Mesej kepada editor
Diterima pada: 16 Julai 2005
Name: Maharaja Zhou
Email: maharaja_zhou@yahoo.com
Wajarkah
Sang Bughah (PMRAM) Diberi Wang Zakat?
Keras tajuk penulis kali ini. Lagaknya seperti Muhazam Mustapha
dalam Forum Politik Nasional. Jika ditanya Muhazam ataupun
gurunya,Ustaz Rasul Dahri,maka tiadalah wajar sang bughah
diberi zakat.
Zakat diberi kepada asnaf. Asnaf pula ada lapan
golongan. Salah satunya adalah orang yang berjuang fi sabilillah.
Fi sabilillah adalah berjuang di jalan Allah,dan menuntut
ilmu adalah sebahagian dari tuntutan perjuangan tersebut.Maka
dari situ, orang yang menuntut ilmu dikira sebagai salah satu
golongan yang harus menerima zakat.
Isu zakat adalah isu hangat. Di kalangan pelajar
IPTA, jarang-jarang kedengaran yang heboh dengan isu zakat.
Cuma apabila ada pelajar yang tersepit, maka sumber alternatifnya
adalah wang zakat. Maka, di situlah,ada yang menerima zakat
dari kerajaan negeri masing-masing.
Selalunya yang mengharapkan wang zakat adalah
pelajar Timur Tengah. Sumber tradisi kewangan mereka adalah
dari Baitul Mal. Tidak salah untuk meminta wang zakat,namun,jangan
dianggap wang zakat eksklusif untuk jurusan agama sahaja.
Jurusan teknikal dan ilmu lain juga afdhal menerima wang zakat,
tatkala orang Barat mencipta senjata pemusnah besar-besaran,
orang Islam masih lagi berkelahi tentang kepimpinan ulamak.
Lantas,Barat semakin maju, dan negara Islam hanya mampu menjadi
negara pengguna.
Tersebut suatu kisah,di dalam Harakah, betapa
kasihannya 9 orang pelajar "dihalau" dari asrama.
Kesimpulan mereka adalah, zalimnya kerajaan terutamanya kerajaan
Khir Toyo. Orang yang berjuang fi sabilillah pun dihalau dan
merempat di tepi jalan,padahal wang zakat berkoyan-koyang
dikutip bertahun-tahun.
Isu ini boleh diulas dari pelbagai aspek. Aspek
ugama, yang memungkinkan lebih menyakitkan hati sehingga membabitkan
syurga neraka, atau aspek duniawi yang melibatkan konsep man
jadda wa jadda. Siapa yang berusaha,maka dialah yang dapat.
Jika sentimen kepartaian tidak diambil kira, tiadalah siapalah
yang peduli. Untung juga ada kes ini, sekurang-kurangnya adalah
sebab musabab Ustaz Ahmad Awang boleh melawat Mesir.
Kita lihat dari sudut duniawi. Soalnya mudah.
Siapa yang tidak bayar sewa,maka wajarlah dia keluar dari
tempat persewaan itu. Mudah. Dalam dunia ini,tatkala penulis
sedang menulis, sudah berapa ratus manusia dihalau dari rumah
masing-masing kerana tidak membayar sewa. Tiada siapa pun
yang bersimpati, sendiri salah,sendiri yang tanggung. Jika
diberi perlepasan sebulan dua,itu adalah belas ihsan si tuan
rumah. Tidak kejam si tuan rumah,sebaliknya berbahagialah
di akhirat kerana atas budi baik tuan rumah.
Itu baru sebulan dua. Bagaimana pula jika dua
tahun? Tidak ada tuan rumah yang sebangang itu yang membenarkan
sang penyewa bermaharaja lela bergentayangan di dalam rumahnya
dalam dunia sebenar. Hanya kerajaan Selangor pimpinan Khir
Toyo sahaja yang mempunyai belas ihsan sedemikian rupa yang
membenarkan hatta penentang mereka duduk secara percuma. Kerajaan
negeri Selangor tidak meminta satu sen pun bayaran balik hutang
akibat tinggal secara percuma selama dua tahun dari bekas
penyewa tersebut. Adakah wujud tuan rumah yang lebih baik
dari itu?
Kemudian,diungkit tentang duit zakat yang kononnya
wajar diterima oleh mereka. Seolah-olah dari kenyataan mereka
itu seperti wang zakat itu adalah mak bapak mereka yang punya
dan wajib mereka dapat. Sebagai lelaki Muslim yang merdeka,
mereka sepatutnya malu dengan perbuatan mereka yang menadah-nadah
tangan meminta wang zakat,padahal mereka masih mempunyai tulang
empat kerat. Apatah lagi, dari konsep wang zakat sendiri,tidak
semestinya pelajar-pelajar tersebut menerimanya.
Itu dari segi duniawi,tetapi bagaimana pula
membiayai orang yang menentang kerajaan dengan wang zakat?
Maka,kononnya PAS akan membantu dengan wang pula. Itulah tanda
bahawa mereka ini adalah agen-agen PAS selama ini. Menentang
kerajaan Islam yang sah adalah haram hukumnya dan menggunakan
wang fi sabilillah untuk kerja yang haram adalah haram juga
hukumnya.
Ada pula yang mungkin berhujah,kami menolong
mereka yang ingin memperjuangkan Islam.Tetapi,harus diingat
juga, Khawarij juga ingin menegakkan Islam yang "dicemar"
oleh Saidina Ali, tidakkah perbuatan Khawarij di pandangan
"pendokong Islam" mutakhir ini juga adalah perjuangan
Islam?
Maka, sepatutnya mereka berasa malu untuk meminta
wang dari jalan Allah untuk perbuatan derhaka kepada Allah.
Adalah wajar bagi kita untuk bersama dengan pemimpin yang
ada selagi mana dia masih lagi seorang Muslim.
Jika menegakkan hukum Allah sepenuhnya menjadi
prasyarat, maka semenjak dari zaman Saidina Ali lagi telah
terbatal hujah tersebut.Jangan dikira lagi Turki Uthmaniyyah
yang mengangkat parlimen sebagai penggubal undang-undang dan
juga membuang serban yang sunnah dengan digantikan tarbus
yang bid'ah. Malahan,berapa ramai pemimpin PAS sendiri yang
mengambil riba dan juga mengumpat dan memfitnah.Tidakkah ini
juga sebahagian dari hukum Allah?
Oleh itu,harus difikirkan,wajarkah Kerajaan
Khir Toyo terus membantu sang bughah? Dan tidak malukah sang
bughah ini menggunakan wang fi sabilillah untuk melawan Allah?
Ingin mengemukakan
pandangan/komentar tentang kampus mailkan mengunakan form
hubungi editor