telah memberitahu peguam (yang) saya tidak bercadang untuk menyentuh wang itu”.

“Selain daripada (membayar) kos kes ini, saya bercadang untuk memberinya kepada mangsa (penderaan polis) bagi kes-kes yang tertangguh dalam mahkamah.

“Ianya adalah satu jumlah yang kecil dan mungkin tidak boleh diberi kepada semua (mangsa) yang terlibat tapi saya harap ianya akan dapat menolong,” tegas Anwar.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Joseph Ting berkata memandangkan perkara itu sudah selesai dan anak guamnya (Abdul Rahim) memohon maaf kepada Anwar, beliau sudah pun bersedia untuk membuat permohonan maaf terbuka.

“Tan Sri Abdul Rahim bukanlah seorang yang takut untuk bertanggungjawab terhadap perbuatannya...lebih-lebih lagi, beliau mahu saya menyatakan bahawa sebagai orang Islam, ia memang wajar dilakukan,” katanya.

Abdul Rahim tidak hadir di mahkamah sejak hari pertama perbicaraan itu Isnin lalu kerana berada di luar negara untuk urusan peribadi.

Anwar, 58, yang kini anggota sekutu Kolej St Anthony, Universiti Oxford dan Profesor Georgetown University, Washington, menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai defandan pertama dan Abdul Rahim dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam samannya Anwar mendakwa Abdul Rahim menyerang dan memukul beliau pada malam 20 Sept, 1998, semasa dia ditahan (mengikut seksyen 377B dan D Kanun Keseksaan) dalam sel lokap di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman.

Bantu mangsa deraan polis

Dalam kenyataannya Isnin lalu, Anwar mendakwa beliau ditampar dan ditumbuk di atas bahagian mata, kepala dan tangan oleh Abdul Rahim, dan dinafikan mendapat rawatan perubatan dan sebarang bantuan terhadap kecederaan yang dialaminya.

Beliau memohon ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan dan mahu semua defendan memohon maaf kepadanya dan keluarga terhadap apa yang telah belaku selama penahanannya, tujuh tahun lalu.’

Sebelum itu, Rahim mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan Anwar dan dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dan didenda RM2,000.

Rahim menjalani hukuman tersebut dan membayar denda selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atasnya pada 22 Mei 2001.

Isnin lalu, Anwar memberitahu mahkamah, selepas ditangkap di kediamannya di Bukit Damansara pada 20 September 1998, beliau dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman di mana beliau dikurangkan dalam bilik dengan matanya ditutup, tangannya digari ke belakang, dan kemudianya dibelasah.

Anwar mendakwa wujud percubaan menyembunyikan kejadian tersebut, dan Rahim serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – yang merupakan menteri dalam negeri ketika itu – telah mengelirukan rakyat kononnya beliau (Anwar) dalam keadaan ‘baik dan selamat’ sedangkan beliau dibiarkan tanpa mendapat rawatan perubatan selepas dibelasah.

Perbicaraan semalam di mana Anwar dijadual disoalsiasat oleh peguam pihak defenden, telah ditangguhkan untuk merundingkan penyelesaian di luar mahkamah.

Anwar telah dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada bulan September 1998 oleh Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Turut hadir di mahkamah ialah isterinya Datin Wan Azizah Wan Ismail dan rakan-rakannya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved