Idealis Mahasiswa
 
 

Ku Li sokong Anwar sekiranya kembali sertai Umno


Hit = [ ]

oleh: Rizal Tahir
sumber: Harakah Daily Friday, September 16 @ 20:15:30 MYT

KOTA BHARU, 16 Sept (Hrkh) - Tengku Razaleigh Hamzah hari ini secara jujur mengakui bersedia menyokong sekiranya Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa kembali kepada Umno dan sesiapa pun tidak perlu menghalangnya.

"Dulu saya yang bawa Anwar masuk Umno, tapi dia (Dr Mahathir Mohamad) tidak tanya saya semasa hendak buang Anwar. Saya tidak ada halangan lain lagi, kita main politik dengan cara sihat.

"Terpulang kepada pimpinan Umno kalau mereka hendak Anwar masuk Umno. Dulu kalau dia tidak hendak kepada Anwar maka dibuangnya. Saya terbuka kalau difikirkan Anwar itu munasabah dan dia boleh menyumbang kepada politik tanah air maka tidak menjadi masalah jadi ahli Umno," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, petang ini.

Sebelum ini Ku Li memberitahu Malaysia Business beliau menasihatkan Anwar supaya kembali kepada kepada Umno atau mengambil alih kepimpinan PAS kerana dalam politik tidak ada yang mustahil boleh berlaku.

      

"Mungkin kalau kita buat cara sihat kita boleh kawal seseorang yang cuba hendak seleweng daripada perjuangan. Kita parti besar boleh kawal seseorang itu kita tidak boleh takut.

"Kalau kita takut pengaruh kita hilang, kita buat peraturan. Kalau dibuat peraturan tidak boleh lawan.. ini penakut namanya. Bukan berjuang namanya. Dr Mahathir buat berbagai peraturan akhirnya dia berhenti juga," ujarnya.

Menurut beliau kalau hendak berjuang perlu menegak kepentingan orang ramai.

"Kalau Anwar masuk Umno susah hendak kata, biar dia masuk dulu, ada ura-ura Anwar hendak masuk Umno, tetapi kita tidak tanya lagi dia hendak masuk atau tidak. Saya pernah tanya Anwar secara berseloroh tetapi Anwar kata tidak berminat kerana Umno sudah tak diterima rakyat," katanya.

- /mj





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved