Mesej kepada editor

 

Diterima pada: 25 Mei 2005
Name: pasteinfo man
Email: pasteinfo_man@yahoo.co.uk


JIM Anugerahkan Nik Aziz Tokoh Kepimpinan

sumber-Harakahdaily



PENGKALAN CHEPA, 24 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dianugerahkan 'Tokoh Kepimpinan' oleh Jamaah Islah Malaysia (JIM), sempena program Kembara Keluarga Nasional Ke-4.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru dan isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menerima cenderahati yang disampaikan sendiri oleh kedua orang anak mereka, Nik Abduh dan Nik Amalina.
Majlis berkenaan turut dianjurkan bersama oleh Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri (Purnama) di PCB Resort baru-baru ini.

Tuan Guru, ketika ditemui selepas majlis itu merakamkan ucapan terima kasih di atas penganugerahan yang diberikan kepadanya, biarpun beliau sendiri tidak pernah mengharapkan apa-apa sanjungan.

Beliau bagaimanapun berpendapat, penganugerahan berkenaan wajar dilakukan sentiasa agar masyarakat mengetahui kenapa seseorang itu dianugerahkan sebagai tokoh.

"Sekurang-kurangnya dapat dijadikan contoh untuk mereka melakukan yang terbaik dalam hidup serta keluarga masing-masing.

"Jadi, saya ucapkan tahniah pada penganjur kerana berjaya menganjurkan program ini," ujarnya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, Menteri Besar menasihati golongan wanita khususnya yang berkerjaya agar berhati-hati dengan persekitaran yang makin mencabar.

Jelasnya, pelbagai dugaan serta fitnah menanti sekeliling mereka apabila keluar dari rumah.

"Saya bukan bermaksud untuk menakutkan golongan muslimat khususnya yang bekerjaya, tetapi ingin mengingatkan mereka terhadap jerangkap samar yang sering menanti serta mencari peluang bila-bila masa sahaja untuk menghancurkan mereka," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengakui peranan muslimat amat diperlukan dalam pembangunan negara, khususnya hari ini.

Katanya, penyertaan mereka mampu memajukan negara dengan pelbagai ilmu yang diperolehi kaum berkenaan.

"Apa yang penting, muslimat hendaklah pandai membahagikan tugas mereka sebagai seorang isteri, ibu serta sebagai kakitangan di sektor awam atau swasta," ujarnya.

Sementara itu, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin, ketika berucap pada majlis yang sama mengingatkan umat Islam menjaga keluarga masih agar institusi berkenaan sentiasa utuh.

Jelasnya, biarpun pihak Barat sentiasa menyerang umat Islam dengan pelbagai cara, namun dengan keimanan serta kesungguhan, diharapkan ianya dapat diatasi.

Sempena majlis ini, pelbagai acara menarik diadakan antaranya persembahan multimedia, majlis penyerahan sumbangan untuk Tabung Mangsa Tsunami dan tayangan VCD sempena misi bantuan ke Acheh. - SMH/mks.

 

Ingin mengemukakan pandangan/komentar tentang kampus mailkan mengunakan form hubungi editor




Halaman Utama

 

 

Hit
[ ]