POPULARITI yang diraih Juara Akademi Fantasia musim ke tiga (AF3) - Asmawi Ani, (24 tahun) atau Mawi telah membawa suatu perubahan baru dalam dunia hiburan. Sehinggakan kerajaan Kelantan yang diperintah Pas sanggup mengundang penyanyi itu dalam Konsert Amal Tautan Kasih yang dijadualkan pada 30 September malam di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Sebelum ini kerajaan Kelantan di bawah enakmen hiburannya melarang artjs-artis wanita dan artis pop lain membuat persembahan. Sebaliknya hanya membenarkan penyanyi nasyid untuk beraksi di pentas.
Bagaimanapun populariti Mawi, imej serta sifat diri yang ditonjolkannya itu telah membuatkan penyanyi itu 'lulus' untuk muncul di pentas kerajaan Kelantan. Sedangkan Mawi bukanlah artis nasyid yang mempunyai album tapi cuma sekadar menyertai kumpulan nasyid di kampungnya di Johor, sebelum menyertai AF.
Wartawan Utusan Malaysia - Niezam Abdullah di Kota Bharu mendapatkan komen jurucakap kerajaan Kelantan - Husam Musa mengenai persoalan ini. Husam yang menjadi Naib Presiden Pas dan exco kerajaan negeri Kelantan berkata, penampilan Mawi dan sikapnya berjaya memaut hati kerajaan Kelantan untuk mengundangnya membuat persembahan di negeri itu.
Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang turut memberitahu, jemputan kepada Mawi juga tiada kaitan dengan politik.
MANGGA: Pada 30 September nanti, Kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas akan menganjurkan konsert di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu, Kelantan. Siapa barisan artisnya?
HUSAM: Setakat ini (ketika artikel ini ditulis pada 3 September 2005) kami belum dapat mengesahkan sepenuhnya barisan artis yang akan membuat persembahan selain Mawi. Bagaimanapun selain Mawi, ada juga artis-artis nasyid lain.
MANGGA: Khabarnya Pas nak bawa Mawi dan Siti Nurhaliza jayakan konsert itu... apa istimewanya mereka berdua dibandingkan dengan artis pop yang lain?
HUSAM: Setakat ini hanya Mawi yang kami jemput tetapi Siti Nurhaliza itu sekadar cadangan. Belum ada pengesahan. Biar kita bercakap pasal Mawi dulu. Soal Siti tu... masih belum ada keputusannya.
MANGGA: Apakah konsep yang hendak ditonjolkan dalam konsert itu nanti?
HUSAM: Konsepnya berbeza daripada konsert hiburan lain. Sebelum persembahan bermula, kami akan menganjurkan solat berjemaah di stadium terlebih dahulu untuk mengasingkan antara penonton lelaki dan perempuan. Kita sedia maklum, bila nak bersolat mesti kena asing antara lelaki dan perempuan kan?
Jadi apabila sudah diasingkan ketika solat berjemaah itu, barulah konsert akan kita mulakan iaitu selepas waktu Isyak. Apa yang hendak kami lakukan ialah menyampaikan mesej Islam dalam konsert sebab itulah kami mewajibkan penonton yang hendak menyaksikan konsert itu nanti bersolat terlebih dahulu.
MANGGA: Apa pandangan Yang Berhormat (YB) tentang Mawi?
HUSAM: Secara umumnya hiburan itu adalah keperluan. Semua orang sukakan hiburan dan inginkan hiburan. Dalam Islam juga hiburan itu dibenarkan mengikut cara tertentu. Dalam masa yang sama hjburan itu boleh memberikan manfaat kepada masyarakat. Kita tidak mahu hiburan yang ditonjolkan itu menaikkan gelodak perasaan remaja. Kita mahu hjburan yang membina dengan menyampaikan mesej-mesej baik seperti lagu-lagu nasyid misalnya.
| |
Kita lihat, lagu nasyid yang pernah dinyanyikan Mawi dengan imejnya sendiri memenuhi keperluan ini dan kita menjemput dia (ke Kelantan) kerana konsep yang dipersembahkannya itu selari dengan peraturan hiburan kerajaan negeri.
MANGGA: Kenapa Mawi? Artis lain pun ada. Sedangkan Mawi dilahirkan di pentas AF yang sebelum ini mendapat tentangan Pas sendiri.
HUSAM: Persoalannya sekarang imej yang dibawa Mawi menepati kehendak kerajaan negeri dan yang paling penting dia adalah ikon remaja yang paling popular pada masa kini.
Kelahiran Mawi di persada seni nampaknya telah memenuhi selera orang Melayu pelbagai peringkat. Dari yang paling kecil, muda sampailah yang tua semuanya minat Mawi. Selain itu Mawi selari dengan hasrat orang ramai sebab itulah kami menjemput dia ke Kelantan.
MANGGA: Apa pandangan YB mengenai konsert-konsert hiburan pada masa kini?
HUSAM: Kerajaan haruslah melipat gandakan usaha untuk menghasilkan hiburan seperti filem, drama, animasi atau dokumentari yang memenuhi ciri-ciri Islam dalam negara dan dunia.
Sekarang kita terpaksa gunakan produk-produk asing yang boleh mempengaruhi keruntuhan akhlak sehingga meningkatnya kadar jenayah dan hilang sopan-santun. Jika ada hiburan berlandaskan konsep budaya kita, sudah tentulah ia akan selari dengan apa yang kita impikan selama ini mengikut acuan kita.
MANGGA: Apa pendapat YB jika Mawi mahu terus berjaya dalam kerjayanya sebagai penyanyi berimej Islamik? Bagaimana dia harus menangani dugaan yang ditempuhinya dalam dunia glamor supaya tidak hanyut?
HUSAM: Seseorang idola itu boleh bawa orang ke syurga atau pun ke neraka. Sebab itulah apa yang ditonjolkan seseorang penyanyi itu penting kerana dia dapat mempengaruhi orang menjadi baik atau sebaliknya.
Apa yang berlaku ke atas Mawi selepas ini dalam menempuh dugaan terhadap kerjayanya terletak di tangan masyarakat. Mereka yang bertanggungjawab membentuk Mawi.
Jika kita tidak mahu dia terpesong atau hanyut, kita hendaklah menerimannya mengikut tatasusila serta landasan yang betul sebagaimana yang ditekankan oleh agama. Jika semuanya bersikap sebegitu, Mawi juga tidak akan tergelincir dalam kedudukannya.
MANGGA: Secara peribadi YB suka lagu, lirik dan hiburan yang macam mana?
HUSAM: (Ketawa) Saya berhasrat untuk melihat ada orang yang menggubah doa-doa Rasulullah atau wirid-wirid tertentu dalam bentuk lagu. Kalau dulu, orang duduk dalam masjid ramai-ramai dan baca doa mengikut alunan lagu tersendiri dan sekarang ini apa salahnya doa-doa terbabit kita hasilkan dalam bentuk lagu yang dihasilkan (secara) lebih kreatif.
Doa nabi ada banyak dan sudah tentu jika ia dihasilkan dengan alunan suara penyanyi yang merdu, ia akan menjadi lebih menarik dan memudahkan orang untuk menghafalnya.
|