|
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat mengecam tindakan Pemuda Umno yang mendebatkan kenyataan Pengerusi Biro Antarabangsa, Parti Demokratik Malaysia (DAP) Ronnie Liu mengenai sejarah kemerdekaan negara dan tokoh-tokoh yang diketepikan tetapi turut memberikan sumbangan besar ke arah kemerdekaan.
Terbaru, laman web Pemuda Umno menyiarkan grafik yang diubahsuai dari sebuah kulit Chin Peng (bekas pemimpin PKM) dengan meletakkan gambar Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh pemimpin alternatif negara.
Dalam kenyataan Angkatan Muda Malaysia bertarikh 13 September, ia menyatakan bahawa anak muda di Malaysia seharusnya tahu bahawa pemimpian PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya) seperti Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Mohammad (Pak Sako), Arshad Ashaari, Dahari Ali, Baharuddin Tahir, Khadijah Ali, Ibrahim Karim, Kamarulzaman Teh (Pak Zaman), Abdul Rahman Rahim dan ramai lagi telah memainkan peranan yang penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Menurut exco Angkatan Muda Malaysia, Zarerah Hanem Md Zaki, Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak, setahun sebelum Umno ditubuhkan.
Menurutnya, pemimpin pengasas terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestaman and Dr. Burhanuddin al-Helmi (kemudiannya menjadi Presiden PAS). Objektif PKMM adalah untuk memperjuangkan negara yang merdeka, bebas daripada pengaruh kuasa penjajahan British.
Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) adalah merupakan sayap dibawah PKMM dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
"PKMM menghantar perwakilan antara terbesar dalam Kongres Umno 1- 4 Mac 1946 di Kuala Lumpur dan telah membawa usul untuk 'menolak Malayan Union dan mendesak agar Malaya dimerdekakan sepenuhnya'," kata Zarerah.
"Malangnya, usul tersebut telah ditolak oleh kongres yang meyebabkan kesemua delegasi PKMM keluar dari kongres pada hari ketiga sebagai tanda protes. Pemimpinnya telah terus berusaha dalam perjuangan memerdekakan Malaya sepenuhnya, berbeza dengan pemimpin konservatif Umno yang hanya mahu mempertahankan status mereka," tambahnya lagi.
Menurut Zarerah, British pada ketika itu memulakan gerakan untuk menghentikan kemaraan PKMM dan ahli API pada 1948. Ramai di antara pemimpin dan ahli berhaluan kiri ditahan dan ada diantara mereka berjaya melarikan diri dari polis dan masuk ke hutan dan menyertai kumpulan pemberontak diketuai oleh MCP. Ini telah menyebabkan berlakunya pembersiahn politik yang segera dipenuhkan oleh Umno dengan restu pihak British. MCA dan MIC kemudiannya telah ditubuhkan selepas kewujudan Umno dengan galakkan dari pihak British.
| |
Perdebatan mengenai kenyatan tersebut dimulakan apabila Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno (menantu Perdana Menteri) dalam satu sidang medianya dengan penuh emosi cuba memain sentimen Melayu kononnya untuk simpati dan menyokong Umno dengan memutarbelitkan fakta tulisan yang tersiar dalam laman DAP itu.
Kemudian, Utusan dan RTM sekali lagi berjaya memainkan peranan sebagai media propaganda untuk membangkitkan dan membakar lagi sentimen ini. Seperti biasa juga maka muncullah beberapa pemimpin politik dan pemimpin badan bukan kerajaan memberikan komen malah membuat laporan polis mengenai perkara ini.
Dalam kenyataan Angkatan Muda, ia menjelaskan bahawa dari keseluruhan artikel hanya satu perenggan menyentuh mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu "Harus ditunjukkan juga bahawa perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Pejuang Kebebasan dan tekanan yang diberikan oleh Parti Komunis Malaya diketuai oleh Chin Peng (sebagai pengetahuan oleh Tan Sri Rahim Noor, KPN yang menandatangani perjanjian damai dengan MCP), pihak British sudah pasti tidak akan memberikan kerjasama dan sanggup berunding dengan pemimpin Pergerakan untuk menuntut kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.
Tetapi Zarerah terkilan mengapa satu perenggan itu sahaja yang menjadi perdebatan mengapa keseluruhan artikel itu tidak diperdebatkan?
Angkatan Muda juga menjelaskan bahawa atas tindakan Khairy itu seolah-olah Umno panik kerana taktiknya selama ini yang cuba memanipulasi sejarah semakin tidak menjadi.
Bagi Zarerah, kemerdekaan hari ini bukan milik Umno sahaja tetapi ia adalah usaha semua datuk nenek kita tidak kita apa parti, keturunan dan latar belakang.
Baru-baru ini, pemimpin MCA sendiri pun mengeluarkan kenyataan bahawa ingin mengaplikasikan sistem persekolahan di China (sebuah negara komunis) di negara ini.
Bagi Angkatan Muda faktor yang mengancam negara sekarang bukannya fakta sejarah tetapi rasuah, kronisma, nepotisma dan seribu satu amalan salah guna kuasa yang membarah dalam sistem negara.
"Itu wabak sebenar yang mengancam negara," jelas Zarerah.
Angkatan Muda amat berbangga jika badan-badan belia tampil mengkritik pembaziran, amalan salah guna kuasa dan penguasaan kekayaan oleh golongan tertentu dalam negara.
|