|
KUALA LUMPUR: Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mencabar polis supaya mendakwanya jika benar laporan yang dibuatnya berhubung kes diugut dan dipukul dua lelaki di hadapan Sri Pentas, Bandar Utama, 14 Oktober tahun lalu adalah tidak benar.
“Dakwa saya jika benar saya membuat laporan palsu,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh TV3 yang disiarkan melalui Buletin Utama, malam tadi.
Biduanita negara itu turut mendakwa kesnya itu tidak mendapat layanan setimpal.
Beliau turut mempersoalkan kenapa satu lagi kes yang juga membabitkannya dibawa ke mahkamah dan kini menunggu perbicaraan, sedangkan kes serangan terhadapnya seolah-olah sepi.
“Selepas kejadian 14 Oktober tahun lalu, hanya sekali pihak polis menemuinya untuk merekod keterangan dan selebihnya lebih banyak diketahui menerusi media.
“Setahu saya polis membuat kesimpulan bahawa kejadian yang didakwanya berlaku, seolah satu khayalan,” katanya.
Sharifah Aini turut mendakwa berlaku ‘double standard’ polis dalam menjalankan siasatan terhadap kesnya itu.
Berikutan itu, bagi mencari keadilan pada dirinya, biduanita itu tampil dengan sebuah buku bertajuk ‘Breaking The Silence: 55 Reasons Why Sharifah Aini Was Not Lying’.
| |
Dalam buku itu, beliau bukan saja menceritakan mengenai kejadian itu, tetapi turut menyentuh beberapa isu kontroversi membabitkan dirinya.
Beliau turut mendakwa disebabkan kesnya itu, dia berasa seolah-olah diaibkan oleh pihak polis.
Dalam Harian Metro kelmarin, Sharifah Aini kesal kerana kesnya diugut dan dipukul dua lelaki ditutup begitu saja.
Bagaimanapun, dakwaan beliau menyatakan kes berkenaan sudah ditutup disangkal Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dengan menyatakan polis tidak pernah menutup kes berkenaan, sebaliknya fail siasatan sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Semalam, Sharifah Aini sekali lagi tidak berpuas hati dengan penjelasan Fauzi mengenai kesnya dengan menganggap jika masih dibuka, kenapa dia tidak dimaklumkan mengenai perkembangannya.
Malah, beliau tidak faham kenapa polis hanya mendiamkan diri, tanpa memberitahunya apa-apa kedudukan mengenai perkara itu kepadanya.
|