Idealis Mahasiswa
 
 

Pemuda PAS mahu temui Siti Nurhaliza


Hit = [ ]

sumber: Malaysia Kini Aug 19, 05 12:27pm

Pemuda PAS akan bertemu dengan golongan seperti Siti Nurhaliza untuk mendengar mereka mengenai dunia hiburan di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai artis yang mempunyai imej sopan dan bersih.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Mazlan Aliman berkata, pergerakan itu juga akan bertemu dengan Persatuan Karyawan dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk mendengar pandangan.

Usaha ini didorong oleh kemenangan besar Asmawi Ani atau Mawi, 24, dalam rancangan Akademi Fantasia ketiga (AF3) baru-baru ini yang turut melahirkan melahirkan seorang lagi artis yang mempunyai imej sopan dan bersih.

Sebagai langkah pertama, katanya, pergerakan itu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai hiburan untuk mengumpul maklumat mengenai dunia hiburan di negara ini bagi merumuskan cadangan untuk memperbaiki dasar hiburan dan penyiaran negara.

Mazlan berkata, ia juga bertujuan mendapatkan pandangan mereka tentang sejauh mana hiburan boleh memberi imej kepada golongan artis dan kesannya secara langsung kepada rakyat terutamanya anak-anak muda.

      

Maklumat untuk kerajaan

"Saya difahamkan dasar penyiaran negara kita sudah begitu lama. Jadi mungkin pendekatan yang digunakan oleh dasar penyiaran negara sudah tidak relevan dengan keperluan hari ini," katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Menurut Bernama, Mazlan berkata, Pemuda Pas bersedia memberi bantuan dan kerjasama yang diperlukan dalam usaha membentuk dasar baru dalam bidang hiburan dan penyiaran.

Bahan dan maklumat yang akan dikumpulkan akan diserahkan kepada kerajaan untuk dikaji dan dimasukkan dalam dasar baru yang lebih mementingkan norma kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini, katanya.

Beliau berkata, selama ini golongan artis kurang faham pendirian PAS sehingga timbul perasaan kononnya parti itu tidak menyokong artis, namun selepas diterangkan dasar parti itu, mereka sanggup bekerjasama.

Pemuda PAS, katanya tidak anti hiburan asalkan ia tidak melampaui batas keagamaan dan mempunyai garis panduan berlandaskan norma-norma ketimuran.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved