Idealis Mahasiswa
 
 

Seramai 337 Ahli Parlimen terima AP


Hit = [ ]

oleh: Beh Lih Yi
sumber: Malaysia Kini Sep 20, 05 7:01pm

[Terjemahan] Sejumlah 337 Ahli Parlimen masing-masing memperolehi Permit Import (AP) untuk mengimport kereta mewah di antara tahun 2000 dan 12 September tahun ini.

Mereka adalah antara 4,500 individu yang diberi AP sepanjang tempoh tersebut, demikian menurut jawapan bertulis kepada soalan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang hari ini. (Setiap Ahli Parlimen layak menerima satu AP untuk kegunaan peribadi).

Dalam jawapan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industi itu, hanya nama ahli Parlimen yang diberi AP sahaja disebut, termasuk beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Antara penerima AP dari Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Dr Fong Chan Onn, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz (kanan), Datuk Mah Siew Keong, Datuk Hon Choon Kim, Datuk Fu Ah Kiow, Datuk Donald Lim, Robert Lau, Datuk Zainudin Maidin, Datuk Shafie Apdal, Dewan Rakyat Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Timbalannya, Datuk Lim Si Cheng.

Di pihak pembangkang pula ialah penyandang dan bekas ahli Parlimen seperti Mohamad Sabu, Husam Musa, Nasharuddin Mat Isa, Datuk Kamaruddin Jaafar, Salahuddin Ayub (semua dari PAS), Chong Eng, Fong Po Kuan, Teresa Kok, Fong Kui Lun (semua dari DAP) dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dari Parti Keadilan Rakyat.

Menurut jawapan itu, Menteri berkenaan, Datin Paduka Rafidah Aziz berkata, jumlah terbanyak AP individu itu dikeluarkan kepada rakyat Malaysia yang pulang selepas belajar atau bekerja di luar negara – sebanyak 2,721 dalam tempoh lima tahun tersebut.

Selain daripada mereka dan ahli Parlimen itu, yang lainnya terdiri daripada pegawai diplomatik (981), profesional yang digalak pulang di bawah skim galakan kerajaan (196), pegawai perdagangan (98), sultan dan gabenor (60) dan peserta program Malaysia rumah keduaku (57).

      

Rafidah menegaskan, tidak berlaku sebarang penyelewangan dalam pengeluaran AP kerana semua permohonan diluluskan berdasarkan kepada ‘syarat-syarat dan kriteria yang telus dan objektif’.

Senarai tersebut adalah yang terbaru dikeluarkan selepas pihak kerajaan mengeluarkan senarai penerima AP sebelum ini, di kemuncak pertikaian mengenai isu tersebut antara Rafidah dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen tanpa AP

Ketika dihubungi, Lim berkata: “Saya telah katakan sebelum ini, yang saya tidak memiliki sebarang AP dan senarai ini mengesahkannya. Mengenai sebab mengapa saya tidak memohonnya, kita boleh bercakap mengenainya kemudian.”

Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam), yang kini memandu SsangYong Rexton, berkata beliau tidak memohon AP kerana tidak tidak memerlukannya.

“Kenderaan sekarang sangat mahal...saya tidak ada wang lebih untuk membeli kereta baru dan yang saya gunakan sekarang adalah kereta terpakai,” katanya.

Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) berkata: “Saya memiliki kereta Nissan Sentra yang berusia tujuh tahun. Bila saya mahu beli kereta baru, baru saya akan timbang mendapatkan AP.”





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved