|
[sumber asal Sin Chew Daily]
Jika ada perkara yang memang tidak boleh dikalahkan, ia pastilah pendidikan Cina di Malaysia.
Oleh kerana ketabahannya, ia telah berjaya menempuh zaman penjajahan British serta kekejaman tentera Jepun, dan mewujudkan 1,288 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, 60 buah sekolah menengah Cina serta tiga institut pengajian tinggi swasta di negara ini.
Sejarahnya tidak sama seperti yang lain, penuh dengan liku dan cabaran. Kerana ia sering terhimpit dalam banyak ketidaktentuan, ia kini mara tanpa menoleh ke belakang lagi. Kerana ia sering berdepan dengan cabaran hebat, ia kini berada dalam keadaan selesa dan mencipta banyak kejayaan. Dan kerana sumbangan tanpa henti daripada sesetengah pihak, ia kini telah menjadi signifikan dalam sejarah pendidikan negara.
Hari ini, terdapat lebih kurang 640,000 orang pelajar yang bersekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, 60,000 orang atau hampir satu persepuluh daripadanya merupakan orang bukan Cina. Jika tidak kerana sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di seluruh Malaysia telah penuh sesak, lebih ramai ibu bapa bukan Cina dijangka akan memasukkan anak mereka di sana.
Mengapakah ibu bapa bukan Cina ini menghantar anak mereka ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, mengapa tidak ke sekolah rendah kebangsaan yang mempunyai lebih banyak kemudahan pembelajarannya?
Itulah persoalan yang sukar difahami oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir. Oleh sebab itu, dia baru-baru ini mencadangkan agar satu kaji selidik akademik dibuat bagi memastikan mengapa semakin ramai ibu bapa bukan Cina yang menghantar anak mereka ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Dia juga ingin tahu sama ada ibu bapa ini berbuat demikian hanya semata-mata kerana mahukan anak mereka belajar bahasa Cina, atau pun sebenarnya sekolah rendah jenis kebangsaan Cina ini adalah lebih bagus daripada sekolah kebangsaan biasa.
Saya berharap agar pemimpin negara ini akan menghapuskan pendidikan berasaskan kaum bagi mengkaji sistem pendidikan negara daripada pespektif yang lebih objektif dan makroskop.
Tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya perbezaan yang besar antara apa yang difikirkan oleh pemimpin negara ini dengan apa yang difikirkan oleh masyarakat Cina mengenai isu pendidikan negara. Sekolah rendah jenis kebangsaan Cina ini sering dilabel secara terbuka sebagai penghalang kepada kemajuan serta perpaduan negara. Dan oleh sebab itu, sekolah rendah jenis kebangsaan Cina ini terus dipinggirkan dan pembangunannya diabaikan, menyebabkan tidak hentinya masalah kekurangan guru yang bertauliah di sana.
| |
Sesetengah pemimpin berpendapat bahawa asalkan mereka menguruskan sekolah kebangsaan dengan baik, membekalkan ia dengan guru serta kemudahan pembelajaran yang terbaik, ibu bapa Cina akan sendirinya menghantar anak mereka untuk belajar di sana. Tetapi keadaan tersebut tidak berlaku. Hari ini, bukan hanya ibu bapa Cina yang menghantar anak mereka bersekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, jumlah ibu bapa bukan Cina yang berbuat demikian juga telah bertambah.
Sebab mengapa ibu bapa Cina menghantar anak mereka ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina tidak lain adalah bagi menurunkan warisan budaya mereka. Dan oleh kerana itu, masyarakat Cina terus tegas dan tidak akan berkompromi tentang isu pendidikan Cina.
Bagi ibu bapa bukan Cina pula, motif mereka dalam menghantar anak mereka ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina pula adalah untuk mencari keuntungan. Jika anda tidak percaya, anda boleh bertanya sendiri kepada mereka. Anda barangkali akan diberitahu bahawa mereka percaya bahawa masa depan anak-anak mereka akan menjadi lebih cerah jika mereka memahami dan boleh bertutur dalam bahasa Cina.
Hakikatnya, peningkatan jumlah pelajar bukan Cina dalam sekolah rendah jenis kebangsaan Cina telah mencetuskan persoalan kepada sekolah itu sendiri. Malah, ada sesetengah sekolah yang mengambil inisiatif untuk mengingatkan ibu bapa bukan Cina ini bahawa menghantar anak mereka bersekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina mungkin bukan satu perkara yang baik bagi mereka, kerana anak-anak mereka mungkin akan menghadapi masalah komunikasi di sana.
Walau bagaimanapun, tidak ramai ibu bapa yang menukar fikiran mereka.
Saya masih ingat lagi seorang India berkata, “Ini anak lelaki saya yang bongsu. Dia mempunyai tiga orang abang, dua orang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan, dan seorang di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Mereka semua sudah bekerja sekarang. Dua orang abangnya yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan tidak pernah menghantar wang ke kampung, hanya abangnya yang dulu bersekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina sahaja yang mengambil berat tentang keluarga dan menghantar wang ke kampung setiap bulan. Itulah sebabnya!”
Mungkin lelaki India tersebut tidak tahu tentang budaya orang Cina, tetapi dia sangat tahu betapa berbezanya anaknya yang bersekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.
Jika Dr Mahathir mendengar apa yang dikatakannya, mungkin dia akan lebih memahami tentang keunikan pendidikan Cina.
|