Idealis Mahasiswa
 
 

Gadis Islam Ratu Cantik England


Hit = [ ]

sumber: Bacaria Rabu 14/9/2005

GADIS jelita kelahiran Uzbekistan mencipta sejarah menjadi wanita Islam pertama dinobatkan sebagai Ratu Cantik England dan akan bersaing dalam pertandingan Ratu Dunia di China Disember ini.

Hammasa Kohistani, 18, yang ibubapanya meninggalkan Afghanistan, berkata dia gembira tetapi terkejut sebaik diumumkan pemenang pertandingan itu dan berharap dia tidak menjadi gadis Islam terakhir menerima penghormatan.

"Apabila saya diumumkan sebagai pemenang, saya ingatkan saya tersalah dengar. Saya mengambil masa seketika untuk menyedarinya," kata Kohistani, yang memakai gaun chiffon dan sutera berwarna putih yang direka dan dihasilkan ibunya.

Seorang lagi peserta beragama Islam, Sarah Mendly, yang berketurunan Iraq berusia 23 tahun, sebenarnya disebut-sebut sebagai peserta yang bakal menjuarai pertandingan yang diadakan di Liverpool, utara England.

Ditanya mengenai perasaannya sebagai gadis Islam pertama menjadi Ratu Cantik England, Kohistani berkata dia mencipta sejarah dan amat gembira.

"Harap-harap saya bukan yang terakhir," katanya.

Dia dilahirkan di Tashkent, tengah Uzbekistan, selepas ibubapanya terpaksa meninggalkan Afghanistan.

      

Gadis berambut perang gelap yang mahir dalam enam bahasa termasuk Rusia, Parsi dan Perancis, kelihatan teruja ketika mahkota diletakkan di atas kepalanya di depan penonton yang bersorak gemuruh di Olympia Theatre di Liverpool.

Dia dipilih daripada sekumpulan 40 peserta dalam pertandingan dua hari itu. Penuntut yang juga dikenali sebagai Ratu Maya di kalangan pusat fesyen Asia yang menajanya, juga ditawarkan membintangi sebuah filem Bollywood.

Pemenang pertandingan akan mewakili England dalam pertandingan akhir Ratu Dunia di China Disember ini yang menawarkan hadiah bernilai AS$100,000 (RM377,000).

Kohistani dan Mendly, seorang graduan biokimia yang sudahpun memenangi gelaran ratu Notthingham, ialah antara empat wanita Islam di kalangan 20 peserta akhir - hakikat yang menimbulkan kemarahan beberapa ulama kakan Islam.

Pertandingan itu diadakan ketika London digemparkan dengan serangan berani mati pada Julai lalu yang mengorbankan 52 orang sekaligus meningkatkan ketegangan di Britain yang mempunyai 1.6 juta minoriti Islam.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved