|
KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam di New Orleans, Amerika Syarikat, yang dilanda Taufan Katrina, Isnin lalu, menjadikan masjid di Baton Rouge, sebagai pusat perlindungan sementara.
Pelajar Malaysia, Noor Azam Abdul Razak, berkata mangsa yang kebanyakannya sudah berkeluarga datang ke situ sejak New Orleans diisytiharkan kawasan bencana.
“Mereka menjadikan masjid sebagai tempat berlindung sejurus sampai ke Baton Rouge.
“Selepas itu, barulah mereka cuba mencari saudara atau kenalan di sini untuk menumpang teduh dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro, ketika dihubungi, di sini, malam tadi.
Menurut Noor Azam, ada yang tidur di masjid kerana masih belum mendapat tempat perlindungan tetap tetapi jumlahnya kecil dan masjid berkenaan pula tidak sesak dengan kehadiran mereka.
Noor Azam yang melanjutkan pengajian Falsafah Doktoran di Lousiana State University (LSU) dalam bidang ekonomi selama lima tahun sejak 2001 lalu bagaimanapun tidak mengetahui jumlah sebenar masyarakat Islam yang berlindung di Baton Rouge.
“Melalui pengamatan, mereka datang daripada pelbagai latar belakang bangsa tetapi setakat ini, tiada orang Melayu.
“Jika ada yang meminta bantuan daripada saya dan isteri, kami akan membantu saudara seagama itu sedaya-upaya,” katanya.
Menurut Noor Azam, bekalan makanan di Baton Rouge kini kelihatan agak berkurangan walaupun masih mencukupi.
Dia yang menjadikan sebuah pasar raya untuk mendapatkan bekalan makanan harian mendapati berlaku sedikit kekurangan makanan.
“Tiga hari lalu, saya mengunjungi sebuah pasar raya untuk membeli makanan dan mendapati jumlah yang ada susut sedikit.
“Bagaimanapun, ia masih mencukupi dan saya rasa untuk tempoh tertentu, penduduk tidak mempunyai masalah berkaitan bekalan makanan,” katanya yang turut mengatakan bekalan minyak berkurangan.
| |
Noor Azam mengatakan deretan kenderaan boleh di lihat di setiap stesen minyak tetapi harga minyak masih tidak dinaikkan sewenang-wenang oleh peniaga.
“Saya mengisi minyak kenderaan kelmarin dan terpaksa berbaris panjang. Bagaimanapun, harga minyak masih di paras biasa.
“Selain itu, jalan raya menuju ke New Orleans juga disekat oleh pihak berkuasa dengan penduduk dibenarkan masuk ke Baton Rouge tetapi dilarang masuk semula ke kawasan bencana,” katanya.
Keadaan keselamatan di Baton Rouge juga dalam keadaan terkawal cuma terdapat rusuhan kelmarin, bagaimanapun tidak mengetahui puncanya.
Ini kerana, perkara terbabit tidak mendapat liputan daripada media tempatan.
“Di sini, tiada kejadian pecah kedai untuk mendapatkan makanan, tembakan rambang, kecurian atau jenayah lain seperti yang dilaporkan berlaku di New Orleans.
“Cuma, buat masa sekarang pejabat, sekolah dan universiti ditutup sementara bagi memudahkan operasi membantu mangsa bencana. Penduduk juga bertungkus-lumus membantu apa yang terdaya,” katanya.
Noor Azam kini hanya berada di rumah bersama isteri jika tiada perkara penting hendak dilakukan. Dia yang sering menghabiskan masa di perpustakaan universiti kini pulang ke rumah setiap jam 6 petang.
Jika sebelum ini, dia pulang tengah malam kerana menelaah pelajaran, kini rutinnya diubah kerana perpustakaan itu akan ditutup seawal jam 6 petang.
“Keluarga di Malaysia dimaklumkan keadaan saya sekeluarga selamat. Saya sering berhubung dengan mereka memaklumkan perkembangan terbaru,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, taufan itu dikatakan paling dahsyat dalam sejarah moden Amerika Syarikat dengan ribuan penduduk tinggal sehelai sepinggang akibat kehilangan rumah dan pejabat.
Kini, pencuri pula mengambil kesempatan dengan memecah masuk kedai dan mencuri seberapa banyak barangan, termasuk makanan.
|