|
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kedatangan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Mawi ke Kelantan 1 Oktober ini atas undangan kerajaan negeri Kelantan terus mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pemimpin kanan parti itu.
Hari ini, Dewan Pemuda Pas Pusat dan Dewan Pemuda Pas Kelantan membantah tindakan Dewan Ulama parti itu yang tidak bersetuju Mawi mengadakan persembahan di Kelantan.
"Kami menyokong hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membawa Mawi ke negeri itu.
"Langkah kerajaan Kelantan itu bertujuan menyediakan alternatif hiburan daripada perspektif Islam untuk golongan remaja," tegas Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat membawa Mawi ke Kelantan merupakan satu dakwah bagi mendekati golongan remaja.
Tindakan Nik Abdul Aziz membawa Mawi atau Asmawi Ani, untuk mengadakan persembahan pada 30 September dan 1 Oktober ini mendapat bantahan daripada Dewan Ulama Pas.
Ketuanya, Datuk Harun Taib menegaskan semalam, Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, tetapi dia adalah produk sebuah rancangan realiti televisyen, yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.
Harun juga berkata, Dewan Ulama Pas tidak menghalang, sekiranya Kerajaan Kelantan menjemput penyanyi, yang benar-benar memperjuangkan hiburan Islam sebenar untuk membuat pertunjukan di negeri itu.
Sebelum ini, anggota Exco Husam Musa telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan merancang mengundang Mawi mengadakan persembahan pada konsert Amal Tautan Kasih, 30 September ini.
Satu lagi persembahan ialah pada 1 Oktober ini di Stadium Sultan Mohammad ke-IV sempena pengisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam.
| |
Selain Mawi, M. Nasir, Akil Hai, Rabbani dan Halim Yazid juga diundang.
Ditanya apakah berlaku perbalahan dalam Pas berhubung perkara itu, Salahudin bagaimanapun berkata, bantahan oleh Dewan Ulama Pas itu, hanyalah merupakan perbezaan pendapat, yang biasa berlaku dalam parti.
"Ia bukan satu perbalahan yang perlu diperbesar-besarkan," tambah beliau.
Katanya, Pemuda Pas menyokong keputusan kerajaan negeri Kelantan itu kerana ia merupakan tindakan positif bagi menonjolkan konsep hiburan alternatif bagi mendekati golongan remaja.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam reaksinya terhadap kontroversi itu, hari ini menjelaskan bahawa program itu telah mendapat kelulusan parti.
"Maklumat mengenai program kebudayaan itu telah diedarkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti pada 11 September, dan telah diluluskan tanpa sebarang bantahan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PAS menyokong konsep hiburan yang sihat dan positif kerana ia dibenarkan oleh Islam.
Di KOTA BHARU, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamed Zaki Ibrahim meminta Dewan Ulama Pas, supaya tidak mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Kelantan mengundang Mawi membuat persembahan di negeri itu.
"Kita perlu berpandangan jauh, walaupun Mawi dilahirkan melalui AF3, tetapi tidak semestinya dia membawa segala keburukan akademi itu.
"Mengikut sejarah, Saidina Omar yang pernah menentang Rasulullah bertukar menjadi pengikut yang setia dan baik selepas memeluk Islam," katanya.
Beliau menambah: "Kita juga akan meminta penganjur supaya menjemput pemimpin Dewan Ulama Pas untuk menyaksikan persembahan itu nanti."
|