|
Kaum India Muslim di Malaysia berhak diiktiraf sebagai Melayu atau sekurang-kurangnya bumiputera kerana kedatangan mereka ke negara ini bermula sejak beribu tahun lalu, kata dakwa seorang pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Shamsul Amri Baharuddin.
“Pendatang yang mula-mula datang ke Melaka ialah kaum India Muslim. Selain berdagang mereka juga menyebarkan agama Islam,” kata beliau yang juga Pengarah Alam Tamadun Melayu (Atma), UKM.
Ketika diminta mengulas mengenai permintaan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) supaya kerajaan mengiktiraf mereka sebagai Melayu atau bumiputera, Shamsul berkata, jika orang Portugis dan suku kaum Sabah dan Sarawak boleh diiktiraf sebagai bumiputera, maka tidak ada sebab India Muslim tidak boleh diberi status tersebut.
Usul yang diluluskan dalam Persidangan Tahunan ke-30 Kimma semalam, meminta kerajaan memberi status Melayu kepada masyarakat India Muslim yang lahir di negara ini, sesuai dengan perlembagaan Malaysia, di mana seseorang Muslim yang boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dan mengamalkan adat Melayu, digelar sebagai orang Melayu
Shamsul berkata, apa yang berlaku ialah sebahagian masyarakat India Muslim sudah mendapat tempat, terutama dalam politik.
Ketika ditanya lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, Kaum India Muslim mahu identiti mereka ditukar Melayu atau bumiputera kerana kepentingan ekonomi dan politik.
Menurutnya, golongan tersebut tidak mendapat keistimewaan, terutama politik dan ekonomi sepertimana orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.
| |
Pada masa ini, katanya, status kaum India Muslim hanya menguntungkan golongan kaya, sedangkan yang lain terus tertinggal dalam arus pemodenan negara.
Pengiktirafan sewajarnya
“Mereka sedar, hanya dengan menjadi Melayu atau bumiputera, mereka dapat bersaing dengan kaum lain di negara ini,” katanya.
Menurut Shamsul Amri lagi, pada zaman dahulu, kaum pendatang seperti orang Arab tidak mahu dikenali sebagai orang Melayu kerana mereka (Melayu) tidak mendapat keistimewaan dari penjajah.
“Kini, dengan peluang ekonomi, pendidikan dan sebagainya yang dinikmati oleh orang Melayu, masing-masing mahu menjadi orang Melayu juga,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kimma, Syed Ibrahim Kader berkata, masyarakat India Muslim di negara ini tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
Katanya, masyarakat India Muslim yang mempunyai `bin’ mendapat peluang melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta mendapat kemudahan lain yang dinikmati oleh orang Melayu dan kaum bumiputera.
“Manakala sebahagian masyarakat India Muslim yang mempunyai `a/l’, tidak mendapat sebarang keistimewaan, termasuk tidak boleh menyertai Umno,” katanya.
Beliau berkata, jika masyarakat Portugis diberi status bumiputera, maka mengapa masyarakat India Muslim seramai 600,000 tidak diberi pengiktirafan yang sama.
|