Mesej kepada editor
From: pasteinfoman<pasteinfo_man@yahoo.co.uk>
Date: Wed March 15, 2005 2:19 am
Rahsia di sebalik Pengakuan Bersumpah Wan Norhayati Wan Alias
sumber-Akhbar Mahasiswa
Prakata
Pengakuan bersumpah Wan Norhayati Wan Alias,
pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terkandas
dalam pelajaran amat menarik dikupas. Gadis yang berasal dari
Kelantan, yatim piatu itu mendedahkan secara terperinci bagaimanakah
modus operandi Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Universiti
Teknologi Malaysia beroperasi dalam pengakuannya yang dibuat
pada 1 Januari 2001. Pengakuannya itu diperakukan oleh Yang
Dipertua Mahkamah Tengah, Pengadil atau Pesuruhjaya Sumpah
Malaysia Cawangan Johor Bharu pada tahun yang sama.
Dalam surat sumpah yang bertandatangan oleh
pengakunya itu beliau mengaku dengan tulus ikhlas, dengan
penuh kepercayaan dan sedar apa-apa keterangan yang terkandung
di dalamnya adalah benar serta menurut Undang-undang Sumpah
Akuan, 1960.
Pengakuan gadis yatim piatu
Apa yang paling menarik dalam pengakuan ini
adalah dibuat oleh seorang gadis yang telah kematian ibu bapa,
menyertai gerakan PMI sehingga terkorban diri sendiri. Sekiranya
pengakuan ini dibuat oleh seorang lelaki nilai pengakuan itu
dianggap kurang berkesan kerana jiwa lelaki lebih kental untuk
mengharungi kehidupan ini. Lagipun femomena lelaki yang terkandas
dalam pelajaran kerana terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum
di kampus sering didengari dan menjadi perkara biasa.
Wan Norhayati adalah simbol anak gadis Melayu-Islam
yang sedang mencari arah tujuan, berasal dari kampung, merantau
ke ibu kota, mendiami kampus untuk melanjutkan pelajaran bagi
memenuhi tuntutan masa depannya. Rupa-rupanya di dalam kampus,
terdapat banyak godaan sampingan dan bukannya menumpukan kepada
pelajaran sepertimana hasrat awal kemasukan gadis itu ke menara
gading. Godaan yang paling kencang bertiup adalah arus
kebangkitan dakwah yang digerakkan oleh persatuan Islam
kampus.
Tambah menarik lagi PMIUTM adalah simbolik kepada
seluruh PMI tempatan kerana sistem dan modul untuk melatih
ahli adalah sama cuma berbeza dari segi waqib(tempat) dan
individu-individu yang terlibat di dalamnya sahaja.
Ingin mendalami agama - terjebak dalam
usrah
Anak gadis yang baru kematian ibu ketika mula-mula
menjejaki kampus benar-benar rasa kesunyian dan hilang tempat
bergantung. Hidupnya sebatang kara, meninggalkan sanak saudara
yang tidak lagi mempedulikan dirinya. Tambahan pula, tiada
bantuan kewangan daripada keluarga membuatkan anak gadis itu
benar-benar tertekan.
Hilang tempat bergantung, kesunyian dan menghadapi
masalah kewangan membuatkan Wan Norhayati memilih eskapisme
baru sebagai jalan keluar iaitu memasuki Persatuan Mahasiswa
Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dengan matlamat
untuk mengisi kekosongan diri dan mendalami ilmu-ilmu agama.
Pada tanggapan luaran, gadis itu memandang PMIUTM
sebagai badan dakwah yang semata-mata untuk meningkatkan pengetahuan
agama di kalangan ahli-ahlinya atau paling tinggi sebagai
badan yang memperjuangkan agama Islam, tanpa dipengaruhi oleh
anasir-anasir luar khususnya yang berkaitan dengan politik.
Sebagai orang luar, dia melihat PMIUTM sebagai intan permata
yang boleh memberi manfaat kepadanya dan bergerak secara sendirian
tanpa mempunyai hubungan dengan pihak luar.
Kemasukan dalam PMIUTM dan penerimaan sebagai
anak usrah sebagai bukti pengesahan ahli pada semester 1,
1998/1999 benar-benar telah mencorak kehidupannya selama mana
dia masih bertahan dalam kampus. Sebagai sebuah pertubuhan
Islam kampus yang sudah tersohor, yang telah masak dalam arena
latihan pelajar, secara berkala dari tahun ke tahun, modul
yang terancang dan sistematik telah direncana bermula dari
kemasukan seseorang itu menjadi ahli usrah, hinggalah tamat
pengajian seseorang itu di kampus. Sukatannya telah disusun
dengan rapi yang mengandungi persoalan asas agama, membina
diri, membina fikrah politik, membina semangat juang dan mempertahankan
fikrah serta membina daya berkhidmat dengan organisasi dan
akhirnya berkhidmat sebagai mata rantai organisasi, penaung
organisasi dan parti politik organisasi yang menaungi persatuan
tersebut. Perkara ini tidak disedarinya ketika mula diasuh
dalam modul usrah.
Boleh disimpulkan, dengan menjejaknya kaki Norhayati
ke alam usrah, membuatkan kehidupannya telah diatur dan dia
tidak mampu untuk keluar daripada kitaran maut yang telah
dimodulkan itu, kecuali dia mampu menghabiskan pelajaran dengan
baik atau kandas dalam pelajarannya. Kebiasaannya, orang-orang
seperti Norhayati tidak mampu untuk mencapai keputusan cemerlang
kerana terdapat bebanan sampingan yang terpaksa dipikul di
samping bebanan asal yang amat rumit, iaitu akademik.
Malangnya bagi Norhayati, beliau ditakdirkan
tidak mampu membuat imbangan dan telah termasuk dalam kitaran
maut iaitu terkandas dalam pelajaran.
Tiga Tamrin pemantapan kader
Setelah mengenali dunia usrah, Wan Norhayati
telah dibawa mengembara ke alam pemantapan fikrah dan kepimpinan
organisasi iaitu melalui tiga kem asas. Pertama Kem
Tamrin Jelas Fikrah(Membentuk pemikiran jelas sokong
parti). Kedua, Kem Tamrin Walaq (Membentuk
kesetiaan) dan ketiga, Kem Tamrin Nuqaba(Latihan
pemantapan bagi kepimpinan).
Peringkat pertama - Tamrin Jelas Fikrah,
hanya terbuka kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti
daripada kumpulan usrah. Matlamatnya untuk membersihkan pegangan
pemikiran dan pendirian dalam politik. Ahli akan didedahkan
mengenai pengenalan gerakan Islam dan dibuat perbandingan
antara satu sama lain iaitu perbandingan di antara JIM, ABIM,
JAM, UMNO dan PAS.
Peringkat kedua adalah perbandingan antara UMNO
dan PAS dan kesimpulan akhir, para peserta diyakinkan bahawa
hanya PAS yang menepati Al Quran dan Sunnah. Semasa dalam
latihan para peserta dikehendaki berbaiah (sumpah) kali pertama
untuk memastikan peneguhan fikrah dan memastikan rahsia tidak
dibocorkan kepada pihak lain yang tidak bertanggungjawab (universiti/kerajaan).
Peringkat kedua - Tamrin Walaq,tertutup
kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti dipilih daripada
Tamrin Jelas Fikrah. Matlamatnya untuk melatih kesetiaan dan
latihan menyimpan rahsia organisasi. Latihan ala komando dikenakan
ke atas para peserta untuk memastikan matlamat itu tercapai.
Antaranya berjalan secara berkumpulan dengan menghadapi rintangan
demi rintangan dari satu check point ke
satu check point.
Pada tempat check point setiap
kumpulan diwajibkan memilih salah satu individu iaitu AJK
UMNO (dilabel sebagai orang jahat) atau AJK PAS (dilabel sebagai
orang baik). Kedua-dua AJK itu adalah penyamaran yang sengaja
dibuat.. Sekiranya setiap kumpulan tersalah memilih AJK UMNO,
perjalanannya akan terbantut dan terpaksa berpatah balik ke
check point sebelumnya, tetapi sekiranya setiap kumpulan
berjaya memilih AJK PAS, perjalanannya boleh diteruskan dengan
selamat ke check point seterusnya.
Para peserta juga dibawa berjalan malam dan
ditempatkan keseorangan di dalam gelap untuk menguji daya
ketakutan. Semasa latihan diadakan para peserta sekali lagi
disuruh berbaih (sumpah) kali kedua di hadapan amir (ketua
lelaki) dan amirah (ketua perempuan) untuk taat setia tanpa
berbelah bahagi.
Peringkat ketiga-Tamrin Nuqaba, tertutup
hanya kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti daripada
Tamrin Walaq. Matlamatnya untuk melatih para ketua lelaki
(naqib) dan ketua perempuan (naqibah) menjadi ketua-ketua
usrah bagi mengantikan naqib dan naqibah yang telah tamat
pengajian. Dalam tamrin ini, para peserta diajar berdasarkan
modul yang telah ditetapkan oleh pihak PMI dan modul itu adalah
sama digunakan untuk setiap orang.
Modul ini adalah dokumen sulit hanya dimiliki
oleh naqib dan naqibah dan tidak boleh didedahkan kepada pihak
lain termasuk anak usrah. Naqib dan naqibah diwajibkan menjaga
anak usrah baru (pelajar-pelajar baru) kebiasaanya di antara
lima hingga sepuluh orang bagi satu kumpulan. Menurut pengakuan
Norhayati, setiap kolej disyaratkan mempunyai 12 orang naqib
dan naqibah.
Baiah (sumpah) dengan nama Allah
Setiap peserta yang mengikuti Tamrin Jelas Fikrah
dan Tamrin Walaq, wajib melalui proses pengukuhan diri dan
kesetiaan kepada organisasi yang dinamakan baiah (sumpah).
Tujuannya adalah untuk memastikan setiap peserta benar-benar
ikhlas, tidak membocorkan rahsia dan berkorban apa sahaja
, serta patuh dengan arahan ketua, organisasi dan parti.
Baiah dimulakan dengan lafaz "bismillahi
rahmani rahim, bersumpah dengan nama Allah, akan taat setia
dalam perjuangan menegakkan agama Allah, sanggup berkorban
jiwa dan raga, patuh dengan arahan ketua, organisasi dan parti
dan tidak akan membocorkan rahsia pergerakan kepada pihak
lain".
Setiap ahli yang berbaiah akan diperteguhkan
dengan sepotong ayat Al Quran Barangsiapa yang berjuang
di jalan Allah, Allah akan pasti menolongnya kembali
[Surah al Hajj (22) : 40]
Setiap ahli ditanam dengan pegangan bahawa sesiapa
yang tidak taat kepada arahan, tidak ikut berjuang dan tidak
menjaga hazar (rahsia) akan ditimpa oleh bala kerana sebelum
ini telah bersumpah menggunakan nama Allah.
Menjadi naqibah dan pemegang jawatan
Untuk memantapkan seseorang itu sebagi naqibah,
bengkel susulan naqibah akan dilakukan secara berkala setiap
hujung minggu, di dalam atau di luar kampus
Semasa bengkel, para naqibah diajar bagaimanakah
cara untuk memikat ahli usrah baru dan mengenalpasti ciri-ciri
anak usrah baru untuk dimasukkan ke dalam usrah. Sasaran utama
adalah pelajar tahun satu yang masih mentah dalam alam kampus.
Antara ciri-ciri untuk memikat anak usrah adalah pertama pelajar
yang bermasalah dan memerlukan pergantungan, pelajar yang
tidak mempunyai ideologi politik atau pelajar yang telah mempunyai
ideologi politik sama yang diperjuangkan oleh PMI iaitu PAS.
Menjadi naqibah bermakna seseorang itu telah
melepasi tiga kem tamrin asas yang dinyatakan di atas dan
seseorang itu sudah layak untuk memegang amanah sebagai naqib/naqibah
dan memegang jawatan-jawatan lain yang diputuskan oleh organisasi.
Menurut pengakuan Wan Norhayati semasa dia menjadi
naqibah, tiga jawatan lain telah diwajibkan untuk dipegang
serentak iaitu, Bendahari dalam Lujnah Ekonomi Hizbi Islami,
Timbalan Pengerusi Forum Tamparan Wanita, anjuran PMI dan
Exco Biro Pelapis Markaz Siswazah Kelantan (MSK).
Kesimpulan
Secara umumnya dapat disimpulkan Wan Norhayati
Wan Alias terperangkap antara cita-cita memperbaiki diri dan
memahami tuntutan agama. Pada awalnya, dia hanya berhasrat
untuk menambahkan ilmu-ilmu agama dengan harapan apabila agama
penuh di dada akan menjadikan dirinya lebih sempurna sebagai
seorang muslim.
Tanpa diduga, PMIUTM hanyalah jaringan untuk
memerangkap mahasiswa-mahasiswi yang berniat ikhlas sepertinya.
Tersirat di sebaliknya, badan organisasi , PMIUTM, yang berdaftar
di bawah Hal Ehwal Pelajar adalah flatform untuk membawa orang-orang
sepertimya mengenali pertubuhan haram Hizbul Muslimin (HI)
yang merupakan lembaga sebenar pengawal PMIUTM.
Versi awal gadis itu memahami Islam, sebelum
memasuki dan terlibat secara serius dalam badan itu adalah
agama yang mementingkan pembangunan diri dan mengamalkan persaudaraan
Islam. Tambahan pula, impian awalnya PMIUTM dilihat sebagai
badan dakwah yang berusaha untuk mengadakan dailog kefahaman
Islam dengan bukan Islam. Tetapi setelah dia diprogramkan
dengan modul yang telah disediakan, versi Islam yang sampai
ke dalam dirinya adalah versi politik, mementingkan semangat
kepuakan melampau, dibebani dengan pelbagai tanggungjawab,
terpaksa berkorban jiwa dan raga untuk organisasi dan politik
serta penuh dengan prasangka yang memecah belahkan antara
sesama Islam.
PMIUTM adalah pertubuhan berdaftar tetapi tidak
berkuasa, tetapi HI adalah pertubuhan tidak berdaftar tetapi
lebih berkuasa. Sebab itu, orang-orang seperti Norhayati akan
berasa berbangga dapat memegang apa-apa jawatan dalam HI.
PMIUTM adalah mata rantai HI untuk mencapai
cita-cita yang lebih besar sebagai mata rantai PAS. Maknanya
Wan Norhayati hanya diprogram untuk menjadi kader-kader PAS
melalui jaringan sulit HI dan PMIUTM.
Soalnya berapa ramai lagi mahasiswa/i Melayu
akan dikorbankan selepas ini seperti Wan Norhayati Wan Alias,
semata-mata mencapai matlamat parti PAS memenangi pilihan
raya?
Ingin mengemukakan
pandangan/komentar tentang kampus mailkan mengunakan form
hubungi editor