POPULAR dan berimej Islamik, itulah aset yang ada pada juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3). Asmawi Ani (24 tahun) atau Mawi. Album Mawi terbitan Maestro pun laris beratus ribu unit. Ramai yang mahu menjadikan Mawi sebagai ikon remaja.
Putera UMNO, melalui Pengerusi Bironya - Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pun pernah berhasrat mempelawa Mawi untuk menyertai Putera UMNO.
Pada 28 Ogos lalu Mawi telah diundang untuk menyanyi menghiburkan orang ramai sempena pelancaran Putera UMNO peringkat negeri Kedah di Kupang, Baling Kedah.
Mawi menyanyi dengan memakai baju dan topi putih berlambangkan logo Putera UMNO. Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Ketuanya - Khairy Jamaluddin, seluruh anggota Exco Pemuda UMNO dan Pengerusi Biro Putera UMNO - Datuk Abdul Azeez.
Datuk Seri Hishammuddin turut melancarkan Kelab Motosikal Putera UMNO dan menerima borang keanggotaan baru Putera UMNO Kedah seramai 3,000 orang pada hari itu.
Wartawan Mangga - ROSALWANI CHE SOH sempat menemubual Datuk Abdul Azeez di pejabatnya pada 7 Ogos lalu bagi mendapatkan kepastian tentang respon Mawi. Kita ikuti temubual itu:
MANGGA: Semasa perhimpunan Agong UMNO pada bulan Julai yang lalu, Datuk ada menyatakan hasrat untuk melamar Mawi menyertai Putera UMNO, apa respon Mawi?
DATUK AZEEZ: Alhamdullilah, saya terima feedback yang positif dari Mawi. Ketika Mawi menjayakan pertunjukan sempena pelancaran Putera Umno peringkat Negeri Kedah, pada 28 Ogos lalu, Mawi ada menyatakan yang dia akan cuba bersama-sama dalam program-program yang dirancang oleh Biro Putera UMNO.
Di kesempatan ini juga, saya, Datuk Sri Hishammuddin dan Khairy ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mawi kerana sudi hadir di majlis kami. Biarpun Mawi nampak penat, namun Mawi tidak langsung mengeluh dan dia amat berbesar hati dapat menjayakan program Putera UMNO.
MANGGA: Kenapa pilih Mawi? Sedangkan ramai lagi artis-artis lain yang boleh diketengahkan. Apa istimewanya Mawi pada pandangan Datuk?
DATUK AZEEZ: Mawi ada karisma. Saya lihat, Mawi mempunyai tarikan yang begitu unik. Auranya memikat jutaan peminat. Lagipun imejnya bersih dan dia mempunyai daya penarik dan pakej yang lengkap kerana kejayaannya memukau perhatian ramai kebelakangan ini.
| |
Peminatnya juga bukan sahaja dari golongan belia malahan pelbagai peringkat umur. Atas sebab itulah kami Putera Umno ingin menjadikan Mawi sebagai idola remaja dalam menarik minat belia supaya menyertai Putera Umno. Tapi pelawaan ini sebenarnya bukan sahaja dibuka untuk Mawi. Pelawaan ini dibuka kepada semua artis lelaki yang berjaya dan mempunyai akhlak yang baik.
MANGGA: Apa rancangan Datuk dalam rangka untuk mempromosikan Putera UMNO?
DATUK AZEEZ: Kami telah merangka pelbagai aktiviti yang menepati citarasa anak-anak muda yang berusia dalam linkungan 18 hingga 2S tahun mengikut keperluan semasa dan kesesuaian suasana. Antaranya mengadakan liga bola sepak, sukan lumba motor, sukan X games dan pelbagai aktiviti lagi yang mengkhususkan kepada remaja 2S tahun ke bawah.
Selain itu kami juga bercadang untuk menghimpunkan 1,000 anak muda yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk usahawan, golongan profesional dan insan seni untuk berkumpul bersama-sama dalam Putera UMNO bagi menyemarakkan lagi pertubuhan ini agar dapat melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti amanat Perdana Menteri - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Namun ini semua masih di peringkat cadangan dan usul. Insya-Allah kami akan tulis surat pada Datuk Seri nanti bagi membentangkan tentang usul ini.
MANGGA: Setakat ini berapa ramai ahli putera UMNO?
DATUK AZEEZ: Alhamdullillah, setakat ini keahlian Putera Umno telah bertambah. Sejak ditubuhkan pada 19 Jun yang lalu di Melaka, penambahan ahli setakat hari ini telah pun mencecah ke 190,000 orang ahli yang rata-ratanya berumur sekitar 18 hingga 25 tahun.
MANGGA: Harapan Datuk untuk Putera UMNO?
DATUK AZEEZ: Saya harap lebih ramai lagi remaja lelaki yang akan sertai Putera UMNO.Tak rugi kalau jadi ahli. Sebab kita buat program semuanya mengikut cita rasa dan keperluan remaja masa kini.
|