|
Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) menyesal sifat keras kepala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mengundang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir walaupun banyak pertubuhan masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) menentang kehadiran beliau.
"Kami kesal Suhakam berkeras kepada dan tidak menghiraukan nasihat dan protes NGO untuk membawa Mahathir membuka persidangan tersebut," kata ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua.
Bagi Keadilan, tanggungjawab Suhakam adalah untuk majukan nilai-nilai hak asasi sejagat, tetapi malangnya platfom tersebut diperalatkan untuk kepentingan peribadi beliau.
Tian Chua menafikan kenyataan Mahathir sebelum ini yang memberitahu bahawa tidak ada seorang pun yang ditahan apabila dikritik oleh Mahathir.
Tian Chua pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana berpegang kepada dasar berbeza dengan dasar kerajaan.
Beliau berharap agar Suhakam memohon maaf kepada rakyat kerana membenarkan Mahathir yang mempunyai rekod yang buruk dalam hak asasi manusia mengeluarkan kata-kata kasar yang tidak selaras dengan peruntukan hak asasi manusia.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 10 September lalu, Keadilan berpendapat serangan yang dibuat bukan sahaja telah menghina bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kepada media dan keseluruhan rakyat Malaysia.
Tindakan tersebut meunjukkan ketakutan Mahathir kerana beliau dikaitkan dengan konspirasi. Sehingga hari ini, Mahathir tetap mengulangi kenyataan-kenyataan yang berunsurkan fitnah dan pembohongan.
Dengan itu, Tian berkata, Keadilan memberi beliau tempoh selama 24 jam untuk menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut dan mohon maaf kepada Anwar serta media massa Malaysia.
| |
Menyorot mengenai persitiwa pertuduhan Anwar, Tian Chua berkata bahawa jelas menunjukkan Mahathir tidak berani untuk hadir ke mahkamah dan membuktikan kesalahan-kesalahan palsu yang dilontarkan oleh beliau terhadap Anwar.
KeADILan menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menghentikan undangan-undangan rasmi kerajaan terhadap Mahathir Mohamad.
KeADILan berpendapat kehadiran Mahathir dalam majlis-majlis rasmi akan menjejaskan usaha-usaha Perdana Menteri dalam menjalankan reformasi di negara ini.
Impian untuk melakukan perubahan dalam negara ini tidak akan tercapai sekiranya ia masih dibebani dengan masalah yang ditanggung ketika era Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri, malah ianya akan bertambah merosot.
"Selagi Mahathir menggunakan platform kerajaan untuk menyatakan pendiriannya mengenai satu-satu perkara, ia akan menjejaskan keupayaan Abdullah Badawi untuk menerajui perubahan," kata Tian lagi.
Tian juga menyeru agar satu siasatan terbuka berhubung dengan isu konspirasi yang menjatuhkan maruah dan kedudukan Anwar Ibrahim dibuat secepat mungkin.
Bagi Tian Chua, peranan Mahathir dalam konspirasi tersebut harus dikenalpasti dan diketahui umum.
Perbuatan Mahathir dianggap bukan hanya permasalahan dalaman Umno tetapi ia telah mencetuskan satu krisis yang merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dan menjatuhkan prestasi negara di pentas antarabanga.
Keadilan berpendapat Mahathir telah mengheret dan memburukkan imej Malaysia di dunia.
Selain itu, Tian juga menasihatkan Mahathir untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap perbuatan beliau itu. Sekiranya tidak, KeADILan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.
|