|
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Calon-calon proaspirasi universiti dijangka menang besar pada pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2005/2006 Rabu ini, sekali gus membentuk 'kerajaan kampus' di semua 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tahun ini.
Bagaimanapun di sebalik ramalan itu, pilihan raya itu diselubungi pelbagai kontroversi termasuk tindakan boikot kumpulan propembangkang yang mendakwa sistem pemilihan itu tidak adil.
Setakat ini, calon-calon proaspirasi kerajaan menguasai keseluruhan kerusi umum dan fakulti di 11 daripada 17 IPTA selepas tamat tempoh penamaan calon yang diadakan serentak di semua IPTA hari ini.
Paling mengejutkan, kejayaan kumpulan proaspirasi 'menakluki' dua kubu kuat kumpulan pelajar propembangkang iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
Kejayaan kumpulan itu bagaimanapun menyaksikan banyak insiden memalukan termasuk tindakan seorang pelajar UIAM memfailkan permohonan mahkamah bagi mendapatkan perintah injunksi menghalang pihak pentadbiran universiti itu daripada meneruskan pilihan raya berkenaan.
Suasana pilihan raya kampus kali ini turut dicemari tindakan ramai calon propembangkang memboikot proses pemilihan yang didakwa mereka sebagai berat sebelah kerana terlalu memihak kepada kumpulan proaspirasi.
Kumpulan proaspirasi berjaya menguasai UIAM selepas semua calonnya diumumkan menang tanpa bertanding bagi semua 24 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus mengakhiri penguasaan lebih 10 tahun kumpulan propembangkang di universiti itu.
Menurut sumber, kumpulan propembangkang UIAM bertindak memulaukan proses pemilihan kerana tidak berpuas hati dengan beberapa syarat-syarat baru yang diperkenalkan oleh pihak pentadbir termasuk mewajibkan calon memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.8.
"Mereka juga tidak setuju dengan tindakan pihak universiti yang mahu setiap calon mengikuti peperiksaan khas sekiranya ingin bertanding," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tindakan memboikot proses pemilihan juga berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila kumpulan propembangkang yang menamakan mereka sebagai 'Gagasan Smart' tidak bersetuju dengan peraturan-peraturan yang diperkenalkan termasuk sistem pengundian yang disifatkan meragukan.
| |
Ini termasuk penggunaan sistem e-Voting yang didakwa tidak telus berbanding kaedah konvensional yang menggunakan kertas undi, larangan membuat bantahan selepas pengiraan undi dan dakwaan wujud kumpulan yang memaksa pelajar mengundi calon-calon tertentu.
Pilihan raya kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga dicemari insiden memboikot proses pemilihan apabila kumpulan pelajar propembangkang mendakwa pihak pentadbir universiti sengaja mengenakan syarat yang 'tidak masuk akal' bagi membolehkan kemenangan calon-calon tertentu.
Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu dikatakan meletakkan kos yang terlalu tinggi untuk pencalonan, cagaran dan bantahan serta menentukan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dianggap terlalu tinggi iaitu 3.00.
Seorang pelajar UTM, Azman Ibrahim berkata, kos pertandingan yang ditentukan kali ini amat tinggi seperti harga borang pencalonan berharga RM50, wang cagaran RM100 bagi merebut kerusi fakulti manakala RM150 untuk kerusi umum.
Katanya, bayaran sebanyak RM300 pula dikenakan kepada calon yang mahu membuat bantahan.
Selain UIAM dan UPSI, Kumpulan proaspirasi juga sudah menguasai semua kerusi yang dipertandingkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), UPM, Universiti Sains Malaysia (USM), UTM dan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM).
Turut dikuasai proaspirasi universiti ialah Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) dan Teknologi Malaysia (KUKTEM).
Dalam pada itu, kumpulan itu juga berjaya mendominasi lebih 90 peratus jumlah kerusi yang dipertandingkan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Bagaimanapun berlaku pertandingan di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIM) dan Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO).
Kumpulan proaspirasi UM bagaimanapun sudah mendahului 18 daripada 32 kerusi fakulti manakala kumpulan propembangkang menang satu kerusi di UKM.
Sementara itu, pilihan raya di UKM pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang disifatkan sebagai 'pelik' apabila difahamkan calon-calon bebas yang bertanding merupakan calon yang disokong oleh Naib Canselor.
|